BAB 1

17.2K 234 3
                                        

14 Mei 2001

Bunyi ketukan besi di laman balkoni pangsapuri tingkat 13 jelas kedengaran. Kuat. Air mata Azam bercucuran jatuh setelah menerima sepucuk surat daripada Nadine, kekasihnya. Ketukan dipalu kuat sama kuatnya dengan tamparan yang diterima di dalam surat itu. Hancur berderai jiwanya. Lama dia berdiri perhatikan sekelilingnya. Ya, memang ini yang harus dia lakukan. Tiada siapa yang memahami perasaannya. Wajah Nadine dan kenangan indah mereka seakan hidup di segenap ruang.

Azam kemudiannya naik di atas kerusi dan berdiri di atasnya. Surat kiriman Nadine tadi dicampakkan ke luar balkoni. Dia melilitkan wayar sepanjang lima meter di leher dengan simpulan kemas dan kukuh. Nafasnya ditarik panjang. Bayangan Nadine muncul tatkala matanya dikatup. Air matanya meluncur deras. Tangannya segera menyimpul wayar di atas besi yang diketuk tadi. Simpul mati dibuat agar memastikan ikatannya teguh.

Pisau Victorinox diambil di bahagian punggung poket jeansnya. Tangan kirinya menggenggam kemas pisau itu.

'Inikah yang kau mahu Nadine. Mana janji kau?' rintihnya.

Bergema nyaring gelak tawa sorakan Nadine di minda. Bersorak riang kerana kekasihnya ini bakal mati.

Pisau itu dipusatkan ke tengah-tengah perutnya. Kepalanya didongakkan memandang siling. Dengan perlahan-lahan matanya dipejam lantas tekanan diberikan ke atas perutnya. Tusukan dirasakan pedih, sepedih jiwanya yang dikoyak-koyak, dipijak dan dihina. Lalu dia menghalakan pisau itu ke sebelah kiri. Menggelupur badannya setelah pisau yang tertanam itu dicabut dan dilempar ke tepi. Darah berlumuran membasahi kemeja Ralph Lauren berwarna putih. Rasa sakit ditahan lantas dia melepaskan kedua kakinya ke luar balkoni.

Azam bergelut dengan rasa sakit belahan pisau dan jerutan di lehernya. Nafasnya sesak. Kakinya dironta-ronta kuat berkali-kali.

Wayar putus lantas menjatuhkan jasad Azam dari tingkat 13. Jasad Azam terhempas ke tanah dengan kuat betul-betul di hadapan kaki seorang gadis. Darahnya mencurah-curah memenuhi tanah ibarat mencurah-curah ke ladang gandum.

Angin bertiup sayu seakan memahami melayangkan surat tersebut mengenai kaki gadis itu. Sememangnya, dialah Nadine.

***

"Mar! Mar! Fauzi dah gila Mar! Tolong weh," tercungap-cungap Ipan bercakap setelah berlari tak cukup tanah mengalahkan Usain Bolt menuju ke kelas 6 Atas Fizik.

"Awak ni tak reti nak bagi salam ke? Mak bapak awak tak ajar adab?" Cikgu Hanisah berang sebaik melihat Ipan yang tergesa ke kelasnya tanpa mengucapkan salam.

"Ni bukan masanya nak main-main mak bapak, cikgu. Ada benda penting sekarang ni. Benda libatkan nyawa."

"Nyawa?"

"Ya cikgu. Fauzi nak bunuh diri. Dia buang tebiat pergi bangunan blok G hujung sana." Jawapan Ipan membuatkan Amar terus keluar berlari menuju ke arah blok yang baru siap pembinaannya dua hari lepas.

Bangunan tersebut merupakan bangunan yang baru siap dibina dan belum mendapat sijil layak menduduki lagi. Diameter bangunan masih lagi dipasang pita berjalur merah putih yang tertulis 'Dilarang Masuk'. Malah serpihan kaca, paku-paku, beg kampit simen, cerucuk-cerucuk besi masih berselerak dan belum dikemas.

"Inaaa! Kenapa buat aku macam ni!!!" raung Fauzi yang berdiri di atas tembok koridor tingkat 4 hujung bangunan tersebut.

"Aku tak sangka kau macam ni! Kau memang sundal, Ina. Kau memang... Arghhh!!!" teriak Fauzi bagai histeria sambil dua belah tangan mengusut masai rambutnya. Di bawah bangunan pula terdapat ramai orang yang berpusu-pusu melihat situasi gila itu.

Amar mara ke hadapan dengan menyingguh dan menolak orang ramai supaya ke tepi. Dia mendongak memandang Fauzi yang berdiri di atas tembok koridor dan semakin gila dengan wajah sayu.

SAKITTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang