"Hanis! Jangan main-main dalam hujan, nanti habis lencun baju tu basah. Tak sihat nanti mama juga yang susah."Anak kecil usia 4 tahun dengan ceria mengekek tawa lalu memegang erat ibunya, lembut. Wanita itu kemudian memimpin anaknya berjalan membelah takungan hujan, berlindungkan payung menghantar si kecil itu ke taska berhampiran. Tidaklah terlalu hampir sebagaimana yang dibayangkan. Berdayakan kudrat kakinya, dua lorong perlu diharungi untuk tiba di destinasi itu dengan anggaran 1.5km dari rumahnya.
Titis-titis halus masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda usai tiba di hadapan pintu pagar taska tersebut. Dua orang guru taska berdiri di kiri dan kanan pintu pagar berteduh di bawah payung dan menyambut mereka berdua dengan segaris senyum. Wanita itu membalas senyuman kembali lalu menyalami mereka berdua. Manakala Hanis yang polos dengan riang berlari memeluk pinggang guru taska yang berdiri di sebelah kanan pagar.
"Tengok-tengokkan si Hanis ni elok-elok ya cikgu."
"Tak apa, puan. Ini sudah menjadi tanggungjawab saya dan rakan setugas lain untuk menjaga si Hanis ni."
"Kalau begitu saya beransur dulu. Saya ada hal sekejap lagi ni, tak boleh lama-lama."
Sambil tersenyum wanita itu pun pergi meninggalkan taska itu dan bayangnya sedikit demi sedikit beransur lenyap ditelan bersama hujan.
"Jom kita masuk, Hanis."
Hanis dengan wajah gembira terus memegang erat tangan gurunya yang manis itu dengan perasaan gembira lalu berjalan menuju ke pintu masuk taska. Masakan tidak, sebentar lagi anak kecil itu akan berjumpa dengan rakan-rakannya - belajar, bermain bersama-sama. Di dada guru itu yang ditutupi kerudung hitam tersemat tanda nama bertulis 'Zurina'.
***
"Apa yang kamu dah buat ni, Ina? Kamu tak kesian ke dengan mak kamu ni. Sanggup ye kamu menconteng arang ke muka keluarga kita? Mak nak letak muka mak ni kat mana lepas ni?" raung Mak Leha di hadapan orang ramai yang berkerumun di dalam balairaya ketika itu. Orang ramai ketika itu masing-masing tertumpu ke arah Rizal, Zurina dan juga Mak Leha yang sedang meratapi kesedihan dengan berita yang diterimanya dari orang kampung itu.
Zurina dan Rizal hanya berdiam diri, membatu. Tidak tahu bagaimana hendak mempertahankan diri lagi. Mereka tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan apa yang terjadi. Lidah kelu, kaku. Tambah-tambah merumitkan, ini sepertinya akan berlaku banyak campur tangan kerana hal salah faham seperti ini diselesaikan dengan cara terbuka.
"Penat mak jaga kamu dari kecil, bagi kamu didikan agama secukupnya, jaga kamu elok-elok, kamu nak apa lagi? Apa yang tak cukupnya lagi?" Mak Leha meluru ke arah Zurina kemudian memukul-mukul gadis itu dengan perasaan kecewa. Kecewa kerana gagal menjalankan amanah sebagai seorang ibu.
"Sabar Leha! Bawa mengucap! Jangan cepat jatuh hukum. Kita dengar dulu penjelasan mereka berdua dulu," ujar Haji Yusof, bapa kepada Zurina sambil orang ramai menarik Mak Leha daripada terus mengganyang Zurina yang kelihatan lemah dan tidak berdaya melawan ketika itu.
"Abang nak Leha dengar penjelasan apa lagi? Dah terang-terang diorang berdua buat benda tak senonoh tengah-tengah hutan. Saksi pun ramai. Abang fikirlah; dua orang manusia duduk berdua-duaan, separuh telanjang, itu pun abang masih lagi nak bersangka baik? Betul kan? Kan?" kata Mak Leha sambil memandang ke arah semua orang yang berada di situ, meminta sokongan yang dia benar kala itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
SAKIT
Mystery / ThrillerAkibat kematian abang dan rakan tersayang, Amar menyimpan rasa benci terhadap kaum Hawa. Wanita hanya dijadikan tempat melampiaskan nafsu. Pertemuan semula dengan Rizal menyebabkan luka lama berdarah kembali. Amar menyalahkan Rizal yang menjadikan p...