Bab 4

1.4K 43 0
                                    

RUANG bilik Zara dipenuhi dengan kotak-kotak coklat pelbagai jenama dan perisa. Dia baru saja masuk ke pejabat tengah hari itu selepas menguruskan acara promosi hartanah Millenium Group di Karnival Hartanah bertempat di PICC. Zara menarik kad yang terlekat di atas salah satu kotak coklat.

"Forgive me." Zara membaca. Tiada tanda tangan mahupun nama pengirim. Dia menarik lagi sekeping kad. "Maafkan aku." Juga seperti tadi, tiada nama pengirim. Dia menarik sekeping lagi. "Gomen nasai." Seterusnya, "Lo siento." Dibaca lagi ayat di sekeping kad lain. "Je suis désolé." Kesemua ucapan yang tertera di atas kad ialah huluran maaf dalam pelbagai bahasa. Pengirimnya tidak lain tidak bukan semestinya Rezman.

Telefon bimbitnya berbunyi. Zara memandang skrin. Nombor yang tidak dikenali terpapar. Jika pembekal ataupun kontraktor yang menelefon, sudah tentu mereka menggunakan nombor telefon bimbit yang diberikan oleh Millenium Group. Ini nombor peribadinya. Siapa pula yang memanggil?

"Helo?" Zara tertanya-tanya.

"Kau dah terima maaf aku?" Suara Rezman bergema di hujung talian.

"Macam mana kau boleh dapat nombor ni?" Zara berasa marah.

"Aku paksa Ryan. Kau jangan marah dia."

Zara mengeluh berat. Nombor peribadinya sudah berpindah tangan. Selama ini hanya Ryan sahaja yang tahu nombor itu. Dia benar-benar tidak berpuas hati. Sudah malas rasanya menukar nombor berkali-kali.

"Zara, berikan aku peluang untuk mengenali kau. Jumpa aku sekali saja. Lepas tu, kalau kau tak suka aku, aku tak akan ganggu kau lagi."

"Sekali saja?" Zara menduga.

"Ya. Sekali saja." Sedaya upaya Rezman mahu meyakinkan Zara.

"Okey." Akhirnya dia memberikan keputusan, memberikan Rezman peluang meluahkan isi hatinya dan memberikan dirinya peluang menikmati kehidupan yang sempurna. Moga berbaloi tindakannya ini.

"Malam esok aku jemput kau pukul 8.30 malam. Jumpa esok!"

Sebaik sahaja talian dimatikan, Zara mencapai telefon di atas mejanya. Nombor sambungan terus Ryan didail.

"Ya, ada apa Zara?"

Zara dapat merasakan yang Ryan sedang tersenyum. "Aku nak bunuh kau!" Zara mengetap gigi.

Ryan tergelak. "Berilah dia peluang. Kasihan aku tengok dia sampai melutut nak minta nombor kau. Tak pernah aku tengok Rez macam ni. Kau dah berjaya tundukkan dia." Ryan kagum. Entah apa jampi yang dikenakan oleh Zara, hati Rezman yang keras itu akhirnya berjaya dilembutkan.

"Ryan, berterus-teranglah pada aku. Apa Rez nak dengan aku? Dia nak tidur dengan aku?"

Sikap Zara yang terlalu berterus-terang itu mengagumkan Ryan. Zara tidak pernah berselindung ataupun berpura-pura di hadapannya. Jika dia kata tidak suka, bermakna memang dia tidak suka.

"Aku tak fikir begitu, Zara. Kau tak perlu bimbang. Rez bukan jenis yang suka memaksa. Kalau kau tak mahu, dia tak akan cuba. Memang dia kaki perempuan tapi dia tak berniat serong."

"Kalau kau dah kata begitu, baiklah. Aku hargai jaminan yang kau berikan." Zara meletakkan telefon. Dia mengeluh berat memandang kotak-kotak coklat yang memenuhi biliknya. Hatinya berdebar-debar. Benarkah tindakannya kali ini? Dia bukan takut kepada Rezman. Sebaliknya dia takut kepada dirinya sendiri.

TIBA waktu yang dijanjikan, Rezman datang menjemputnya. Lelaki itu sungguh segak memakai cotton knit turtle neck dan kot. Dia terpanah saat menatap wajah Zara yang sudah siap memakai gaun labuh mengikut potongan tubuh, berwarna merah hati. Leher gaun itu berbentuk V dan memang seksi. Sengaja Zara mahu menggodanya. Rambut Zara yang mayang mengurai dibiarkan lepas, seakan-akan sutera yang beralun lembut tatkala kepalanya digerakkan. Ingin benar Rezman membelai rambut Zara yang cantik mengalahkan model iklan syampu itu.

