BAB 8
Kalut. Betul-betul kalut hidup aku sekarang ini. Kerja pejabat menimbun-nimbun. Latihan dan kursus pula tidak henti-henti. Jika aku tidak menghadiri latihan, terpaksa pula memberi latihan. Walau bukan tugas utama , aku terpaksa menghabiskan banyak masa untuk latihan, kerana tanpanya, pekerja pekerja bawahan aku akan hilang arah dan matlamat. Fokus mereka dalam bidang jualan perlu dibina dan ditambah dari semasa ke semasa. Target jualan mesti di capai seperti yang telah dirancang . Di sinilah latihan dan motivasi memainkan peranan.
Sebab utama yang menambahkan kekalutan aku ialah Pengurus Latihan syarikat telah berhenti , dan tempatnya belum digantikan lagi. Maka segala kerja-kerja berkaitan latihan kurang berjalan dengan lancar. Ada saja masalahnya di sana-sini. Pekerja-pekerja dari jabatan tersebut seperti hilang arah , bila nakhoda mereka tiada. Kadang-kadang membuatkan aku naik angin dengan tiba-tiba. Ada-ada sahaja kelalaian mereka. Lewat menempah bilik untuk sesi latihan, peralatan rosak, dan macam-macam lagilah alasan remeh mereka. Semua perkara remeh -temeh ini yang membuatkan keadaan menjadi huru hara. Serta banyak membuang masa.
Khabarnya, syarikat telah menaikkan pangkat seorang pegawainya yang bertugas di cawangan di London menjadi Pengurus Latihan di sini. Kebetulan pekerja tersebut pun berasal dari Malaysia. Seperti sireh pulang ke gangganglah bunyinya. Aku tidak peduli semua itu. Biar siapa pun orangnya, atau asal-usulnya, yang penting kerja-kerja di sini berjalan dengan terurus.Tidak menyemakkan kepala aku yang sudah sedia berserabut ini.
Kepala berserabut ? Iyaaaaa....memang kepala aku berserabut betul sekarang ini . Hampir-hampir biul rasanya. Minta dijauhkan Tuhan! Di pejabat kerja tidak pernah habis-habis. Sungguh meletihkan ! .Di rumah pula, mama pantang melihat mukaku, walaupun sedikit, persoalan tentang gadis pilihan atau bakal isteri mesti menjadi pertanyaannya. Mama tidak salah. Memang hak dia pun untuk menerima menantu . Aku sahaja yang lembab. Pada umur begini pun, masih terkial-kial mencari, sedangkan orang lain yang sebaya sudah pun beranak pinak. Jadi, setiap kali mama mempersoalkan perkara yang satu itu, aku hanya boleh bersabar sahaja. Duhai hati.....bersabaaaarlah, selagi boleh. Akan tetapi, jangan sekali-kali mengatakan sesuatu yang boleh mengguris hati mama. Sekali-kali jangan...
Seperkara lagi yang merunsingkan kepala aku. Julaina. Tidak habis-habis menganggu. Apa yang dikejar dan dicari dari aku , aku kurang mengerti. Aku telah berterus terang padanya, bahawa hubungan dengannya hanya sekadar kawan. Tidak lebih dari itu Namun dia nekad untuk berusaha memilikiku. Dengan apa cara sekali pun. Itu katanya. Memang betul, dia mengotakan kata-katanya. Setiap hari dia menganggu aku dengan panggilan telefon, baik talian telefon bimbit, maupun talian pejabat . SMS ? Huh! Boleh dikatakan pada setiap lima minit. Hairan aku, bagaimana dia bekerja ? Boleh siap ke kerjanya jika asyik menekan papan kekunci telefon bimbit ? Nasib baik juga dia tidak mempunyai alamat email aku, jika tidak, pasti aku akan membuang masa untuk menekan kekunci padam dalam kotak surat. Tentu setiap hari berates-ratus email akan dihantarnya. Bukannya kena caj, berbanding dengan SMS atau panggilan terus.
Kadang-kadang aku rasa Julaina ini betul-betul berhati kental dan penuh semangat . Atau sedikikit tidak betul?. Dia tidak jemu-jemu berusaha untuk memenuhi impian dan harapannya. Agaknya...lah!. Tidak mengatakan aku ini bagus sangat, sehingga ada perempuan yang terlalu tergila-gila. Mungkin ada sesuatu kelebihan pada diri ini yang membuatkan dia tertarik. Tubuh badan yang sasa? Sasa ke aku ni ? Ke gimnasium pun jarang sekali, mana nak dapat tubuh badan yang berketul-ketul itu ? Sekadar ber jogging tiga kali seminggu untuk mengekalkan kecerdasan badan dan jantung, tidak akan menghasilkan badan sebegitu. Untuk apa aku bina badan sebegitu ? Bidang kerja ku, banyak menggunakan kecerdasan otak dan ketangkasan pemikiran untuk mengeluarkan idea-idea bernas bagi mencapai matlamat jualan dan promosi. Aku bukannya pelakon atau model yang menjadikan tubuh badan sebagai aset untuk meraih pendapatan. Cukup sekadar mempunyai badan yang sihat, bersih, berpakaian kemas dan beretika. Memadai sesedap mata memandang.
KAMU SEDANG MEMBACA
PILIHAN MAMA
RomanceNovel pertama Umie Nadzimah Terbitan : Kaki Novel Sinopsis Mama mengharapkan impiannya yang satu, memiliki menantu perempuan dan seterusnya cucu-cucu untuk segera kutunaikan. Puas berusaha, gadis idaman masih belum ditemui……….payahnya untuk merasai...