Bab 16

1.2K 44 0
                                    

"IF Rez ask about my family, juz say yes 2 all his Qs. TQ

Berkerut dahi Ryan sewaktu menerima mesej SMS daripada Zara. Sejurus selepas itu Rezman menelefonnya. Apa yang sudah berlaku?

"Helo?" Ryan menjawab.

"Ada masa?"

"Hmm... apa hal pula kali ni?" Ryan menyembunyikan senyum. Pasti Zara sudah mengenakan Rezman dengan gurauan yang melampau. Faham benar dia akan sikap gadis itu.

"Jumpa kat tempat biasa." Rezman mematikan talian.

RYAN menggamit Zara supaya masuk ke biliknya. Ketika itu dia sedang bercakap di telefon dengan salah seorang pengarah Millenium Group.

Zara menarik kerusi dan duduk di hadapan Ryan. Entah apa pula yang hendak dibincangkan oleh Ryan. Sudahlah dia sedang sibuk membuat persiapan road show yang bermula minggu depan. Pukul 2.00 petang nanti, dia hendak ke Pusat Beli-belah Mid Valley meninjau tapak lokasi. Pelancaran akan dibuat di sana sebelum secara rasminya road show akan bergerak dari negeri ke negeri.

Ryan meletakkan telefon. "Mari." Dia bangun dan mencapai kot.

"Nak ke mana?" Zara hairan.

"Mid Valley. Ada mesyuarat petang ni, kan?"

"Kau pergi sekali?" Terkejut Zara memandang Ryan. Setahunya hanya dia, Ketua Unit Pemasaran dan Ketua Unit Perhubungan Awam sahaja yang pergi.

"Kenapa? Tak boleh ke aku pergi?" Ryan merenungnya.

"Okey." Zara teringat akan peristiwa kali pertama dia bertemu dengan Ryan dahulu. Ryan memang sering turun ke padang menyaksikan sendiri segala persiapan. Malah dia tidak berat tulang hendak membantu hatta kerja kuli sekali pun. Sebab itu Zara telah salah anggap terhadapnya dahulu. Bos disangkanya kuli.

"Kita makan dulu. Masih ada banyak masa." Ryan mencadangkan sambil menuju ke keretanya. Dia sudah jarang menggunakan khidmat pemandu pejabat semenjak perceraiannya. Dia selesa memandu sendiri kecuali tempat yang hendak ditujunya memang lokasi sesak dan tiada tempat letak kereta berdekatan.

"Apa kau buat pada Rez minggu lepas? Sampai dia jadi takut." Ryan memulakan bicara sewaktu dia mula memandu.

Zara tergelak. "Lengit sungguh. Sikit-sikit nak mengadu pada kau. Siapa kau? Pengasuh dia?"

"Kami kawan baik. Dulu sewaktu aku ada masalah, dia banyak tolong aku. Tolong dengar masalah aku walaupun dia tak berikan sebarang jalan penyelesaian. Sekurang-kurangnya dia sudi luangkan masa nak dengar." Ryan menjelaskan. Dia tidak mahu Zara tersalah anggap terhadap Rezman.

"Kira sekarang ni kau sedang membalas budi? Sampai bila?" Zara menoleh ke arah Ryan yang menumpukan perhatian kepada jalan raya yang sibuk.

Lelaki itu tidak menjawab. Entah apa yang difikirkan olehnya.

"Cuma aku harap, kau jangan jadikan aku sebagai alat untuk membalas budi. Aku bukan hak kau untuk diberikan begitu saja, okey?" Zara mahu Ryan faham akan pendiriannya. Sungguhpun mereka berkawan rapat, tidak semestinya lelaki itu boleh mengambil kesempatan dengan menjadikannya seperti tebusan semata-mata hendak membalas budi Rezman.

Kata-kata Zara sungguh pedas dan mengena. Ryan berasa marah; marah kepada dirinya kerana menganggap Zara sebagai alat untuk membalas budi Rezman. Dia mula rasa bersalah kerana memaksa Zara menerima Rezman. Tambahan pula dia boleh meneka rancangan yang tergambar di fikiran Rezman tatkala melihat Zara. Gadis itu akan menjadi hiburan sementara Rezman; sementara hati lelaki itu tidak terpaut pada gadis lain. Ryan tidak sepatutnya menggalakkan Rezman bersikap begitu. Selama ini dia tidak peduli mengenai kehidupan sosial Rezman. Tetapi apabila sudah mengaitkan Zara, dia sepatutnya tidak harus berdiam diri.

