Amani menukar posisi duduknya. Seketika kemudian, dia menukar posisinya lagi. Jujurnya, dia langsung tidak merasa selesa dengan mana-mana posisi duduknya. Masuk ini, sudah lima kali dia menukar posisi duduknya. Tubuh Amani yang tadinya bersandar selesa pada kerusi, terus sahaja tegak. Rambut panjangnya terus melurut jatuh ke bawah. Dengan kasar, dia menolak rambutnya ke belakang. Dalam waktu macam ni, rasa rimas pula dengan rambutnya itu.
"Kalau tak disebabkan abah, memang rambut ni aku cantas pendek," omel Amani dek rimas dengan rambutnya sendiri.
Ah, kenapalah abah ni nak sibukkan hal rambut aku pulak? Sebab larangan keras abahlah, rambutnya kekal panjang sebegitu.
Resah duduk di situ, Amani bangkit. Langkah kakinya mula diatur dari penghujung bilik kiri dan kanannya. Sudahnya, tiga kali jugalah dia mengulang perkara yang sama. Namun begitu, perasaan resah masih lagi dirasainya hingga kini. Sikit pun tidak berkurang. Malah, makin bertambah resah adalah.
Amani melabuhkan punggungnya di atas katilnya pula. Serentak dengan itu, kejadian yang berlaku semalam kembali bermain di tubir matanya. Kejadian itulah yang menyebabkan dia resah seharian ini.
Elok sahaja selepas Amani secara tak sengaja 'mengerjakan' budak lelaki skema tu, dia dikejutkan dengan kemunculan rakan-rakannya.
"Amani! Kenapa ni? Kau okey? Apa dia dah buat pada kau?" soal Saleha penuh minat.
Saleha menjeling sekilas pada budak lelaki yang baru sahaja bangkit dan dibantu oleh rakannya barangkali. Skema! Itu sahaja yang dapat disimpulkan daripada pemakaian lelaki tu. Dan sejak bila pula Amani boleh kenal dengan budak skema macam tu?
"Err..tak ada apalah! Jom!"
"Tapi..." Dian pula mahu bersuara. Namun begitu, Amani cepat-cepat memotongnya.
"Jomlah! Pedulikan mereka!"
Tanpa menanti jawapan daripada rakannya, Amani terus sahaja menarik tangan Dian dan Saleha. Dia mahu cepat-cepat beredar dari situ. Sudah tidak mahu menjawab soalan lelaki itu yang menyesakkan kepalanya. Walhal dia tahu, sekejap lagi pasti dirinya akan disoal siasat pula oleh rakan-rakannya.
"Siapa tu?" soal Saleha lagi. Tidak senang selagi dia tidak mendengar jawapan dari mulut rakannya itu.
Nak juga dia tahu, sejak bila Amani kenal dengan budak skema sebegitu? Setahunya, Amani memang tak ramai kenalan lelaki. Lagaknya, seolah-olah tidak senang dengan lelaki. Sebab itulah, Amani masih lagi tidak berteman. Sedangkan rakan-rakan mereka yang lain sudah mempunyai teman.
Amani mengeluh perlahan.
Dah agak dah! Kejap lagi pasti soal siasat akan bermula. Cumanya, dia tidak sangka ia akan berlaku dalam jangka waktu yang pantas sebegini. Mana dia nak cekau jawapan?
"Tak kenal."
Saleha terus menoleh pada Amani.
"Tak kenal? Biar betul kau ni? Kalau tak kenal kenapa jadi macam tu? Dia kacau kau ke?"
"Betullah tak kenal. Tak kan aku bohong pulak? Apa aku dapat?" hujah Amani lagi.
Jujur kan jawapan paling selamat. Fuh, nasib baik dia dapat idea itu spontan. Taklah dia penat dalam mereka jawapan yang bukan-bukan untuk disogokkan pada rakannya itu.
"Amani!" panggil Dian pula.
Amani menoleh pada Dian di sisi. Langkahnya masih lagi diatur seiring dengan rakan-rakannya itu. Keningnya sudah terjongket ke atas.
"Macam mana kau buat tadi ya?"
Amani diam. Soalan Dian tidak terus dijawabnya. Bahaya! Getus hatinya lagi.
YOU ARE READING
Sayang, Anak Mak!
RomantizmBLURB "Patutnya abah bersyukur sebab Amani tak habiskan masa dengan teman lelaki. Bercouple tu kan haram." Amani menggelabah dengan permintaan karut abah. Permintaan itu, tak pernah dibuat dek abah orang lain. Nak kenalkan macam mana, kalau dia tak...