Rizal tersenyum sambil menyepak batuan kecil di jalanan ketika pulang ke rumah sewanya selepas menunaikan solat isyak berjemaah di masjid. Mulutnya terkumat-kamit berzikir memanjatkan kesyukuran kerana tuhan menemukannya dengan sepupunya yang sudah lama terpisah. Jika dihitung kembali, genap 7 tahun juga dia tidak menziarahi kedua menakannya. Bukan kehendaknya tetapi setelah kematian arwah bapanya, tiada ruang untuk mereka ke sana. Ketika arwah bapanya masih hidup, arwahlah yang sentiasa memandu dan membawa ahli keluarga ke mana saja.
Kematian bapanya dalam satu insiden kemalangan menjadikan keadaan keluarganya sungguh kasihan. Miskin. Ibunya lah yang membanting tulang membesarkan kelima-lima adik beradiknya dan bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah. Tambah-tambah Rizal yang merupakan anak sulung dan masih lagi bersekolah di sebuah asrama harian di Negeri Sembilan serta tiada lagi lesen memandu, ia sangat menyukarkan. Harapkan bas, mereka tiada wang mencukupi untuk membeli tiket. Dia bukanlah tergolong dalam kalangan keluarga yang senang dan hanya membesar di kawasan setinggan pinggir Kuala Lumpur.
Dia membuka mangga padlock yang terkunci di pagar. Tatkala sebelah kakinya melangkah masuk, tangannya direntap dengan kuat oleh seseorang. Lehernya dirangkul kemas. Rizal meronta-ronta kerana tenggoroknya sakit dirangkul begitu.
"Erggghhhh...Lepas.. lepassss.. Lepaskan.... Erghhhhhh."
"Apa kaitan kau dengan awek tu?" satu suara garau berbisik di telinganya. Gertakannya halus tetapi cukup meremang.
"Aaaa... awek mana pulak ni?"
"Awek kat Saripah Corner. Kau memang babi lah. Semua awek kau nak tibai."
"Lepaskan aku. Lepaskan. Apa kau nak?" Rizal meronta-ronta cuba melepaskan rangkulan lengan dari lehernya.
"Kau nak aku lepaskan tapi kau buat perangai gampang tak nak jawab. Aku tanya sape woiii!," jerkah suara itu ke telinganya. Berdesing gegendang Rizal diperlaku begitu.
"O..o..o..okay brader. Kau lepaskan aku dulu, ba..baru aku bagitau siapa. Macam mana aku nak citer kalau anak tekak aku kau baham," Tersangkut-sangkut Rizal menjawab.
Lalu dilepasnya lengan dileher Rizal perlahan-lahan. Terbatuk-batuk Rizal ketika itu. Pantas dia menoleh. Dia terpana kerana wajah itu sangat dicamnya.
"Eh, Amar. Macam mana kau boleh ada kat sini?"soal Rizal terkulat-kulat.
"Pahal? Tak payah nak buat terkejut sangatlah. Aku masak dengan perangai kau. Haaa sekarang jawablah. Apa kena mengena awek tu dengan kau." Tempelak Amar.
"Dia sepupu aku," tenang saja Rizal menjawab.
"Sepupulah sangat. Kau kalau menipu tak sah." Satu tumbukan hinggap di perut Rizal. Dia tertunduk menahan senak. Amar kemudian menyisip rokok di tepi bibir dan membakar hujung rokok.
"Jujur je kalau tak nak sakit." Sambung Amar lagi.
"Aku berani sumpah Rohani tu sepupu aku." Rizal gagahkan diri bercakap walaupun sakitnya hanya tuhan yang tahu.
'Fuhhh ayunya nama. Rohani.'
"Eh eh eh.... Dah pandai main sumpah dah tenuk sekor ni. Ingat sikit ye, sebab kau lah Fauzi mati tau. Jangan ingat aku senang-senang nak percaya cakap kau dah. Tak guna sembahyang tunggang tunggik tapi perangai macam setan. Kalau aku ni bapak kau, kecik-kecik lagi aku dah picit kau biar mampus hidup-hidup. Tak habis-habis menyusahkan orang," kepala Rizal ditunjal-tunjal Amar manakala sebelah kiri tangannya menjentik-jentik habuk rokok.
"Kau nak apa cari dia?"
"Ahhhhh... Kau jangan nak masuk campur. Aku ada hal urusan seri paduka baginda sikit dengan dia. Oh ya, kau kata dia sepupu kau kan? Aku dapat tahu je kau kencing aku, memang aku takkan lepaskan kau hidup-hidup. Ingat!" Ugut Amar lalu menghembuskan asap rokok ke muka Rizal. Lalu dia bergerak masuk ke perut keretanya lantas memandu meninggalkan jasad Rizal di situ.
YOU ARE READING
SAKIT
Mistero / ThrillerAkibat kematian abang dan rakan tersayang, Amar menyimpan rasa benci terhadap kaum Hawa. Wanita hanya dijadikan tempat melampiaskan nafsu. Pertemuan semula dengan Rizal menyebabkan luka lama berdarah kembali. Amar menyalahkan Rizal yang menjadikan p...