SEMAKIN hari Zara semakin sibuk mengambil alih tugas-tugas Puan Haryani. Masanya untuk turun ke lapangan sudah berkurangan. Lebih banyak kerja-kerja mengatur strategi perlu dilakukan olehnya. Dengan kata lain, tugas baharunya membuatkan otaknya sentiasa berfikir. Lebih memenatkan jika dibandingkan dengan kerja di lapangan. Sekurang-kurangnya kalau bekerja di lapangan, dia boleh berehat bila-bila masa yang dia suka.
Jawatan sebagai pengurus sentiasa mengehendaki dia berada di pejabat. Dia hanya perlu ke lapangan untuk memantau persiapan terakhir sebelum sesuatu majlis dijalankan. Kerap juga dia menghadiri mesyuarat bagi membentangkan strategi, pelan, bajet dan kertas cadangan. Semakin kerap dia bertemu dengan Ryan atas urusan kerja.
Zara mematikan suis laptop. Dia baru selesai membentangkan cadangan aktiviti bagi road show hartanah Millenium Group yang akan berlangsung tidak lama lagi. Road show itu bakal melibatkan beberapa zon. Bagi zon utara, dia mencadangkan supaya program itu diadakan di Ipoh, Perak. Zon timur di Kuantan, Pahang. Zon barat di Kuala Lumpur dan zon selatan di Johor Bahru. Kesemua anak-anak syarikat Millenium Properties di setiap zon akan terlibat menjalankan promosi masing-masing. Road show yang berlangsung selama sebulan itu akan menyebabkan Zara perlu ke hulu ke hilir. Tentu sibuk.
"Dah nak balik?" Ryan menegur. Ketika itu hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik mesyuarat. Rakan sekerja lain sudah berpusu-pusu keluar mahu pulang ke rumah masing-masing.
"Ya. Aku dah letih sangat ni. Mujur esok dah cuti." Zara sudah tidak sabar hendak pulang ke rumah.
"Aku dengar kau cari rumah. Nak pindah?"
Zara mengangguk.
"Dah dapat?"
"Belum. Esok baru aku nak pergi tengok rumah." Zara sudah bersedia hendak pulang.
"Boleh aku ikut kau esok? Lagipun ada sesuatu yang aku nak cakapkan."
Zara rasa keberatan. Lagipun nada suara Ryan lain sahaja. Sudah tentu ia berkenaan dengan Rezman.
"Aku jemput kau pukul 10.00 pagi." Apabila melihat Zara tidak menjawab, Ryan memberikan kata putus. Dia meninggalkan Zara terkulat-kulat di situ.
Dia buat lagi? Sekali lagi Ryan 'memaksa' dia menerima keputusan yang dibuat olehnya. Ada sesetengah orang tidak suka dipaksa. Mungkin sebab ini agaknya Nurjia menuntut cerai daripada Ryan.
Zara mula membuat andaian. Selama ini Zara tidak pernah tahu sebab-musabab Ryan bercerai dengan isterinya. Lagipun dia tidak pernah bertanya.
KEPINGAN sandwic tuna yang sudah siap dikepit, disusun di dalam bekas makanan. Zara mengeluarkan dua botol air mineral dan dua tin Nescafe Latte. Kesemua barang-barang itu dimasukkan pula ke dalam beg mengkuang yang dianyam cantik.
Telefon bimbit Zara berbunyi. Sudah pasti Ryan sedang menantinya di bawah.
"Kejap lagi aku turun!" Zara menyandang sling bag dan mengendong beg mengkuang. Sebaik keluar dari bangunan apartmen, dia mencari Ryan. Lexus RX250 milik Ryan terparkir di hadapan kereta Zara.
"Apa yang kau bawa tu? Meriah nampak?" tegur Ryan.
Zara menutup pintu kereta. Beg yang dibawanya tadi, diletakkan di atas riba. "Dah sarapan?" Sebaliknya dia bertanya.
"Belum. Aku baru nak ajak kau pergi kopitiam seberang jalan tu."
"Tak payah. Aku dah buat sarapan." Zara menepuk beg di pangkuannya.
"Kau masak?" Ryan terkejut.
"Kenapa? Kau ingat aku ni tak tau masak? Hmm... belum rasa belum tau."
YOU ARE READING
Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]
RomanceAntara Zara dengan Ryan, masing-masing ada sejarah hitam yang penuh noda yang tak mahu mereka kenang. Ryan masih meratapi cinta yang hilang hingga sanggup mengecewakan orang lain. Zara hidup dalam kebimbangan kerana melarikan diri daripada hantu sil...