Mak

8.9K 296 76
                                    


Angin yang bertiup sedikit kencang sedari tadi sudah berhenti. Dedaun daripada pokok rambutan gugur jatuh ke tanah. Azam yang baru pulang dari melepak bersama rakan-rakannya memarkir Honda Dash-nya di dalam garaj. Renik-renik peluh jelas kelihatan di dahi dan di bawah dagunya. Tadi, semasa dalam perjalanan pulang, motosikalnya membuat ragam.

'Malam-malam macam ni lah engkau buat hal lah motor. Tunggulah esok-esok sikit, baru kedai bukak. Haih, kena menolaklah gamaknya.' bebelnya sedari tadi kerana perlu menolak dari kawasan masjid hingga ke rumahnya yang lebih kurang 200m jauh.

Azam melangkah ke kawasan hadapan rumah.

"Banyak pulak daun berterabur depan rumah ni. Kuat sangat ke angin tadi? Balik tadi, takde pulak angin kencang rasanya. Kalau tak, takdelah berpeluh lencun ni," omelnya tak berpuas hati.

Dia melangkah masuk ke dalam rumah dengan berhati-hati. Sudah jam 1230 malam, ibunya mungkin sudah tidur. Ayahnya pula tidak ada di rumah, outstation nun jauh di negeri utara. Gugusan kunci rumah-motosikal-bilikpejabat-lokerofis-petibesi disangkut pada penyangkut kunci yang melekap di bawah suis lampu pada dinding. Kelihatan lampu sudut di dapur menyala.

"Eh mak tak tidur lagi ke? Buat apalah memalam ni, buat kuih ke apa, hm" bermonolog sambil melangkah ke dapur.

Ibunya menoleh ke belakang sebaik saja mendengar pintu peti ais dibuka Azam yang mengeluarkan sekotak air Peel Fresh Orange. Azam tersengih melihat ibunya yang berkerut.

"Buat apa tu mak memalam ni? Buat kuih tu esok je lah. Selalu kan, mak buat kuih lepas subuh," katanya lalu meneguk air oren.

"Buat karipap. Nak jual esok kan," balas ibunya perlahan.

Azam senyum melihat ibunya. Ibunya itu sudah sedikit berusia, namun masih ceria, menawan dan rajin berkerja.

"Nak Azam tolong tak?"

"Tak payahlah, kau bukan boleh tolong pon."

Azam bangkit. "Hahaha, iyelah. Orang tak reti nak nguli tepung ni semua. Haa mak, orang naik dulu lah, nak mandi. Tadi motor buat hal, penat ni."

Daripada dapur ibunya melaung, "naik atas mandi bersih-bersih, basuh kaki, baca doa. Nampak hantu kang, hehe"

Azam tersengih lalu melaung kembali, "baik mak!"

Dia melangkah naik ke atas. Anak-anak tangga yang dipanjat mengeluarkan bunyi keriut. Dia tiba di ruang tamu tingkat atas. Sebaik dia melintasi bilik tidur ibunya, pintu bilik itu terbuka. Azam terkejut dan sedikit terlompat ke belakang. Keluar sesusuk tubuh. Ibunya. Memegang kain batik basah dan rambut yang dilindungi tuala mandi.

Azam kaku.

"Haaa Jam, baru balik? Tadi kau cakap dengan siapa, kemain kuat kau bercakap. Kau ada panggil mak ke tadi dari bawah? Mak baru lepas mandi ni."

Azam diam. Bulu romanya mula menegak. Jantungnya semakin kencang berdegup.

"Kau kenapa ni Jam? Nampak hantu ke?"

Terasa lembik lututnya. Azam sudah gigil dan seram sejuk.

"Dah lah, mak nak salin baju ni haa. Kau pergilah mandi. Berpeluh mak nengok kau ni Jam. Pergi mandi, ambil wuduk, tidur lepas tu. Esok nak kerja lagi, bangun awal." Kata ibunya seraya menutup pintu bilik tidur.

Azam kaget.

"Yang kat bawah tu siapa? Yang ni siapa pulak?"

SeramWhere stories live. Discover now