Bab 6

1.3K 47 0
                                    

PAGI-pagi lagi Zara sudah bersiap-siap. Makanan yang dimasaknya subuh tadi sudah dimasukkan ke dalam mangkuk tingkat. Zara menjeling jam di pergelangan tangan. Dia perlu cepat. Perjalanannya sekejap lagi memakan masa hampir tiga jam. Kesemua barang-barang yang ingin dibawa dimasukkan ke dalam tempat letak barang kereta Satria Neo berwarna hitam miliknya.

Dari Bandar Tun Razak, dia menuju ke arah Lebuh Raya Karak. Di sepanjang perjalanan tanpa henti itu, Zara menghiburkan hati mendengar lagu-lagu popular melalui stesen radio Hitz.fm. Sewaktu Zara tiba di Maktab Rendah Sains MARA Kuala Lipis, jam sudah pukul 10.00 pagi. Dia berhenti di pos pengawal untuk mengambil pas sebelum memandu masuk ke kawasan sekolah. Setelah memberitahu tujuan kedatangannya, dia menunggu di bilik tetamu sambil membaca akhbar.

"Kak Ilsa!" Dua orang pelajar memekik serentak.

Zara mengangkat kepala. Senyumannya lebar. Akhbar di tangan segera diletakkan. Dia berdiri sambil mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Danny dan Hanny menerkam ke dalam pelukan Zara. Ketiga-tiga mereka berpelukan erat, lama.

"Danny sihat? Hanny?"

Kedua-dua pasangan kembar tidak seiras itu mengangguk. Bola mata Hanny sudah berkaca.

Zara tersenyum, menyembunyikan rasa sayu. Dahi Hanny dikucup mesra. Sementara sebelah tangan lagi mengusap kepala Danny. "Kau dah sama tinggi dengan kakak." Maknanya ketinggian Danny sudah mencecah 5 kaki 7 inci. "Tak lama lagi, payahlah kakak nak luku kepala kamu."

Danny tersenyum. "Kakak sihat?"

"Sihat. Apa tunggu lagi? Jomlah. Masa tak menunggu kita!" Zara sudah pun mendapat izin pihak sekolah untuk membawa adik-adiknya keluar sebentar.

"Kenapa kakak lama tak telefon? Senyap macam tu aje." Hanny sudah menarik muncung panjang.

"Kan kakak dah beritahu, kakak ke luar negara sambung belajar sampai ke peringkat Master." Zara memandu menuju ke tempat biasa mereka selalu bersantai suatu ketika dahulu.

"Itu dulu. Lepas kakak balik dari sana, kenapa tak pernah jumpa kami? Hantar mesej saja. Bila kami telefon, kakak tak pernah jawab!" Muncung Hanny semakin panjang. Macam Donald Duck pula. Tergelak Zara yang memandang menerusi cermin tengah.

"Kakak sibuk." Sekejap lagi tahulah Zara bagaimana hendak memujuk Hanny yang manja itu.

"Kakak kerja di mana sekarang?" Danny pula menyoal.

Zara tidak menjawab. Dia hanya tersenyum.

"Kakak masih nak main sorok-sorok lagi?" Wajah Danny menjadi serius.

"Bukan sekarang, Danny. Belum tiba waktunya." Zara menggeleng. "Tapi kakak janji, apabila semuanya dah okey, kamu berdua akan tahu. Kemungkinan kamu boleh tinggal dengan kakak selama-lamanya!"

"Janji?" Bulat mata Hanny memandang Zara.

"Ya. Janji. Selama ni ada ke kakak mungkir?"

"Berapa lama nak tunggu?" Danny bertanya lagi, setelah menerima janji yang dilafazkan oleh Zara.

"Bagi kakak setahun lagi." Zara teringat akan tawaran Ryan tempoh hari. Dia sememangnya memerlukan jawatan itu. Zara tidak boleh mementingkan dirinya sendiri. Dia harus mengutamakan Danny dan Hanny.

Mereka tiba di pinggir sungai tidak lama kemudian. Lantas ketiga-tiga beradik itu mengosongkan bahagian letak belakang kereta. Hanny membentangkan tikar. Manakala Danny mengangkat bekalan.

"Seafood carbonara? Lasagna? Kepak ayam perap? Semua kakak masak?" Bulat mata Danny memandang bekalan yang dibawa oleh Zara.

"Yalah. Takkan beli di kedai piza. Kedai pun belum buka lagi." Zara membuka penutup bekas yang berisi buah anggur hitam. "Kakak ada sesuatu untuk kamu berdua!" Zara segera menghulurkan sebuah beg kertas kecil kepada Hanny dan sebuah kotak sederhana besar yang dibalut dengan kertas hadiah.

