"Amani...." bisik Hafiey perlahan.
Anak matanya masih lagi terarah tepat pada topi kanak-kanak di tangannya itu. Sudah beberapa tahun kejadian itu berlalu, namun ia tetap segar di ingatan Hafiey.
Dan topi itu pula setia menemaninya. Setia di sisinya. Rasanya, itulah kali pertama ada insan lain yang sudi menyelamatkan dirinya selain along dan angah. Satu keluhan kecil dilepaskan. Topi yang bertulis AMANI itu ditatap lagi.
Di mana dia berada sekarang, ya? Apa dia buat? Bagaimana keadaan dia?
Hafiey mengeluh lagi. Dia sendiri sudah lupa beberapa kali soalan itu berlegar-legar di kotak ingatannya. Satu yang pasti. Dia masih lagi tidak mempunyai jawapan untuk soalan itu. Malah, jauh di sudut hatinya dia berharap dapat menemui gadis kecil itu lagi. Agar dia boleh mengusulkan soalan itu terus pada tuan punya badan.
"Adik!" panggil satu suara dari luar biliknya. Pintu bilik Hafiey juga sudah diketuk beberapa kali.
Hafiey tersentak. Hilang sudah persoalan yang bermain di benaknya sebentar tadi. Topi di tangannya juga sudah jatuh ke atas lantai. Anak matanya terus dihalakan pada pintu bilik.
"Ya, mak?"
"Bangun ya, sayang. Dah pagi ni, nanti lewat lagi ke kuliah."
"Err..baik, mak!" jawab Hafiey gugup. Kononnya baru bangun tidur. Padahal dia sudah bangun dari tadi lagi. Tapi, masanya banyak terbuang dengan topi kesayangannya itulah. Terus Hafiey tunduk untuk mengambil topi kesayangannya itu.
"Nanti kejutkan angah sama, ya," sempat lagi mak berpesan.
"Along?" soal Hafiey pantas. Pelik pula bila mak hanya menyebut nama angah saja. Kebiasaannya pasti ada nama along sama.
"Along dah keluar."
"Okey, mak!" balas Hafiey lagi.
Tanpa membuang masa, Hafiey terus bangkit dari katilnya. Langkahnya pula terus diarahkan pada pintu biliknya. Sempat dia mencapai tuala tidak jauh dari situ. Usai saja mandi, dia terus melangkah ke arah bilik angah.
Pintu bilik angah diketuk perlahan. Namun begitu, tiada respons dari dalam. Pintu diketuk lagi. Kali ini, sedikit kuat dari tadi.
"Apa??" jerit Harraz dari dalam. Bunyi pintu diketuk berkali-kali, tentu membuatkan tidurnya terganggu.
"Bangun, angah! Dah pagi! Karang lambat..."
"Aku tahulah!" potong Harraz dari dalam, tanpa sempat Hafiey habis berkata-kata.
Hafiey sudah angkat bahu.
Angah selalu macam tu. Jenis payah bangun pagi. Sebab tu, mak pun sudah malas nak kejutkan angah. Bila kejut, cakap tahu. Lepas tu tidur balik. Tahu sangat dah!
"Angah! Dahlah tidur tu! Bangunlah!" kejut Hafiey lagi sambil tangannya sudah mengetuk pintu bilik Harraz lagi. Dia dah kenal sangat perangai angah yang satu ni. Sebab dialah terpaksa jadi tukang kejut tak bertauliah angah tu.
"Hish! Sibuklah kau ni!" omel Harraz dari dalam bilik.
"Bangunlah angah!"
"Yalah! Yalah! Aku bangun! Bising betul!" sahut Harraz kuat. Marah dan geram gara-gara tidurnya pada pagi itu diganggu oleh Hafiey lagi. Menyampah!
Hafiey di luar bilik sudah tersenyum. Yakin, misinya pada pagi itu sudah berjaya. Tanpa membuang masa, dia terus melangkah ke biliknya. Mahu bersiap-siap untuk kuliah pula. Karang terlambat lagi. Dia jugak yang susah.
Di meja makan, Hafiey langsung tidak menjamah nasi goreng di hadapannya. Sudu di tangannya pula, hanya dimainkan sahaja dengan nasi goreng itu. Matanya pula terarah tepat pada Harraz yang duduk bertentangan dengannya. Sehinggakan, Harraz tidak senang duduk dengan tingkah lakunya itu.
YOU ARE READING
Sayang, Anak Mak!
RomanceBLURB "Patutnya abah bersyukur sebab Amani tak habiskan masa dengan teman lelaki. Bercouple tu kan haram." Amani menggelabah dengan permintaan karut abah. Permintaan itu, tak pernah dibuat dek abah orang lain. Nak kenalkan macam mana, kalau dia tak...