ZARA memandang wajahnya menerusi cermin. Wajahnya nampak tidak bermaya. Semuanya gara-gara pulang lewat malam tadi. Selepas meninggalkan majlis koktel Hazman, Ryan mengajaknya lepak di Rainforest Cafe, Mont Kiara. Sementelah Zara juga masih lapar kerana tidak sempat hendak makan sehingga kenyang di majlis itu. Mereka lepak di situ hingga pukul 12.00 tengah malam.
Zara tidak terus tidur sebaik sampai di rumah. Dia asyik memikirkan mengenai Rezman, Ryan dan tawaran kenaikan pangkat. Berat hatinya hendak menerima tawaran Ryan kerana dengan menjawat jawatan itu, hubungan mereka pasti bertambah rapat. Zara senang berkawan dengan Ryan kerana lelaki itu tidak mengharapkan apa-apa daripadanya.
Tetapi dalam waktu yang sama juga, dia sebenarnya patut meminggirkan diri daripada Ryan. Zara sepatutnya 'menyembunyikan' diri, bukan 'menonjolkan' diri. Usahanya selama ini akan menjadi sia-sia jika segala-galanya terbongkar.
Zara memandang wajahnya kembali. Masih adakah orang yang boleh cam wajahnya selepas lapan tahun berlalu? Senarai 20 nama yang diterima daripada Sabene masih tersimpan. Dia belum mula menjalankan projek pengesanan. Jadual kerja dan aktiviti sosialnya yang padat tidak membolehkan dia membuat siasatan.
"AKU solekkan wajah kau jadi seiras Manohara, nak?" tawar Sabene. Matanya bersinar nakal.
"Boleh?" Ilsa kurang percaya.
"Jari-jemari aku boleh ubah wajah kau menjadi wajah orang lain. Nak tak?"
"Suka hati kau. Janji aku tak mahu wajah Zahra Ilsa yang terpampang di situ."
"Boleh saja." Sabene tersenyum lebar sambil mengangkat berus mekap.
MENGELUH berat Zara mengenangkan kisah silam yang hitam itu. Dia mencapai berus kecil. Solekan di wajahnya ditebalkan sedikit. Kulit wajahnya yang putih kemerahan memudahkan dia memakai apa-apa sahaja jenis warna gincu yang diingini. Warna gincunya pagi itu ialah Top Tier Truffle daripada koleksi Revlon Colorstay Ultimate. Biar nampak macam perempuan sihir. Celak dan maskara dipakai tebal. Macam perempuan jahat pun ada. Zara tersengih nakal. Telefon bimbit dicapai dan nombor Ryan didail. Dia sudah nekad mahu menolak pelawaan itu.
"Yes dear?" Ceria benar suara Ryan terdengar di telinga Zara.
"Bukan ke lakonan dah tamat?" Dahi Zara berkerut.
"Saja suka usik kau. Tak masuk pejabat pagi ni?" Agak terkejut juga Ryan menerima panggilan daripada telefon bimbit Zara.
"Ada kat pejabat. Ada sesuatu aku nak beritahu. Nampaknya aku tak boleh terima tawaran kau. Tak berminat!"
"Kenapa?" Suara Ryan mendatar.
"Pelaburan bukan bidang aku." Zara mereka alasan.
"Baiklah...kalau itu yang kau mahu." Ryan mengeluh berat.
"Terima kasih, bos!" Zara menutup telefon bimbitnya. Dia mengemaskan alat-alat soleknya sebelum keluar dari tandas.
"Puan panggil." Laura menyampaikan pesanan ketuanya.
Terburu-buru Zara menyimpan beg alat soleknya ke dalam bilik dan mencapai organizer. Dia mengetuk pintu bilik Puan Haryani.
"Zara, duduk." Puan Haryani mengalihkan pandangannya dari skrin komputer. "Bagaimana you rasa bekerja di sini?"
Terpinga seketika Zara mendengar soalan Puan Haryani.
"Okey. I seronok. Banyak benda baharu yang I dapat belajar." Zara menjawab dengan berhati-hati.
Puan Haryani tersenyum. "I tahu sebab prestasi you selama ni menunjukkan you memang minat dengan kerja ni dan berkebolehan memikulnya dengan baik. Hujung bulan ni I akan resign. HR suruh cadangkan pengganti. Nama you, I dah cadangkan. Kalau pengarah urusan setuju, adalah rezeki you."
Zara terkesima. Sehingga dia keluar dari bilik Puan Haryani, fikirannya kosong sahaja.
Telefon di atas mejanya berbunyi.
"Helo?" Dia bersuara tanpa nada.
Gelak ketawa Ryan memenuhi biliknya. "Honey, terlepas dari kandang buaya, masuk kandang harimau. Kau tak boleh lari, honey!"
"Jadi kau terima usul Puan Haryani?"
"Sudah tentu. Tahniah!"
Zara tersandar pada kerusinya. Dia mengurut dahinya perlahan-lahan. Sebenar-benarnya Zara sedang keliru. Dia memang memerlukan kenaikan pangkat itu bagi mengubah hidupnya. Jika dia hendak membawa Danny dan Hanny tinggal bersamanya, gajinya sebagai eksekutif, memang tidak cukup. Tetapi dengan menerima jawatan pengurus, dia memang mampu menyara kedua-dua adiknya itu. Malangnya, hubungan kerja dengan Ryan pasti semakin akrab. Padahal dia memang mahu mengelak menonjolkan diri. Zara tidak boleh dikenali.
Dia rasa tersepit dan keliru. Antara dua kehendak yang bercanggah arah. Nampaknya sekali lagi Zara terpaksa mengorbankan kepentingan dirinya demi kebahagiaan Danny dan Hanny. Dia harus berkorban sekali lagi.
9�
YOU ARE READING
Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]
RomanceAntara Zara dengan Ryan, masing-masing ada sejarah hitam yang penuh noda yang tak mahu mereka kenang. Ryan masih meratapi cinta yang hilang hingga sanggup mengecewakan orang lain. Zara hidup dalam kebimbangan kerana melarikan diri daripada hantu sil...