Sayang, Anak Mak! - Bab 5

191 5 0
                                    

Habis kelas pada hari itu, langkah kaki Hafiey dan Fatin terus sahaja menuju ke arah kafeteria. Mahu mengisi perut yang sedari tadi lagi sudah memainkan lagu. Tanda-tanda minta diisi. Sampaikan kelas sebentar tadi pun dia tidak berjaya untuk fokus. Itulah padahnya kalau terlewat bangun. Sampaikan tak sempat mengisi perut dengan sarapan disediakan mak.

"Fatin!" panggil Hafiey tiba-tiba. Kakinya juga sudah berhenti melangkah.

Fatin menoleh. Langsung dia tidak sedar Hafiey berada di belakangnya. Bila pula rakannya itu berhenti melangkah?

Kening Fatin sudah terangkat.

"Kenapa? Kata tadi lapar?"

"Awak pergilah dulu ya. Nak pergi tandas kejap," beritahu Hafiey sambil tersengih. Malu pula bila keadaan kecemasan datang tiba-tiba begitu.

"Yalah. Jumpa kat kafe, ya," ujar Fatin sambil tersenyum.

"Okey!"

Tanpa menanti lama, Hafiey terus mengatur langkah mencari tandas. Fatin ditinggalkan sendirian gara-gara dia ada kecemasan yang perlu diselesaikan segera. Nasibnya baik kerana ada tandas disediakan tidak jauh dari tempat dia berada.

Hafiey melangkah keluar setelah urusannya sebentar tadi, selesai. Lega! Itu yang dia rasakan. Ini mesti sebab tadi berada di dalam bilik kuliah yang sangat sejuk. Dua jam! Bukannya jangka waktu yang singkat. Jadi, memang wajarlah jika dia mahu mencari tandas.

Baru beberapa langkah diatur, kakinya berhenti lagi. Ada sesuatu menarik perhatiannya. Spontan, anak matanya terarah tepat di hadapan sana. Buat seketika, anak matanya terkedip-kedip memandang di hadapan sana. Lidahnya kelu!

Mimpi ke dia? Terdetik persoalan itu di benak fikirannya.

Apa tidak? Sudah sebulan kejadian itu berlalu. Malah, selama seminggu juga dia cuba menjejaki gadis itu. Tapi, langsung tidak ditemuinya. Terasa seperti kolejnya itu benar-benar besar pula. Sampaikan tidak menemui orang yang dicarinya. Sudahnya, dia putus asa. Sudah penat mencari insan yang tidak juga ditemuinya. Sekarang, sewaktu dia langsung tiada hati mahu mencari. Gadis itu pula muncul secara tiba-tiba di hadapannya. Permainan apakah ini?

Dalam Hafiey terkejut melihat kemunculan gadis bertopi itu, gadis itu melintasinya. Tanpa sedar dirinya sedang ditatap lama oleh Hafiey. Tersedar daripada lamunan panjang, Hafiey terus menoleh. Dilihatnya gadis bertopi tadi memasuki tandas.

Ah, sudah! Tak kan dia nak tunggu gadis bertopi tu kat sini? Depan tandas perempuan pulak tu!

Tidak mahu kehilangan gadis bertopi itu lagi, sudahnya Hafiey nekad! Mahu tunggu di situ. Bila ada beberapa orang pelajar yang melintasinya, Hafiey tundukkan wajahnya. Malu! Nanti apa orang kata, bila tengok dia berdiri di hadapan tandas perempuan sebegitu?

Mata Hafiey menjeling jam. Sedar tak sedar, sudah 10 minit dia berdiri di situ.

"Kenapa lama sangat? Buat pelaburan besar ke?" omel Hafiey sendirian. Sesekali, anak matanya terarah pada pintu tandas perempuan. Masih lagi setia menanti kemunculan gadis bertopi.

Atau...dia sudah terlepas pandang? Entah-entah gadis bertopi tadi sudah keluar dari tandas dan dia tidak perasan? Rumus hatinya pula.

"Maaf, tumpang tanya."

Nak tak nak, Hafiey akhirnya terpaksa juga menegur seorang gadis yang baru sahaja keluar dari tandas dan melintasinya.

"Ya?" Gadis itu mengangkat wajahnya. Keningnya berlapis tebal melihatkan lelaki itu di hadapannya. Terasa pelik bila seorang lelaki berdiri di situ.

Sayang, Anak Mak!Where stories live. Discover now