BAB 3
Seperti biasa aku masih meneruskan aktiviti mencari calon menantu untuk mama. Lepas waktu kerja semestinya. Waktu kerja adalah waktu emas, prinsip aku mesti sungguh-sungguh dan serius, tiada curi-curi tulang. Barulah gaji yang di terima setiap hujung bulan terasa bersih dan diredhai. Petua untuk poket sentiasa penuh, rezeki mestilah dari sumber halal. Sebenarnya itu nasihat mama yang sentiasa diulang-ulang, sehingga sebati dalam pemikiranku, dan rasa berdosa jika amalan ini dilupakan. Dengan prinsip yang dipegang inilah berjaya melonjakkan aku sebagai seorang Pengurus Kanan di syarikat makanan antarabangsa yang ibu pejabatnya berpengkalan di Switzerland. Aku memegang jawatan ini pada umur yang agak muda jika dibandingkan dengan orang-orang lain . Syukur, rezeki aku sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Tidak kunafikan juga berkat doa mama yang tidak pernah putus!.
Peranan mama dalam kehidupanku tidak terceritakan oleh mulut yang satu ini. Dialah ibu, dialah bapa. Dialah pembimbing, dialah penasihat. Dialah tempat bermanja , dialah pencurah kasih sayang. Dialah pencari rezeki untuk kami berdua, sehinggalah aku memiliki wang sendiri. Dan segala beban menbesarkan aku dipikul olehnya. Seorang. Tiada yang membantu. Tidak terbalas budinya. Tak termampu kubayar harga pengorbanannya. Mama ditinggalkan ayah kerana ada orang ketiga dalam hubunga mereka. Sudah tentu kerana seorang wanita lain. Waktu itu aku baru berumur dua tahun. Tidak mengerti apa-apa lagi, kecuali makan, minum, main, menangis, ketawa , tidur. Takkanlah aku akan memahami bab-bab perceraian ibu-bapa pula. Sejak itulah aku ada mama dan mama ada aku sahaja. Ayah terus menyingkir kami. Tidak peduli lansung !.
Pun begitu aku masih juga mempunyai sepupu-sepupu serta makcik dan pakcik saudara. Bohonglah kalau kami hidup berdua sahaja tanpa dikelilingi saudara mara. Akan tetapi, mereka hanyalah penyokong-penyokong di belakang tabir sahaja. Yang merasa jerih dan payah hidup mendewasakan aku adalah mama seorang! Cuma aku dan mama sahaja yang mengerti . Kerana kami yang merasai.....
Itulah sebabnya aku akan sentiasa bekerja kuat untuk memenuhi impian dan harapan mama . Dari kecil aku sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik di matanya. Mama mengimpikan aku mendapat nombor satu pada setiap tahun persekolahan, dan aku telahpun memperolehinya. Mama ingin melihat aku meraih ijazah , aku telah menacapainya dengan gred yang paling baik, malah kutambah dengan ijazah kedua, peringkat sarjana dan sekarang ini menunggu masa untuk dikurniakan ijazah kedoktoran. Bermakna lebih kurang satu bulan lagi aku akan bergelar Doktor Muhammad Aiman. Mama mengharapkan aku menjadi anak yang soleh, , tidak tinggal solat, baik budi bahasa, menghormati orang tua dan lain-lain sikap terpuji seorang manusialah.... Bukan memuji diri, tetapi aku yakin , aku tidak pernah meninggalkan solat biarpun sekali, walaupun aku tidak tahu diterima Tuhan atau sebaliknya. Budi bahasa? Tidaklah pandai aku menilai diri, tetapi semua saudara mara serta kenalan mama selalu memuji-muji aku di hadapannya. Waktu itu aku lihat mukanya bersinar-sinar dan matanya bercahaya ! Namun, aku rock dan berbahasa kasar-kasar juga jika bersama teman-teman karib terutamanya denga Si Fazli bedebah itu.....
