5 Tahun Kemudian
Saripah Corner. Inilah lokasi wajib Amar dan rakan serumahnya, Zul dan Din melepak tiap kali habis bekerja. Tempat ini sudah sebati untuk melepaskan tekanan bersama dan di sini juga menjadi tempat mereka mencuci mata. Menurut penduduk setempat, majoriti pekerja kedai makan itu dikhabarkan merupakan gadis-gadis lepasan SPM yang berasal dari kampung dan berhijrah ke Bandar Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.
Berpam-pam rokok disedut Amar. Badannya disandarkan di kerusi manakala lengan kirinya ditupangkan di kepala kerusi sebelah.
"Tadi aku kenal dengan sorang awek kampung kat Friendster. Fulamak! Kencang dol. Badan cenggini," ujar Zul sambil mengacungkan ibu jarinya. Riang.
"Galak hang noh. Hang ingat ayam kampung sama macam ayam bandaq? Cakap pakai akai," bentak Din.
"Ayam kampung ni susah. Kena bawak bersabaq. Nak buat lauk hang kena rancang betoi-betoi. Pasang jerat 'class A', baru cun. Silap sikit ja memang kebuloq lah hang. Ayam bandaq ja senang. Hang toksah pikiaq nak pasang perangkap hat tulah, hat nilah. Siul sikit ja kita perati depa boleh pi tara mana. Mana tau silap hari bulan depa mai datang melutut sendiri sembah kat kita," sambungnya lagi panjang lebar. Dia merupakan anak jati Gurun, Kedah.
Amar tersengih mendengar - khusyuk menikmati gudang garam sambil matanya liar memerhati orang ramai. Kepalanya didongakkan lalu dia menghembuskan asap rokok di udara.
"Mak Lang dah ajar kan macam mana nak ambil order? Kenapa tak faham-faham lagi?" Satu suara menarik perhatian Amar. Kelihatan seorang wanita separuh abad sedang mencekak pinggang memarahi gadis berusia 23 tahun.
"Maafkan saya Mak Lang. Maafkan saya." Perempuan tua yang dikenali sebagai Mak Lang serta-merta merampas buku notepad daripada tangan gadis tersebut. Dia kemudiannya mengeluarkan pen yang terselit di celah notepad.
"Maaf. Maaf. Maaf. Tu jelah yang kau tau. Sini Mak Lang ajar. Kalau customer order Nasi Goreng Kampung, tulis 'NGK' je. Kalau Teh Tarik Kurang Manis. Tulis 'TT KRG MNS'. Kedai ni pakai short form je. Tak payah bazir dakwat tulis panjang-panjang. Bazir masa." Mak Lang kemudiannya mencampakkan notepad dan pen tadi di atas meja lalu pergi meninggalkan gadis tersebut. Gadis itu terkedu tertunduk malu akibat dimarahi di hadapan orang ramai.
"Sabar Rohani. Pedulikan jelah Mak Lang tu. Dia memang macam tu. Dah menopause ni pepaham jelah. Meroyan tak tentu pasal," pujuk Kak Tie, pekerja berusia 30-an yang sedang mengelap meja sebelah.
Mak Lang merupakan pekerja paling senior dalam kalangan mereka. Dia bukanlah seorang bos tetapi sebagai pekerja yang banyak makan garam dan berpengalaman lebih 13 tahun bekerja katanya, dia berhak untuk bertindak sebagai orang penting bagi memastikan mutu perkhidmatan yang diberi memuaskan pelanggan. Jadi tak hairan jika dia berlagak menjadi mandur dan siap goyang kaki mengarah orang lain buat itu ini. Kalau ada pekerja baru, mulalah dia mencari salah. Semua serba tak kena. Sebab itu lah ramai pekerja baru susah hendak melekat. Terlalu ramai yang tertekan kerana ditekan olehnya. Kalau ada yang bertahan pun, mereka tak ngam langsung dengan Mak Lang.
Rohani gigih mengangkat besen besar ke hulu ke hilir untuk mengutip cawan dan pinggan mangkuk kotor di atas meja setelah mendapat arahan baru daripada Mak Lang. Tangan sebelah kirinya pula memegang kain lap meja. Memang sebijik macam kena bulilah gayanya. Serius.
Amar mengangkat tangan sebagai isyarat memanggil Rohani ke mejanya. Rohani meletakkan besen yang penuh berisi pinggan mangkuk kotor di belakang. Segera dia menuju ke arah Amar sambil tangan kanannya menyeluk poket apron untuk mengambil notepad dan pen. Lengan baju di pergelangan tangan kirinya mengesat peluh yang terpercik di dahi. Penat.
"Encik nak order apa ya?" Halus suara Rohani bertanya sambil tangannya sudah bersedia untuk digerakkan di atas notepad.
"Bagi saya Nescafe Panas," kata Amar lalu menonyoh puntung rokok ke dalam asbak berbentuk segi empat tepat.
YOU ARE READING
SAKIT
Mystery / ThrillerAkibat kematian abang dan rakan tersayang, Amar menyimpan rasa benci terhadap kaum Hawa. Wanita hanya dijadikan tempat melampiaskan nafsu. Pertemuan semula dengan Rizal menyebabkan luka lama berdarah kembali. Amar menyalahkan Rizal yang menjadikan p...