Sayang, Anak Mak! - Bab 3

305 6 0
                                    

"Jangan sentuh aku!"

Gerakan tangan Hafiey terhenti. Perlahan-lahan, tangannya dialihkan pula ke bawah. Anak matanya pula sudah terkelip-kelip memandang belakang Harraz.

Angah ni ada mata kat belakang kepala dia ke? Siap boleh tahu lagi tu, omel Hafiey.

Dengan begitu payah, Hafiey berjaya melabuhkan punggung di belakang Harraz. Tangan kanannya membetulkan topi keledar yang dipakainya itu. Bimbang jika ikatan topi keledar itu tidak kemas. Kan bahaya tu. Baru sahaja tangan kirinya hendak memegang Harraz, suara itu kedengaran lagi.

"Jangan pegang aku!"

Hafiey mencebik. Sentuh tak boleh! Pegang pun tak boleh! Dah tu dia nak pegang mana? Karang jatuh tergolek macam mana? Angah ni bukan boleh pakai sangat. Bawak motor tu macam pelesit! Laju gila!

Tanpa menanti jawapan daripada Hafiey, Harraz sudah pun memecut motosikalnya. Terkejut dengan tindakan Harraz itu, Hafiey spontan memegang pada sisi tempat duduk motosikal di kiri dan kanannya. Erat sekali pegangannya. Anak matanya juga sudah terbeliak besar bila melihat angah menyelit kiri dan kanan kereta yang bersusun di jalan raya.

Spontan, mulut Hafiey sudah terkumat-kamit membaca apa saja doa yang terlintas di kepalanya pada ketika. Sampaikan doa sebelum makan pun dia hentam jugak. Paling penting, dia mahu perjalanan mereka berdua selamat tanpa sebarang malapetaka. Lepas hari ni, taubat tak nak tumpang motor angah lagi dah. Biarlah dia lambat naik bas pun, janji hatinya tak rasa gerun dan kecut macam sekarang!

Sedar-sedar sahaja, telinga Hafiey sudah mendengar bunyi tayar motor angah berdecit kuat. Lepas tu, diikuti pula suara angah. Yang perasan macho giler tu!

"Dah peluk aku tu! Turun cepat!"

Bibir Hafiey sudah menjuih panjang. Peluk? Dia langsung tak ingin nak peluk angahlah!

"Turunlah, cepat!" gesa Harraz lagi. Spontan, tangannya juga sudah menepis tangan Hafiey yang memeluk erat batang tubuhnya. Bila terasa tangannya ditepis oleh Harraz, barulah Hafiey sedar yang dia sebenarnya sudah lama memeluk batang tubuh angah.

Aduh, malunya!

Hafiey berdeham, cuba menyorok rasa malunya pada angah.

"Tak sengajalah," dalih Hafiey.

"Yalah tu," cebik Harraz.

"Betullah! Siapa suruh angah bawak laju macam pelesit?" Suara Hafiey kedengaran lagi. Cuba untuk menegakkan benang yang basah.

"Dah memang anak mak tu, anak mak jugak. Manja!" sela Harraz lagi.

Hafiey diam. Sudah tidak mahu berbalas kata bila perkataan 'anak mak' sudah meniti di bibir angah. Dia tahu, bila perkataan keramat itu keluar. Bermakna, mood angah juga pasti akan berubah 180 darjah.

Mata Hafiey sudah meliar memandang keadaan sekeliling. Baru perasan, dia sekarang bukan dalam kawasan kampus lagi. Tapi kat luar kampus. Wajah angah terus dicarinya.

"Kenapa turun sini? Angah nak beli barang ke?" soal Hafiey. Anak matanya sudah melirik pada deretan kedai yang tersusun di hadapannya.

"Tak. Kau yang kena turun sini."

Mata Hafiey sudah membulat. Telinganya juga sudah dikorek-korek. Biar betul angah ni? Dalam waktu yang sama, sempat lagi mata Hafiey melirik pada jarum jam di tangannya. Dah lewat ni!

"Tapi angah..."

"Aku tak nak ada orang nampak kau dengan aku," potong Harraz pantas. Tanpa sempat Hafiey habis berkata-kata.

Sayang, Anak Mak!Where stories live. Discover now