Bab 3

2K 56 0
                                    

BAGI aku lima minit. Aku baru selesai bermesyuarat dengan pembekal." Zara meletakkan telefon. Dia membuka kot pendek dan melemparkannya ke atas kerusi. Tangannya pantas mencapai tisu basah dan mengelap jari-jemarinya. Hari ini sudah ramai yang ditemuinya. Dia bersalaman dengan mereka. Entah apa pula jenis kuman yang sudah berpindah ke kulitnya yang mulus itu?

Tisu basah yang sudah bertukar warna kelabu itu dicampakkan ke dalam bakul sampah. Sehelai lagi ditarik. Dia akan terus menarik tisu sehinggalah tisu itu tidak bertukar warna. Sesudah berpuas hati, Zara membuka laci mengeluarkan bedak tabur. Wajahnya disapu nipis dengan bedak sebelum bibirnya dioleskan dengan sedikit gincu Revlon Super Lustrous berwarna Kiss Me Coral.

Zara mencapai alat organizer. Terburu-buru dia melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Tingkat 22 menjadi destinasinya. Pasti Pengarah Urusan Millenium Group sudah lama menantinya.

"Maaf, lambat sikit!" Zara menarik kerusi di hadapan meja.

Ryan mengangkat kepala sebaik sahaja haruman Escada Incredible Me tercium dek hidungnya. Tersungging senyuman di bibir lelaki itu. "Baru habis mesyuarat?" Ryan meletakkan fail laporan yang baru diterimanya daripada Jabatan Pemasaran.

"Yup." Sepatah jawapan Zara. Organizer di hadapannya dibuka, menandakan dia bersedia menunggu arahan.

"Kau dah fikirkan tawaran aku hari tu?" Sebaliknya lain pula yang keluar dari mulut Ryan.

Zara bersandar pada kerusi. Nafasnya ditarik dalam-dalam. "Bukan aku nak menolak... tapi ada orang lain lagi yang layak. Aku bukan seperti Jeslina. Aku tak pandai dalam hal pelaburan. Aku cuma suka buat program promosi. Macam yang aku buat sekarang ni."

"Maknanya kau dah berpuas hati dengan tahap kerjaya kau sekarang? Tak mahu meningkatkan diri?" Ryan seperti mencabar.

Zara tersenyum, menyembunyikan perasaan sedih di hatinya. "Aku baru saja setahun lebih di sini. Masih belum puas buat event. Tunggu setahun lagi, boleh?"

"Tunggu setahun lagi?" Suara Ryan berbaur curiga. "Zara, aku dah tengok resume kau. Selalunya tak sampai setahun, kau dah tukar kerja. Milennium ni tempat kerja kau yang ketiga, kan?"

Zara menggeleng kepala. "Kau silap. Aku tak pernah kerja melebihi setahun. Kiranya Milennium ni aku berjaya bertahan sampai hari ni. Yang lain tu paling lama pun enam bulan." Zara membetulkan fakta.

Ryan menjeling jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir pukul 12.30 tengah hari. "Jom makan!" Dia bangun.

Zara mengetap bibir. Hatinya berat hendak menerima pelawaan Ryan lagi. Sudah beberapa kali Ryan mengajaknya keluar makan bersama. Kalau tidak makan tengah hari, pasti lelaki itu mengajaknya keluar makan malam. Namun semuanya berjaya ditepis setakat ini.

"Marilah. Kau masih nak menolak lagi? Apa pula alasannya kali ni?" Suara Ryan sudah tidak semesra tadi.

Lambat-lambat Zara bangun. Bagaimana dia hendak menolak kali ini? Alasan apa yang sepatutnya diberikan? Dia sudah kehabisan idea. Sebaik-baiknya berterus-terang sahaja. Itu jalan yang paling selamat.

"Aku kurang selesalah, Ryan. Nanti jadi buah mulut orang. Aku sedang tertunggu-tunggu seruan Tan Sri untuk menghadap dia." Zara menyuarakan kegusaran hatinya.

Dia menerima jawatan sebagai eksekutif acara kononnya hendak menyembunyikan diri daripada aura-aura perhatian di syarikat besar itu. Malang sekali apabila persahabatannya dengan Ryan selama ini sudah meletakkan dia di puncak perhatian semua manusia di Millenium Group. Gosip sudah tersebar mengatakan dia bakal mengganti tempat Nurjia Amani. Itu pun setelah kegagalan Jeslina dahulu. Zara tidak mahu!

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now