Cuma sekarang ini aku belum lagi dapat memenuhi harapan mama yang satu itu...... Mama inginkan menantu perempuan tunggal bagi menghiasi ruangan rumah kami, diikuti cucu-cucu nakal yang meriuhkan ! itu sahaja impian mama yang belum ku tunaikan ......
Teruk juga rasanya aku berusaha bagi memenuhi hajat mama yang satu ini. Telefon, SMS, MMS, chatting, facebook, dan entah apa-apa lagi ciptaan teknologi terkini, semua cara aku guna pakai. Namun masih belum ada yang serasi dan melekat di hati . Sudah berpuluh-puluh blind date aku aturkan tetapi masih hampa. Kawan-kawan aku pun banyak yang menolong, rekomen sana-sini, tetapi gadis impian belum menjelma lagi. Sudahnya semua mengutuk-ngutuk aku .....terlalu memilih! Aku terima sahajalah tohmahan itu, bintangku masih belum menyinar agaknya dalam bab kasih dan sayang teruna-dara.
Memilih ? Mungkin betul agaknya..... Kerana mungkin aku terlalu mengharapkan yang terbaik untuk mamaku. Biasanya itulah jawapan formal aku. Tidak mahu mama kecewa lagi kerana seorang perempuan yang kurang maruahnya . Seperti yang telah berlaku tiga puluh tahun dahulu. Tetapi sebenar-benarnya aku masih belum bertemu dengan si dia yang boleh menggetarkan dada lelaki ku. Betul-betul belum lagi. Berpuluh –puluh gadis atau mungkin sudah mencapai ke angka ratusan yang cuba ku kenali, tidak ada lagi yang menghangatkan perasaanku. Biasanya, selepas pertemuan pertama, aku tiada keinginan lagi untuk yang keduanya. Tamat di situ. Walaupun ada segelintir yang kujadikan sebagai kenalan biasa, Kawan sekadar untuk berbual dan bertukar-tukar pendapat. Tiada membabitkan perasaan.
Cuma satu cara lagi yang aku belum gunakan lagi. Pilihan mama. Bagi aku, teman hidup mestilah dari pilihan sendiri. Mesti mengenali dan mengerti perasaan masing-masing. Mesti ada perasaan cinta terlebih dahulu. Perasaan cinta ? Aku sendiri pun tidak tahu bagaimana. Sebab masih belum pernah merasainya. Cinta monyet pun tidak pernah aku alami dik kerana alam remaja ku yang penuh dengan impian dan cita-cita di dalam pelajaran.
Mama ada juga memberikan cadangan . Tetapi kebanyakannya ku tolak dengan baik, kerana bertentangan dengan prinsip sendiri. Mama pasrah. Tidak mendesak. Memahami bahawa hati dan perasaan tidak boleh dipaksa-paksa. Kerana dirinya pernah merasa kecewa akibat ditinggalkan. Juga tidak mahu anak kesayanganya merasai situasi yang sama. Apa yang boleh dilakukannya buat masa ini adalah meleter-leter supaya aku lebih cepat dan terus berusaha mendapat pasangan. Agaknya motivasi terbalik. Namun dalam diam-diam aku tahu mama hanya memberi ruang dan waktu untukku. Bila tiba masanya aku rasa dia sendiri akan memainkan peranan. Mungkin jika aku terlalu kelewatan !
Jangan bimbang mama........anak mu akan lebih gigih berusaha....., tidak akan putus asa. Mama Tungguuuu.......
KAMU SEDANG MEMBACA
PILIHAN MAMA
RomanceNovel pertama Umie Nadzimah Terbitan : Kaki Novel Sinopsis Mama mengharapkan impiannya yang satu, memiliki menantu perempuan dan seterusnya cucu-cucu untuk segera kutunaikan. Puas berusaha, gadis idaman masih belum ditemui……….payahnya untuk merasai...