Bab 7

1.2K 45 0
                                    

"PAPA! Siapa orang-orang tu? Apa mereka nak?" Ilsa bertanya dengan cemas. Suara orang memekik dan mengetuk pagar dengan besi semakin kuat kedengaran.

"Tak ada apa-apa. Ilsa, bawa adik-adik kamu naik atas. Kunci pintu bilik!" Encik Rahman mengarahkan.

Tanpa memahami apa-apa, Ilsa menarik tangan Hanny dan Danny menuju ke tingkat atas. Setelah mengunci kedua-dua orang adiknya di dalam bilik, berjingkit-jingkit Ilsa menghampiri tingkap di ruang tamu tingkat atas. Dia menyelak langsir dan memandang ke bawah. Encik Rahman sedang bercakap dengan beberapa lelaki bertubuh besar dan nampak seperti ahli kongsi gelap. Butir bicara Encik Rahman tidak jelas kedengaran. Tetapi jerit pekik lelaki Cina yang bercakap dengan ayahnya boleh difahami.

"Lu tak nak bayar tak apa. Tapi bagi anak lu pada kami. Selesai hutang!"

Ilsa memegang dadanya. Dia rasa berdebar-debar. Apakah maksud kata-kata lelaki Cina itu? Adakah Encik Rahman berhutang dengan lintah darat? Dia memang tahu chalet yang diusahakan oleh ayahnya tidak begitu maju kerana persaingan hotel-hotel baharu yang lebih cantik dan selesa.

Perhatiannya kembali ditumpukan ke luar, ke arah lelaki Cina berambut pacak itu. Kepala lelaki Cina itu terangguk mendengar kata-kata yang dituturkan oleh Encik Rahman.

"Lu dah janji. Gua pegang kata-kata lu. Ingat! Minggu depan gua datang balik!" Lelaki Cina itu masuk ke dalam perut van yang berhenti di hadapan pagar rumah mereka.

Sesudah lelaki Cina itu pergi, Encik Rahman masuk ke dalam rumah. Ilsa terduduk di atas sofa memikirkan kejadian yang baru dilihatnya tadi. Hatinya gundah. Bagaimana Encik Rahman boleh terjebak dengan lintah darat? Teruk sangatkah beban kewangan yang perlu ditanggung?

"Apa mereka kata?" Suara Puan Maryam yang memetir menarik perhatian Ilsa. Dia terus memasang telinga mendengar perbualan antara ayah dengan ibu tirinya.

"Mereka akan datang balik minggu depan untuk ambil Hanny." Suara Encik Rahman kedengaran lemah sahaja. Dia sudah terduduk di atas sofa. Tidak bermaya sungguh dirinya ketika itu.

"Hanny? Kenapa tak Ilsa?" Puan Maryam seperti tidak terkejut mendengar perkara yang disampaikan oleh Encik Rahman. Ia seolah-olah tidak membawa apa-apa makna kepadanya.

"Dia kata Hanny masih muda. Boleh buat untung lebih." Encik Rahman tidak percaya perkataan itu boleh keluar dari bibirnya.

"Hutang awak?"

"Selesai. Tapi Hanny..."

"Awak nak tengok rumah ni kena bakar? Chalet kita tu musnah?" Suara Puan Maryam masih meninggi. "Nyawa awak melayang daripada badan?"

"Saya nak jual Bayou Beeru!" Encik Rahman bangun. Dia tidak boleh mengalah begitu sahaja.

"Jangan sebut fasal tu. Saya tak benarkan!" Nampaknya Puan Maryam tidak setuju dengan Encik Rahman.

"Kita tak boleh korbankan Hanny. Saya..."

"Awak dah tak ada pilihan. Dalam masa seminggu bagaimana awak nak cari pembeli? Lagipun tidak berbaloi awak jual Bayou Beeru semata-mata nak langsaikan 50 ribu ringgit!"

Ilsa merasakan nyawanya sudah melayang daripada badan. Sama sekali dia tidak menyangka yang Encik Rahman sanggup menggadaikan maruah Hanny yang masih bersekolah itu semata-mata mahu melangsaikan hutang. Ilsa mula berasa curiga. Buat apa meminjam 50 ribu ringgit? Sedangkan jumlah itu terlalu sedikit jika hendak dijadikan suntikan dana kepada Chalet Bayou Beeru.

"Itulah awak. Swiss cash konon. Satu sen pun tak dapat balik duit tu. Tamak sangat sampai nak pinjam dengan Along. Tengok sekarang, sampai tak ada duit nak bayar balik!" Ilsa terdengar Encik Rahman mencemuh.

