Sayang, Anak Mak! - Bab 1

834 15 5
                                    

"Sayang, anak mak. Buat apa?" tegur Puan Azimah sambil merapati anak lelaki bongsunya yang baru menginjak umur enam tahun. Dilihatnya wajah Hafiey monyok saja. Entah apa pula yang berlaku pada Hafiey.

"Adik bosanlah. Tak ada kawan nak main sama," petah mulut Hafiey memberitahu. Seketika kemudian, dia menundukkan wajahnya lagi. Hujung jari kakinya pula sudah menguis-nguis permaidani di situ.

"Tak main dengan along? Angah?" soal Puan Azimah lagi.

Hafiey tidak mengangkat wajah. Sebaliknya, terus menggeleng perlahan.

"Entah. Tak tahu mana along dengan angah pergi."

Puan Azimah tersenyum lebar. Tahu sangat kalau Hafiey sudah mula bermain dengan hujung jari kakinya tu. Tentu benar-benar kebosanan. Sebentar tadi, dia sempat menyembunyikan satu bungkusan di belakang badannya. Perlahan-lahan dia mengeluarkan bungkusan itu lalu diletakkan di hadapan Hafiey.

"Ini untuk adik."

Dengar saja kata-kata Puan Azimah itu, Hafiey terus mengangkat wajahnya. Anak matanya juga sudah bersinar-sinar apabila melihat satu bungkusan comel di hadapan matanya. Tanpa membuang masa, tangan kecil Hafiey rakus membuka bungkusan itu. Dia sudah tidak sabar untuk melihat hadiah apa diberikan oleh mak.

"Suka tak?"

Bibir Hafiey sudah tersenyum lebar. Beberapa kali dia menganggukkan kepalanya. Teruja betul melihat hadiah baru maknya itu.

Bibir Puan Azimah ikut juga tersenyum lebar. Mudah benar memujuk anak bongsunya itu. Langsung tak banyak ragam. Bagilah hadiah apa pun, dia tetap menerimanya dengan gembira. Tidak secerewet seperti along ataupun angah. Mungkin juga disebabkan itu, masanya banyak dihabiskan dengan anak bongsunya itu.

"Adik nak main kat luar. Nak tunjukkan arnab ni pada along dengan angah. Boleh?" putus Hafiey setelah lama bermain dengan patung arnab hadiah baru daripada mak.

Puan Azimah menganggukkan kepalanya.

"Boleh. Tapi, jangan main jauh sangat ya."

"Baik, mak!"

Bibir Puan Azimah sudah tersenyum lebar. Itulah Hafiey. Anak bongsunya. Senang mendengar kata. Pesan apa saja, terus dijawab 'baik, mak' tanpa banyak soal. Tak macam along dengan angah. Bila diberitahu, ada saja sesi soal jawab.

Hafiey sempat melambai-lambai tangannya pada Puan Azimah sebelum terkedek-kedek ke arah pintu utama. Mahu mencari along dengan angah katanya. Kepala Puan Azimah sudah menggeleng perlahan dengan keletah anak bongsunya itu.

Hafiey berhenti di bawah pokok rendang tidak jauh dari rumahnya. Sudah puas mencari along dengan angah. Tapi, bayang mereka langsung tidak ditemuinya. Entah mana pula along dengan angah ni pergi, ya? Sudahnya, dia bermain saja di bawah pokok itu dengan patung arnab barunya itu. Sesekali, dia bercakap dengan patung arnab itu. Seolah-olah patung arnab itu dapat mendengar dan memahami setiap butir bicaranya itu.

Hafiey tersentak. Patung arnab kesayangannya sudah diragut dari tangannya. Di hadapannya kini sudah ada beberapa orang budak lebih kurang sebayanya. Riak memek muka Hafiey sudah berubah. Sudah hilang keceriaan di wajah kecil itu. Sedikit masa saja lagi, pasti tangisan pula yang akan kedengaran di situ.

"Hei, tengok tu! Dia nak menangislah tu," ejek satu suara.

"Kejap lagi pasti dia jerit panggil nama mak dia," ejek satu suara lain.

Hafiey diam. Dia tidak jadi menangis bila mendengar kata-kata itu. Sebaliknya, dia menghulurkan tangannya pula pada seorang budak yang merampas anak patung arnabnya itu.

Sayang, Anak Mak!Where stories live. Discover now