Sayang, Anak Mak! - Bab 12

189 1 0
                                    

Usai sahaja kelas pada hari itu, Hafiey kalut sahaja mengemaskan alat tulisnya. Siap! Terus dia bangkit. Suara Fatin membuatkan dia tidak jadi beredar. Perlahan-lahan dia menoleh. Membalas pandangan Fatin.

"Apa?"

"Saya tanya. Nak pergi makan sama tak? Kita kan dah lama tak makan sama."

"Err..." Hafiey teragak-agak di situ. Tidak tahu jawapan apa yang harus dijawabnya.

Memanglah nak pergi makan. Tapi, dia dah janji dengan orang lain. Macam mana ni?

"Kenapa?" soal Fatin. Hafiey dilihatnya serba salah di situ.

Entah-entah, Hafiey dah ada janji dengan orang lain tak? Orang lain? Tapi...Hafiey kan tak ada kawan lain selain dia?

"Saya..."

"Ada janji dengan orang lain ke?" teka Fatin pula. Tidak susah dia untuk meneka begitu dengan bersandarkan reaksi di wajah Hafiey itu.

Perlahan-lahan Hafiey menganggukkan kepalanya. Terasa serba salah pula bila Fatin juga mengajaknya untuk makan bersama. Tapi, kata mak kalau kita dah berjanji dengan orang lain. Kita kena dahulukan mereka. Tak boleh langgar janji mereka, semata-mata untuk keluar dengan orang lain. Tak adil namanya.

"Hurm. Kalau macam tu tak apalah. Kita...makan sama lain kali sajalah," putus Fatin pula. Tidak mahu terus membiarkan Hafiey merasa serba salah begitu.

Sekilas, anak mata Fatin membuang pandang pada raut wajah Hafiey yang tampak lega dengan jawapannya. Lagilah, dia tertanya-tanya gerangan insan yang akan ditemui Hafiey sebentar nanti.

Kekasih ke? Fatin geleng kepala. Tidak senang dengan jawapannya sendiri. Tak mungkin Hafiey ada kekasih pula! Kawan pun dia tidak ada.

"Okeylah kalau macam tu. Kita jumpa kelas esok."

"Hafiey!" panggil Fatin sebelum sempat Hafiey mengatur langkah untuk beredar dari situ.

"Ya?" Hafiey menoleh. Sempat tangan kanannya membetulkan pakaiannya yang mula kelihatan berkedut. Kesan duduk sebentar tadi.

"Makan dengan siapa?"

Hafiey senyum. "Kawan."

"Kawan?"

Hafiey anggukan kepala saja.

"Siapa?" soal Fatin lagi. Hatinya mula merasa tidak senang melihatkan Hafiey tersenyum begitu. Tertanya-tanya siapa gerangan kawan dimaksudkan Hafiey. Sejak bila Hafiey ada kawan selain dia?

Hafiey senyum lagi. Soalan Fatin tidak terus dijawab. Bukan dia tidak mahu menjawab. Tapi kerana disebabkan janji yang sudah dilafazkannya. Jadi, sudah tentulah dia berpegang pada janjinya.

"Maaf. Rahsia."

"Rahsia?"

Kelu lidah Fatin bila mendengar jawapan tidak disangka dari mulut Hafiey itu.

Hafiey sudah pandai berahsia!

"Betul ke awak ni Hafiey?"

Kerut mula kelihatan di wajah Hafiey. Tidak mengerti soalan Fatin itu.

"Kenapa tanya macam tu?"

"Apa awak dah buat dengan Hafiey? Setahu saya, Hafiey tidak pernah berahsia dengan saya."

Hafiey diam. Wajah Fatin dipandang lama. Nampak riak tidak senang di wajah itu. Tapi, suka atau tidak dia terpaksa pegang pada janjinya. Biar pun Fatin tu kawan rapatnya sekali pun. Jujurnya, dia pun tidak mengerti kenapa dia perlu berahsia bagai seperti itu.

Sayang, Anak Mak!Where stories live. Discover now