Sayang, Anak Mak! - Bab 9

144 4 0
                                    

Perlahan-lahan Hafiey membuka matanya. Mula-mula, hanya bukaan kecil sahaja. Seketika kemudian, anak matanya dibuka luas. Buat seketika, dia terpinga-pinga di situ. Tempat itu dirasakan terlalu asing pada pandangan matanya.

"Aku kat mana ni?"

"Hei! Tolonglah jangan guna dialog klise tu! Dalam drama dah berlambak guna kot," bidas Amani pantas.

Anak mata Hafiey terus terarah tepat pada Amani. Entah macam mana dia boleh tak perasaan kewujudan minah gengster tu tadi. Baru celik mata, dah kena sembur. Apalah malang nasib jumpa si minah gengster ni.

"Maaf," ujar Amani pula bila melihat riak wajah Hafiey berubah. Bukan dia sengaja hendak berkata begitu. Tapi, mulutnya ni memang tak pandai nak tengok keadaan sekeliling.

Tentulah mat skema tertanya kat mana dia berada bila tengok persekitaran asing, kan? Pujuk hati Amani sendirian.

Amani cuba untuk tidak berfikiran negatif lagi. Sudahlah baru sekejap tadi, dia terkejut bila melihat mat skema itu tiba-tiba sahaja rebah di hadapannya. Kalut dia meminta pertolongan orang untuk membawa mat skema itu ke hospital. Mujur tak ada apa-apa.

Sekali lagi anak mata Hafiey terarah pada Amani. Gadis itu sentiasa mengejutkan dirinya. Nampak macam minah gengster, tapi mudah pula dia mengakui kesilapannya. Pada Hafiey, perkataan maaf tu terlalu sukar untuk diakui.

"Kau kat hospital. Tadi kau rebah. Tak sedarkan diri," beritahu Amani pula setelah melihat Hafiey hanya mendiamkan diri saja. Manakala, matanya pula masih lagi memerhati keadaan sekeliling. Tentu tertanya-tanya kat mana dia berada.

Ah, bodoh! Dah rebah, memanglah tak sedarkan diri. Lagi mahu cakap ke? Omel Amani apabila menyedari kesilapannya itu.

"Awak hantar saya ke sini?"

Amani menganggukkan saja.

"Terima kasih," ujar Hafiey lagi.

Skema! Jerit hati Amani. Tiba-tiba sahaja dia terasa janggal untuk bersemuka dengan mat skema itu dengan lebih lama. Dan paling penting, ayat-ayatnya juga sudah ikut skema gara-gara mat skema!

Amani angguk lagi. Tak daya mulutnya mahu membalas kata-kata Hafiey itu.

"Bila saya boleh balik?"

Amani menoleh pada Hafiey. Jelas, riak wajah lelaki itu mahu tahu keadaannya. Nak tak nak, dia kena beritahu Hafiey apa yang doktor sampaikan pada dia sebentar tadi.

"Dah boleh balik sekarang. Doktor kata kau tak ada apa-apa. Cuma..." Kata-kata Amani terhenti di situ. Sehinggakan, Hafiey jadi tidak sabar.

"Cuma apa?"

"Cuma kau terlalu gementar dan ketakutan, sampaikan kau rebah tak sedarkan diri. Itu kata doktor tadi," sambung Amani lagi.

Itulah kata-kata yang diberitahu padanya sebentar tadi. Mula-mula rasa macam tak percaya jugak. Tapi, bila tengok keadaan Hafiey tu. Rasanya tak mustahil jika perkara itu memang berlaku pada dia, kan? Dah nama pun mat skema. Belum gertak lagi dah pengsan. Macam mana kalau aku gertak dia nanti? Mahu pitam seminggu. Silap hari bulan, pitam tak bangun-bangun. Tak fasal-fasal jadi kes lain pulak.

Riak wajah Hafiey terus berubah. Warna pada wajahnya juga sudah berubah kemerahan. Malah, tiba-tiba sahaja dia terasa berbahang. Peluh juga sudah kelihatan pada gigi rambutnya. Saat itu, nak saja dia benamkan kepala dia di mana-mana. Biar minah gengster tu tak dapat melihat wajahnya lagi.

Malunya! Mana nak sorok muka aku ni? Mak! Tolong Hafiey!

"Eh? Kau dengar ke apa aku cakap tadi?" soal Amani. Naik hairan pula dia melihat Hafiey tiba-tiba sahaja diam membatukan diri. Tadi beria sangat tanya, kan?

Sayang, Anak Mak!Where stories live. Discover now