Rumah Sewa Pak Ja'por

4.6K 136 22
                                    

"Satu je aku nak ingatkan kau, kalau dengar bunyi apa-apa, jangan soal. Jangan tegur. Jangan pergi cari. Kau buat bodoh je. Kalau tak, leceh nanti," pesan tuan rumah yang lebih gemar dipanggil Pak Ja'por.

"Baik Pak Ja'por."

"Hah iyelah, boleh dah rasanya angkat-angkat barang, bawak masuk. Kalau ada apa-apa, call lah saya. Hm, hari pon dah lewat ni, saya gerak dululah ya, hehe," balas Pak Ja'por dengan leretan senyum di bibir tuanya.

Pintu ditutup dan beberapa buah kotak diangkat masuk ke dalam bilik. Malam semakin larut. Bulan di atas sedang bulat mengambang, terang dan menyeramkan.

**

Elya tersentak apabila terdengar bunyi benda berat bergesel di luar biliknya. Berulang-ulang kali. Sepertinya almari atau sofa atau peti sejuk ditolak seseorang. Atau mungkin, sesuatu? Elya diam dan memberhentikan petikan gitarnya, cuba memicing telinga.

Kret!

Kali ini, bunyi pintu berkeriut pula. Elya pasti, semua bilik di dalam rumah itu tidak terbuka mahupun ada masalah tombol. Semuanya sudah dipastikan telah tertutup rapat. Dia mengesot sedikit ke kanan lalu menekapkan telinganya pada dinding. Namun, tiada apa yang mencurigakan.

Elya tidak betah untuk mempedulikan apa yang sedang berlaku lagi, tambah-tambah jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Dia menarik selimut yang berada di hujung katil hingga ke dada. Tangannya meraba suis lampu study yang berada di atas meja belajarnya. Sebaik saja suis dipetik, tangannya tertepis pasu bunga kaca lutsinar jatuh ke lantai dan ianya berkecai. Prang!

Ah, spoil. Esoklah kemas.

Dia memejamkan matanya dan bersedia untuk tidur.

Selang beberapa minit, kedengaran bunyi derap langkah orang berjalan di luar biliknya. Ulitan tidurnya terganggu. Bunyi derap kaki itu sepertinya lebih daripada satu dan ianya berjalan semakin hampir ke arah biliknya.

Elya diam. Dia hanya menanti. Matanya yang tadi cuba untuk ditutup, semakin galak membulat dan kantuknya seperti tidak kunjung tiba. Semakin segar jadinya dia. Tiga saat kemudian, tombol pintunya dipulas seseorang daripada luar. Perlahan-lahan ia berputar sebelum ianya terhenti dek karana ianya berkunci daripada dalam.

Telinganya menangkap bunyi orang bercakap-cakap yang kurang jelas. Dia cuba menenteramkan dirinya dan butir bicara itu mula jelas didengar.

"Betul weh, ada orang dalam rumah ni."

"Mana kau tahu ada orang?"

"Aku dengar bunyi-bunyi dari dalam ni tadi."

"Budak baru kot."

"Mana ada budak baru weh."

"Takpelah. Dia tak kacau kita, kita jangan kacau dia."

Suara itu beransur perlahan dan menjauh pergi sebelum kedengaran bunyi pintu ditutup dua kali. Elya menderam lalu bangun daripada katilnya. Selimut yang tadinya membalut tubuh digumpal lalu dicampak ke atas katil. Dia mahu keluar memeriksa.

Ruang tamu rumah itu gelap. Kotak-kotak dan plastik barangan bertimbun di sana-sini. Dia mengerling ke pintu-pintu bilik yang bertutup semuanya. Dia mahu periksa satu persatu bilik, mencari sumber datang bunyi yang mengganggunya tadi. Bilik paling hujung berdekatan dengan dapur dituju. Tombol dipulas dan pintu ditolak buka. Kosong.

Dia beransur ke bilik yang terletak di tengah-tengah ruang tamu. Pintu ditolak. Sesusuk tubuh sedang berselimut hingga ke kepala terbaring di atas tilam di lantai. Elya pandang tanpa kelip beberapa saat sebelum ia menutup semula pintu apabila satu pergerakan dikesan daripada susuk itu. Kemudian, dia memulas tombol bilik sebelah. Pintu ditolak perlahan mengeluarkan bunyi keriut panjang kreeet!

