BAB 3

11.6K 180 13
                                    

Rohani melabuhkan punggung di salah satu kerusi meja makan kedai. Letih kerana baru saja tadi dia menyapu dan menyusun atur bekas tisu dan kerusi meja kedai. Pantas dia menarik selambak bawang putih di dalam dulang yang sudah berada di atas meja. Pisau di tangan kanannya mulai ligat mengupas. Sudah tiga hari dia berkhidmat di Saripah Corner dan dalam tempoh itulah dia rindukan kampung halamannya.

'Apa khabarlah agaknya umi dan abah'

Dia merupakan anak tunggal yang berasal dari sebuah kampung di Bachok, Kelantan. Bapanya, Lebai Haron merupakan bekas imam masjid kariah di sana. Tetapi sudah bersara akibat menghidap strok. Manakala ibunya, Andak Lijah terpaksa menyara keluarganya dengan mengambil tempahan kuih-muih untuk dihantar ke dewan makan asrama berdekatan. Kerana kesusahan yang dialami, dia bertekad untuk ke Kuala Lumpur bagi ringankan beban keluarganya.

Mak Lang tadinya sibuk memeriksa bilangan gas yang disimpan sebagai stok di stor belakang dapur datang ke mejanya. Dilihatnya Rohani gigih berseorangan membuat kerja-kerja tersebut. Sejak akhir-akhir ini staf di kedai itu makin berkurang. Punca pertama adalah gaji dan kedua sudah semestinya Mak Lang. Apa tidaknya. Gaji dibayar murah kira-kira RM20 sehari. Pelanggan datang bukan main ramai, kerja bagai nak mati. Masuk pukul 2.00 petang balik 2.00 pagi. Dari segi kebajikan pekerja tak dinafikan Kak Suraya merupakan bos yang baik. Bab makan, minum semua dia jaga. Tetapi masuk bab duit memang mintak ampunlah cakap. Kalau hari tersebut pelanggan terlalu ramai pun paling koman dia naikkan gaji RM1. Kenaikan itu pun mungkin setahun sekali atau tak pernah langsung.

Mak Lang pun membawa pisau dan duduk bersebelahan Rohani. Baguslah ada juga yang membantunya. Jika tidak, terkontang-kantinglah dia menyiapkan sendirian. Sepanjang menyiapkan kerja-kerja mengupas bawang, Mak Lang tak henti-henti berceloteh tentang skandal-skandalnya. Dia dengan orang itu lah, dengan orang ini lah. Tiap kali kenderaan lalu lalang di luar kedai dia akan beritahu siapa orang tu dan apa hubungan mereka dengannya. Rohani hanya diam, senyum meleret dan tadahkan saja telinganya. Kalau cakap pun hanya perkataan 'oh' 'yeke' 'hehe' yang terpacul di mulutnya.

'Pin Pin Pin!'

Bunyi hon motor honda cup bulat berbunyi dari luar kedai. Mak Lang yang sejak tadi khusyuk berceloteh memanjangkan leher memerhati luar pagar. Bibirnya menguntum senyum. Skandalnya yang bernama Ajis Misai sedang menanti di luar.

"Kejap ye Hani, pakwe Mak Lang datang tu."

Rohani hanya mengangguk-angguk. Dari jauh dia melihat Mak Lang bergelak sakan dengan lelaki tua yang giginya tiada di depan. Diibarat tiang gol di Old Trafford romannya. Dilihatnya Mak Lang menerima bungkusan plastik berwarna ungu kemudian dia pun beredar di situ. Sebelum itu Mak Lang sempat berhenti di depan pintu pagar kedai kemudian tergedik-gedik sambil tersenyum menyeringai melambai ke arah Ajis Misai yang semakin hilang di pandangan.

Rohani hanya menggeleng-geleng melihat perangai Mak Lang yang tak padan dengan usia lalu kembali fokus dengan kerjanya yang perlu diselesaikan sebelum pukul 5.00 petang. Waktu itu kedai akan dibuka untuk menerima tetamu sehingga pukul 2.00 pagi. Jarum jam tepat menunjukkan pukul 4.15 petang.

Mak Lang tersengih-sengih menuju ke arah Rohani. Perasaan bahagia tak pudar-pudar lagi barangkali. Dia kemudian duduk semula di tempatnya.

"Pakwe Mak Lang tadi haa.. Dia belikan Mak Lang murtabak daging. Mak Lang tak tahu nak simpan kat mana ni. Ingat nak makan masa balik rumah nanti."

"Mak Lang tumpanglah letak kat peti ais kat dapur sana. Balik nanti Mak Lang panaskan. Bolehlah makan nanti," cadang Rohani. Barulah dia cakap panjang lebar sikit sejak tadi.

"Malaslah nak bawak balik. Nanti Pak Lang kau sibuk nak makan sekali. Benci Mak Lang."

'Uit, dah kahwin ke orang tua ni? Mati mati ingatkan andartu'

SAKITTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang