Sudah seminggu, kejadian dikejar sekumpulan lelaki tidak dikenali. Kononnya, itu Abang Ngah Tuah? Sungguh! Sampai sekarang Hafiey masih kebingungan. Masih juga tidak tahu perihal Abang Ngah Tuah yang disebut perempuan itu.
Kalau Abang Ngah Tuah watak dalam drama kegilaan mak tu, dia tahulah. Malah, dia juga tidak tahu perihal perempuan itu. Siapa dia? Dan kenapa dia bertindak begitu.
Bermakna, sudah seminggu jugalah Hafiey jadi pengawal tak bertauliah di hadapan pintu masuk kolejnya itu. Sebabnya, di sinilah dia dan perempuan itu terpisah. Entah mengapa, jauh di sudut hatinya mengatakan perempuan itu juga merupakan pelajar di kampus itu. Tapi, betul ke begitu?
Sudah puas menanti, Hafiey akhirnya mengalah. Dia beredar dengan hati yang berat. Kecewa kerana tidak menemui perempuan itu lagi. Ada banyak benda yang mahu ditanyakan pada perempuan itu. Terutamanya, perihal topi perempuan itu. Reka bentuk topi itu benar-benar sama. Dan perkataan A.M.A.N.I juga sama. Itu ke budak yang pernah menyelamatkannya dulu? Dan sekarang, dia diselamatkan buat kali kedua oleh orang yang sama? Suratan atau kebetulan?
Itulah sebab utama, mengapa dia sanggup menjadi pengawal tak bertauliah di pintu pagar itu buat tujuh hari berturut-turut. Gila, kan? Hafiey tak peduli. Yang penting, dia dapat berjumpa dengan perempuan itu lagi. Itu saja yang dia tahu.
"Hafiey!" panggil satu suara.
Hafiey terus mengangkat wajah. Wajah Fatin menyapa pandangannya. Itulah satu-satunya rakan yang dia ada di kolej itu. Itu jugalah rakan yang selalu berdiri di belakangnya dan menyokong apa sahaja keputusan yang dibuatnya. Along dan angah belum tentu dapat melakukan apa yang sudah dilakukan oleh Fatin kepadanya.
"Fatin," sapa Hafiey. Tanpa sedar, dia menghadiahkan senyuman kelat buat rakannya itu.
"Kenapa? Ada masalah ke?" soal Fatin. Cepat saja membaca bahasa pada wajah Hafiey.
Hafiey menggeleng. Cuba merahsiakan apa yang mengganggu fikirannya sejak seminggu yang lalu. Tak sangka, dengan sekali pandang saja Fatin sudah tahu ada yang tak kena dengan dirinya. Hebat betul Fatin!
"Betul ke?" soal Fatin lagi. Entah mengapa dia merasakan Hafiey seperti menyembunyikan sesuatu daripadanya. Alah, mereka berkawan bukannya baru sehari. Sejak hari pertama mereka belajar di sini lagi. Jadi, sudah tentulah dia dapat mengesan riak wajah Hafiey jika benar dia mempunyai masalah.
"Saya tak boleh tipu awak, kan?" soal Hafiey pula.
Fatin hanya tersenyum. Kemudian, dia mengangguk perlahan.
Sudahnya, Hafiey terpaksa menceritakan kejadian yang berlaku padanya seminggu lepas. Malah, apa yang sedang mengganggu fikirannya sampaikan dia nekad untuk menjadi pengawal tidak bertauliah di hadapan pintu kolej mereka. Bodoh, kan? Sebabnya kolej mereka ada dua pintu masuk yang lain lagi. Jika benar perempuan itu pelajar kolej yang sama sudah tentu dia boleh masuk menggunakan dua pintu yang lain, kan?
"Dah tahu bodoh, kenapa buat jugak?" soal Fatin pula. Soalannya kedengaran sinis sekali.
Hafiey diam. Tidak langsung teringin untuk menjawab soalan Fatin itu. Sedar, tindakannya itu memang bodoh.
"Sebab topi tu?" teka Fatin pula. Kebisuan Hafiey sudah memberi jawapan buatnya.
"Hurm," akui Hafiey perlahan.
Dengan Fatin memang dia tak boleh menipu. Apa yang bermain di kepalanya, pasti akan dapat dibaca oleh Fatin. Itulah lebihnya Fatin jika hendak dibandingkan dengan along dan angah. Sampaikan ada ketikanya dia merasakan, Fatin itu lebih dekat padanya daripada abang-abangnya sendiri. Pelik? Tapi itulah hakikatnya.
YOU ARE READING
Sayang, Anak Mak!
RomanceBLURB "Patutnya abah bersyukur sebab Amani tak habiskan masa dengan teman lelaki. Bercouple tu kan haram." Amani menggelabah dengan permintaan karut abah. Permintaan itu, tak pernah dibuat dek abah orang lain. Nak kenalkan macam mana, kalau dia tak...