Bab 2

2.5K 66 0
                                    

SEJAK pulang dari London, sikap Ryan masih tidak berubah. Malah Jeslina lihat dia sering termenung panjang. Sudah lama perkara itu berlalu, nampaknya ia benar-benar mendatangkan kesan yang begitu mendalam di jiwa lelaki itu. Jeslina ingin benar mengenali bekas isteri Ryan yang telah berjaya menghuru-harakan perasaan lelaki itu. Semenjak dia mengenai Ryan, Jeslina faham benar dengan sikap Ryan yang mementingkan cita-cita dan impiannya yang hanya dibatasi oleh langit.

Ryan tidak pernah peduli dengan mana-mana gadis yang datang menyembah ke kakinya. Dia hanya selesa berkawan, bukan bercinta. Setahu Jeslina, Ryan tidak pernah jatuh cinta ataupun menyukai mana-mana gadis. Degil sungguh hatinya mahu menerima cinta. Hatta perkahwinannya dengan Nurjia juga bukan atas nama cinta. Semuanya kerana kepentingan impian dan cita-citanya.

Malang sekali impian dan cita-cita itu sendiri yang memusnahkannya dan meletakkan dia dalam jerat cinta yang tidak berpenghujung. Ryan seolah-olah telah disumpah oleh cinta yang sekian lama dikhianati dan dipandang sepi olehnya. Sama ada Nurjia yang hebat kerana berjaya menundukkan Ryan ataupun cinta itu sendiri telah datang membalas dendam terhadap lelaki itu.

Bukan Jeslina tidak pernah mencuba nasib mempertaruhkan perasaan cintanya kepada Ryan. Dia pernah cuba meluahkannya. Namun belum sempat lima huruf keramat itu diluahkan, ramai gadis lain yang membawa semboyan yang sama telah kecundang di hadapan matanya.

Lantas dia belajar daripada kesilapan. Menjadi rakan baik Ryan lebih selamat dan terjamin daripada menjadi pemburu cinta yang langsung tiada tempat dalam hidup lelaki itu. Jika difikirkan dalam-dalam, Ryan memang begitu angkuh dalam soal cinta. Mungkin kini keangkuhannya telah memakan diri sendiri. Dia telah kehilangan wanita pertama yang dicintai olehnya gara-gara penipuan dan perangkap nafsu.

"Mengapa dia terlalu istimewa, Ryan?" Jeslina sudah tidak mampu memendam soalan itu. Dia perlu tahu keistimewaan Nurjia sehingga berjaya membuatkan Ryan seperti berputus asa terhadap cinta.

Ryan agak terkejut mendengar soalan yang dilemparkan oleh Jeslina. Dia tidak perlu bertanya siapakah yang dimaksudkan oleh Jeslina kerana dalam hidupnya, hanya ada satu wanita yang berjaya bertakhta di hatinya sehingga kini.

"Maksud kau?"

"Walaupun dah lama perkara tu berlalu, aku tengok kau susah sangat nak lupakan dia. Kau dah jadi seorang yang suka termenung. Lepas pulang dari London, kau bertambah teruk. Tumpuan kau pada bisnes dah tak macam dulu. Keseronokan kau telah pudar kerana kau kini seolah-olah sedang berada di awang-awangan."

Terangkat kening Ryan mendengar bicara Jeslina yang disampaikan seperti puisi.

"Nurjia semestinya seorang wanita yang amat istimewa di hati kau, kan? Kau terlalu sukar hendak melupakan dia dan mustahil bagi kau untuk menerima orang lain selepas ini." Jeslina mengawal perasaan kecewa yang hampir-hampir mahu terhambur keluar.

Ryan menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak rasa mahu menjawab soalan itu. Bagi dirinya hanya dia seorang sahaja yang memahami apa yang bergolak di jiwanya tatkala itu. Jika diceritakan kepada orang lain pun, bukannya dapat menyelesaikan apa-apa. Dia tidak mahu meraih simpati sesiapa. Apatah lagi mahu berkongsi kedukaan itu dengan rakan sekerja seperti Jeslina. Biarlah hubungannya dengan Jeslina kekal profesional walaupun mereka telah bersahabat semenjak kecil.

"Aku harap bukan rasa bersalah kau terhadap dia yang buat kau menyeksa diri seperti ni." Jeslina masih berdegil mahu mengaku kalah. Dia mahu Ryan mengaku sesuatu.

"Kenapa mesti aku rasa bersalah?" Suara Ryan mendatar.

Jeslina tersenyum. Berjaya juga dia membuat Ryan berkata sesuatu mengenai perkara itu. Ah, dia sudah semakin hampir mahu mengorek rahsia yang tersimpan di hati lelaki itu.

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now