Satu susuk dengan wajah terbias cahaya sedang duduk bersila di atas katil sambil tersengih-sengih. Kehadirannya itu menggamit perhatian susuk yang sedang bersila itu. Ia menoleh ke arahnya sebelum suatu jeritan kuat kedengaran nyaring, membingitkan telinga.

Dum! Pintu dihempas.

**

"Satu je aku nak ingatkan kau, kalau dengar bunyi apa-apa, jangan soal. Jangan tegur. Jangan pergi cari. Kau buat bodoh je," pesan Pak Ja'por kepada Shah dan Ayap.

"Baik Pak Ja'por."

"Hah iyelah, boleh dah rasanya angkat-angkat barang, bawak masuk. Kalau ada apa-apa, call lah saya. Hm, hari pon dah lewat ni, saya gerak dululah ya, hehe," balas Pak Ja'por dengan leretan senyum di bibir tuanya.

Shah menghantar Pak Ja'por hingga ke kereta. Mereka berjabat tangan dan sesekali bergelak ketawa. Kereta Pak Ja'por meluncur pergi. Shah masuk bersama seliparnya lalu melucutkan ia di tepi pintu masuk.

"Kau nak bilik mana Shah?" tanya Ayap sambil menggaru-garu kepalanya yang gatal.

"Aku belah kiri tu lah, okay?"

"Aku on je memane."

"Okay."

"Eh Shah, Pak Ja'por tu ada kata apa-apa lagi ke time kat luar tu?"

"Takde apa sangat. Cuma dia ada melawak yang dia kata, kalau kita stay sini lama, dia boleh bagi diskaun. Dia risau kita pindahlah tu, macam orang dulu-dulu," jawab Shah sambil menutup mulutnya - menguap.

"Oh, asal orang pindah?"

"Tak tahan kot kena kacau."

Jeeeengg~jeeengg~

"Bunyi apa tu Shah? Gitar ke?" tanya Ayap sambil matanya melilau ke sana sini.

Shah yang lebih tenang mencebikkan bibirnya. "Jiran sebelah lah tu. Dah lah, jom tolong tolak almari ni, semak pulak tetengah ruang tamu ni."

"Okay sat."

Pintu ditutup dan beberapa buah kotak diangkat masuk ke dalam bilik. Almari ditolak rapat ke dinding. Sofa dan peti ais diatur dengan susunan sementara bagi mengelakkan sesak di tengah-tengah ruang tamu itu. Esok-esok kemas lagi fikir mereka.

**

Prang! Bunyi kaca terhempas ke lantai. Ayap terkejut lantas memanggil Shah di bilik sebelah.

**

Selepas mereka yakin tidak ada apa-apa walaupun kedengaran bunyi kaca pecah berkecai di bilik yang tertutup itu sedikit janggal, Ayap masuk semula ke dalam bilik dan Shah masuk ke dalam biliknya di bilik sebelah. Shah yang tadinya sudah mengantuk mungkin saja masuk lalu terus tidur atau mungkin juga bergayut dengan gelfrennya. Dia belum lagi mengantuk, jadi dia mahu tonton Running Man se-round dua dahulu. Running Man episod 304 sungguh menghiburkan. Gelagat Kwang Soo begitu mencuit hatinya dan sejak tadi sengihan tidak lekang-lekang dibibirnya.

Tanpa dia sedar, pintu biliknya dibuka seseorang daripada luar. Bunyi keriut panjang kedengaran dan satu susuk menjengah masuk ke dalam. Ayap menoleh dengan sengihan masih terukir di bibir. Namun, segalanya terhenti. Sengihnya hilang. Dia jadi kaget. Sesusuk tubuh seorang gadis berambut kusut masai mengurai panjang hingga ke dada dengan wajah pucat seputih-putihnya sedang terjegil memandang tepat ke arahnya.

"Arghhhhhh!" Ayap menjerit nyaring.

Dan pintu terhempas dengan kuat. Dum!

Dalam kesamaran sebelum Ayap rebah pengsan, dia dapat melihat susuk tubuh gadis yang darahnya mengalir turun di kaki mencangkung di sebelahnya. Matanya yang putih keseluruhan yang terlindung di balik rambut yang mengurai menjegil besar memandangnya. Dengusan kasar dan bauan hamis menusuk ke hidung.

Pesanan Pak Ja'por terngiang-ngiang di ingatannya.

Kalau dengar bunyi apa-apa, jangan soal. Jangan tegur. Jangan pergi cari. Kau buat bodoh je. Kalau tak...

...leceh nanti.


SeramWhere stories live. Discover now