"Kau kelihatan begitu anggun. Ayuh." Rezman menghulurkan tangan.

Zara tersenyum memandang tangan Rezman. Menyedari yang Zara tidak mahu menyambut tangannya, Rezman tersenyum menyembunyikan ego yang sedikit tercalar. Dia lupa yang Zara memang tidak akan memegang tangan lelaki tanpa sebab. Ryan sudah berkali-kali berpesan kepadanya.

"Kita nak ke mana?" tanya Zara sebaik sahaja Rezman memandu keretanya menuju ke Putrajaya.

"Aku ada kejutan buat kau." Rezman enggan memberitahu.

Zara sudah biasa menerima kejutan. Malah hidupnya sendiri penuh dengan kejutan. Mereka tiba di Tasik Putrajaya 45 minit kemudian. "A love boat?" Zara seperti mahu tergelak.

"Kau tak terkejut?" Rezman separuh kecewa. Dia sangka tentu Zara akan berasa kagum ataupun sekurang-kurangnya menjerit kegembiraan, seperti reaksi wanita yang pernah dibawanya ke situ. Tetapi wajah yang dipamerkan oleh Zara amat selamba.

Zara cepat-cepat memaniskan wajah apabila dia lihat Rezman seperti berkecil hati. "Suka sangat!" Dia bercakap tanpa perasaan.

Lebar senyuman yang terukir di bibir Rezman. Hanya mereka berdua sahaja di atas bot itu bersama dengan tiga orang anak kapal. Sebaik sahaja bot belayar, Rezman mempelawanya menjamu makan malam. Setengah jam belayar sambil menikmati hidangan barat, Rezman masih belum berbicara apa-apa. Nampaknya dia menikmati sepenuhnya kejelitaan wajah Zara. Usai makan, mereka duduk kerusi sambil menikmati pemandangan malam di tasik itu. Rezman mengisyaratkan supaya kedua-dua anak kapal turun dari dek. Dia mahu sendirian bersama Zara.

Zara duduk sambil berpeluk tubuh. Dia rasa kedinginan kerana pakaiannya agak nipis. Kalaulah dia tahu Rezman mahu membawanya belayar, sudah tentu dia akan membawa sebai bagi membaluti tubuhnya. Sengaja Rezman tidak mahu meminjamkan kotnya kepada Zara. Dia suka melihat Zara begitu, seksi dan menggoda. Sejak dari tadi, Rezman masih belum meluahkan perasaan hatinya kepada Zara. Entah mengapa, dia lebih suka berada berdekatan dengan Zara tanpa bicara. Tidak puas rasanya memandang Zara.

Zara mula berasa bosan. Jika tujuan Rezman hanya mahu mempelawanya makan malam, tidak perlulah bawa dia belayar begini seolah-olah ada sesuatu yang istimewa mahu disampaikan.

Pergerakan bot menjadi perlahan dan akhirnya berhenti di tengah-tengah tasik. Sebuah bot yang lebih kecil menghampiri mereka. Zara hanya memandang ketiga-tiga anak kapal meninggalkan kapal yang mereka naiki. Dia berasa pelik. Wajah Rezman direnungnya.

"Apa yang berlaku? Kau lupa beri mereka upah?" soalnya selamba.

Rezman hanya tersenyum. "Aku yang suruh mereka pergi. Esok pagi baru mereka datang balik."

"Kau bergurau?" Zara pantas berdiri. Hatinya berdebar-debar. Nampaknya Rezman memang seperti lelaki-lelaki lain yang suka berfoya-foya dengan perempuan. 'Memang dia kaki perempuan tetapi dia tak berniat serong.' Kata-kata Ryan semalam masih terdengar-dengar di telinganya.

"Aku tahu siapa kau sebenarnya, Zara Elsa!" Rezman tersenyum sinis memandang ke arah Zara. "Lapan tahun lalu, kau buat bidaan."

Zara rasa tubuhnya menggeletar. Tidak mungkin!

"Usah pura-pura naif lagi, Zara. Kau tahu apa yang aku mahukan." Rezman mendekati Zara. Wajah Zara dielus lembut. "Aku mahukannya sekarang!" Rezman menolaknya ke atas lantai bot.

Zara cuba melawan. Dia menjerit-jerit."Ryan! Tolong!"

9��u��<�

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now