"Mulut awak jangan celopar, ya. Kalau saya jual bahagian saya dalam Bayou Beeru, musnah awak!" Puan Maryam mengugut.

Pinjam lintah darat sebab nak melabur? 'Bodoh punya perempuan!' Ilsa menyumpah di dalam hati. Dia tahu yang ibu tirinya memang mata duitan. Asal terdengar sahaja peluang menambah kekayaan, dia akan percaya bulat-bulat tanpa mengkaji kebolehpercayaannya dahulu.

"Jaga Hanny baik-baik. Kalau dia tahu, dia pasti akan lari. Kalau dia lari, awak pun mati!" Puan Maryam mengugut.

BUNYI hon dari kereta di belakang menyebabkan Zara tersentak. Dia memandang ke hadapan. Entah berapa lama lampu isyarat itu sudah bertukar hijau? Dengan rasa bersalah, dia membuka tingkap dan mengangkat tangan, mohon maaf atas kecuaiannya.

Zara memecut keretanya dengan laju. Lamunannya yang panjang sudah mengalihkan perhatiannya kepada jalan raya. Bahaya sungguh perbuatannya itu. Hati Zara berasa panas setiap kali teringat akan peristiwa hitam yang mengubah perjalanan hidupnya. Sudah lapan tahun perkara itu berlalu. Namun, kesannya masih terasa di dalam hati. Tidak mungkin Zara boleh memadamkan garis hitam yang pernah wujud dalam sejarah hidupnya. Maruah yang tercemar tidak mungkin boleh dimurnikan kembali. Dia tidak menyesal menggantikan tempat Hanny. Adiknya itu masih terlalu muda ketika perkara itu berlaku. Dia sanggup berkorban nyawa demi adik-adiknya.

Telefon bimbitnya berbunyi. Nama Rezman berkelip-kelip. Zara membiarkan panggilan itu tidak berjawab. Dia tidak ada mood hendak berbual dengan sesiapa ketika itu. Belum pun sampai lima minit, telefon berbunyi lagi. Zara menjeling telefonnya yang terlekat di dashboard. Kali ini nama Ryan pula terpapar. Perlukah Zara menjawab panggilan lelaki itu? Lambat-lambat dia menekan butang kawalan pada wayar hands free di lehernya.

"Tadi Rez... sekarang kau. Apa hal?" Seperti biasa, belum sempat Ryan bersuara, Zara sudah menyembur kata-kata dahulu.

"Oh... dia ada telefon tadi?" Ryan kedengaran terkejut.

"Hmm... Korang ni ada hubungan psikik ke?"

Zara terdengar Ryan tergelak. "Dia cakap apa pada kau?"

"Aku tak angkat. Tengah memandu."

"Tapi kenapa panggilan aku kau angkat?" Ryan berasa curiga.

"Sebab kau tak jatuh cinta pada aku." Selamba Zara bersuara.

Sekali lagi Ryan tergelak. "Pasti Rez sedang kecewa kerana kau tak menerima cintanya."

"Kalau dia bujang, aku boleh menimbangkan perasaan dia. Malangnya dia sudah beristeri. Aku tak mahu jadi perampas." Zara tidak mahu menjadi seperti ibu tirinya, Maryam, perosak rumah tangga mama dan papa.

"Kau lapang malam ni?"

"Kenapa?" Soalan dijawab dengan soalan.

"Ikut aku pergi majlis koktel. Aku malas nak pergi sendirian. Nanti banyak pula yang tanya bukan-bukan." Sebenarnya Ryan tidak mahu sesiapa pun bertanya kepadanya mengenai Nurjia. Dia sedang berusaha memadamkan nama wanita itu di hatinya.

"Aku ada di luar KL. Takut tak sempat. Majlis tu mula pukul berapa?"

"8.30 malam."

"Hmm... tak sempat kut."

"Agak-agak pukul berapa kau boleh sampai KL?"

"Pukul 8.00 dah boleh sampai. Tapi aku kenalah balik rumah, mandi, bersiap, bersolek..." Zara membiarkan ayatnya tergantung.

"Boleh tak kau terus ke One World Hotel?" Ryan menyuruh.

"Apa? Kau nak suruh aku..."

"Aku akan siapkan segala-galanya untuk kau. Yang penting kau datang, okey. Jumpa di sana!" Talian dimatikan.

'Aku belum setuju lagi dia dah letak?' Zara tidak puas hati. Suka-suka saja Ryan membuat rancangan untuknya. 'Dia ingat aku siapa?'

1�ur\=�

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now