Danny pantas mengoyakkan kertas pembalut hadiah. "Samsung?" Bulat mata Danny memandang kotak telefon bimbit.

"Kakak dah top up seratus. Lepas ni tak payahlah berebut telefon." Zara menyuapkan anggur ke dalam mulutnya.

Sementara itu Hanny pula sibuk menyemburkan wangian Issey Miyake ke pergelangan tangannya. "Hmm... harumnya!" Kembang hidungnya mencium haruman yang melekat di pergelangan tangan. "Lepas ni adik nak Escape tau." Dia berpesan.

"Papa sihat?" Berat mulut Zara hendak menyebut kalimah 'papa'. Kebencian di dadanya tertahan-tahan. Tidak perlulah dia hendak mengeruhkan keadaan dengan menunjukkan perasaan sebenar di hadapan adik-adiknya yang masih naif.

"Sihat. Bisnes dia pun dan semakin maju. Bila kakak nak balik?" Danny mencurahkan kuah carbonara ke atas pasta. "Papa selalu sebut nama kakak. Tapi bukan depan makciklah. Papa tu kan takut pada makcik."

Bukan setakat Danny, dia dan Hanny juga kurang senang dengan sikap ibu tiri mereka yang kuat mengongkong dan cemburu itu.

"Nantilah. Kalau kakak nak balik, kakak beritahu." Jauh di lubuk hatinya, Zara tahu yang dia tidak akan pulang ke rumah selagi wanita bernama Maryam itu ada di situ. Kerana Maryam hidupnya terseksa, maruahnya tergadai.

"Kakak ada cuba hubungi mama?" Suara Hanny yang halus itu menusuk hati Zara. Dia tahu jiwa Hanny akan tersentuh setiap kali perkataan 'mama' disebut.

"Tak." Sepatah jawapan Zara. Adik-adiknya tahu, kakak mereka pantang mendengar perkataan itu disebut di hadapannya. Mujur kali ini Zara tidak marah seperti selalu.

"Sudahlah... kakak tak mahu cakap fasal sesiapa. Kakak nak tahu fasal kita saja." Zara mencapai pinggan plastik dan mengisinya dengan beberapa ketul kepak ayam.

"Abang Aidan ada cari kakak?"

Tidak jadi Zara hendak menyuapkan kepak ayam ke dalam mulutnya sebaik sahaja mendengar soalan Danny. Anak remaja itu sering menyoal perkara-perkara serius kepadanya.

"Jangan bincang hal tu. Kakak hanya nak tahu fasal Hanny Bunny, Danny Padini dan Zahra Ilsa saja. Okey?"

"Adik dah besarlah. Tak mahu panggil Hanny Bunny lagi." Hanny memuncungkan mulut, pura-pura merajuk.

"Danny Padini pun dah tak sesuai lagi."

Nampaknya kedua-dua orang adiknya sudah tidak menyukai nama jolokan mereka sewaktu kecil dahulu.

"Okeylah, Hanny Ilara dan Danial Hakim. Kakak tak akan panggil nama-nama tu lagi."

Seterusnya mereka menghabiskan masa beberapa jam sambil makan dan berbual-bual. Sedikit pun Zara tidak memberitahu mereka mengenai perkembangan dirinya. Danny dan Hanny masih lagi muda. Mereka tidak faham percaturan hidup manusia yang bersimpang-siur dan pelbagai. Lebih-lebih lagi Zara tidak mahu sesiapa pun tahu di mana dia tinggal dan bekerja.

Sebelum pukul 6.00 petang, Zara menghantar Danny dan Hanny pulang ke asrama.

"Bila pula kami boleh jumpa kakak lagi?" Sinis sahaja bunyi nada suara Danny.

"Bila masanya sesuai." Zara tidak mahu berjanji.

"Huh, dah agak!" Hanny sudah merajuk.

Zara cuma tersenyum. "Jangan beritahu sesiapa yang kita jumpa, okey?" Dia mencuit hidung Hanny.

Sekali lagi mereka berpelukan.

"Jaga diri!" pesan Zara sambil melambai menerusi tingkap sambil memandu keluar dari kawasan sekolah.

Hanny dan Danny melihat sehingga kereta Zara hilang daripada pandangan.

"Nak beritahu Abang Aidan?" tanya Hanny.

"Hmm... nak beritahu apa? Kita bukannya tau kakak tinggal kat mana." Danny kurang setuju dengan idea adiknya.

"Sekurang-kurangnya Abang Aidan tau kakak dah balik sini." Hanny menyeluk poket seragamnya.

"Nak buat apa?" Danny lihat Hanny sedang tersenyum-senyum sambil menekan huruf-huruf di atas telefon bimbitnya.

"Hantar mesej pada Abang Aidanlah."

u2

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now