Ryan menghargai persahabatannya dengan Zara. Semenjak berkawan dengan gadis itu, banyak perkara yang Ryan pelajari. Dia semakin menghargai apa yang ada di sekelilingnya. Ryan mula menilai semua pengalaman hidupnya yang singkat bersama Nurjia. Dalam diam, Ryan berjanji mahu memulihkan kembali perhubungan dengan bekas isterinya. Sekiranya penyiasat yang diupahnya berjaya menemui Nurjia, dia tidak akan teragak-agak melutut di kaki wanita itu.

"Kau betul-betul tak mahu beri peluang kepada Rez?" Akhirnya Ryan bersuara.

Zara menarik nafas dalam-dalam. Ryan masih lagi mahu memaksa. Rimas! "Kau tau tak?" Zara memusingkan tubuhnya separuh kepada Ryan. "Aku lakukan semua ni kerana kau. Kau yang suruh aku berikan peluang kepada Rez. Aku dah cuba sedaya upaya. Malangnya tak boleh. Hati aku tak boleh dipaksa menyukai seseorang yang aku tak suka. Kalau kau hargai persahabatan kita, usah paksa aku terima Rez lagi!"

"Kau lakukannya kerana aku?" Terkejut Ryan mendengar kata-kata Zara. "Kenapa?" Wajahnya serius menatap wajah Zara.

"Sebab aku percayakan kau. Aku percaya yang kau tak kan suruh aku buat perkara yang sia-sia. Aku percayakan kau sebab kau pasti tak mahu aku terjebak dengan orang yang salah. Aku dah anggap kau macam abang aku. Seorang abang tentu tak mahu adiknya derita."

Zara terkejut apabila Ryan berhenti mengejut di tepi jalan. Bunyi hon daripada kenderaan di belakang, memekakkan telinga. Berdegup kuat jantung Zara dibuatnya. Dia memandang Ryan dengan hairan. "Kau ni kenapa? Nak bunuh diri?" jerkahnya.

Ryan mengetap gigi. Kedua-dua belah tangannya memegang kejap stereng kereta. Dia sudah melakukannya sekali lagi. Dahulu dia memaksa Nurjia menurut segala kehendaknya tanpa sedikit pun mempedulikan perasaan wanita itu. Kini dia memaksa Zara melakukan perkara yang sama. Ryan sudah mengambil kesempatan atas kepercayaan Zara terhadapnya. Sepatutnya dia melindungi Zara daripada Rezman, bukan menyuruh gadis itu memusnahkan kebahagiaannya.

Sebagai seorang sahabat, Ryan juga sebenarnya tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Sepatutnya dia menasihati Rezman, bukan menurut kehendaknya yang bertuhankan nafsu semata-mata kerana termakan budi.

"Maafkan aku, Zara. Sepatutnya aku tak paksa kau terima Rez. Tindakan aku salah!" Suara Ryan datar dan perlahan.

"Bagus!" Zara mengeluh lega. Dia memandang Ryan. Wajah lelaki itu nampak tertekan. Nampak seperti berat benar beban perasaan yang sedang ditanggung olehnya. Tidak mungkin rasa bersalah terhadapnya boleh mendatangkan kesan seperti itu. "Tak perlu kesal. Masih belum terlambat. Aku pasti sekarang Rez fikir 20 kali mengenai aku."

"Mungkin. Tapi dia tetap tak akan lepaskan kau." Ryan teringat akan pertemuannya dengan Rezman semalam. "Bagus juga kau tipu dia fasal keluarga kau. Sekurang-kurangnya dia akan fikir panjang untuk melamar kau. Tapi aku tak fikir dia akan berhenti daripada mengejar."

"Maksudnya?" Zara tidak faham.

"Dulu mungkin dia ada niat nak memperisterikan kau. Tapi bila kau buat cerita palsu fasal keluarga kau semalam, dia mungkin fikir lebih daripada sekali. Sekarang ni aku rasa dia lebih suka nak main-main. Kau faham maksud aku?" Ryan jadi bimbang pula bagi pihak Zara. Rezman bukan jenis lelaki yang suka kehendaknya ditolak. Tidak kira apa cara sekalipun, dia akan pastikan kehendaknya berjaya dipuaskan.

"Usah bimbang fasal tu. Aku boleh jaga diri. Cuma aku harap kau jangan lagi cuba pujuk aku terima dia, okey?"

"Okey." Ryan memberikan isyarat untuk masuk semula ke jalan utama. Masanya sudah tiba bagi Ryan bersemuka dengan Rezman dan menjalankan tanggungjawab sebenarnya sebagai seorang sahabat. 

Tolong Pikat Hatinya [PUBLISHED]Where stories live. Discover now