Donat

4.7K 189 21
                                    


Aku kerling jam di tangan - sudah pukul 6:37 pagi. Aku toleh semula ke jalan raya, kelibat tubuh bas tidak langsung kelihatan. Selalunya waktu-waktu begini, Abang Jol - driver bas dah melaung-laung memanggil bebudak agar cepat naik basnya. Perjalanan dari kawasan rumahku ini ke sekolah mengambil masa 20 minit sebetulnya, tapi ditambah dengan orang ramai berpusu-pusu untuk pergi ke kerja, perjalanan itu menjadi 30 minit kerana jalan jem. Disebabkan itu, Abang Jol sangat menepati waktu ketibaannya. Namun bukan hari ini.

"Bas rosak ke hari ni?" getus aku sendirian. Bukan Abang Jol dan bas rona hitamnya saje yang buatkan aku musykil, kelibat Alif, Wani, Fera dan Kodi juga tidak kelihatan. Takkanlah Abang Jol dah inform ke diorang tapi tak inform ke aku? Aku selukkan tangan ke dalam beg sekolah Adidas jenis selimpang yang aku letakkan di atas peha mencari henfon. Aku bawa keluar objek berbentuk segitepat itu.

Kalkulator.

"Eh, kalkulator buat apa?" Aku sumbatkan semula kalkulator yang tersalah anggap sebagai henfon dek kerana bentuknya sama ke dalam beg dan mencari henfonku. Daripada hujung jari, aku dapat rasakan bonjolan pen dan pensel daripada dalam bekas pensel kain - juga dapat aku rasakan bucu-bucu buku teks sekolah yang tebal - juga gebunya keychain bentuk Zirafah yang bercantum dengan kunci loker dan kunci rumahku - tapi mana henfon ni? Tidak lama menggodeh-godeh tanpa menjenguk ke dalam beg, jariku menyentuh sesuatu yang sedikit dingin, licin dan rata yang aku tahu ialah skrin henfon. Dapat pon.

Slaid kekunci ditolak ke tepi menggunakan jari dan henfon di-unlock. Cepat-cepat aku tarik option notifikasi yang terletak paling atas di atas skrin, namun tiada tanda-tanda ada pesanan yang masuk. Aku tekan logo aplikasi Messages. Nothing. Aku tekan logo aplikasi Whatsapp. Juga tidak ada apa-apa.

Musykil. Mana budak-budak ni? Dah pukul berapa, taknak pergi kelas ke. Aku kerling pada jam di skrin dan tarikh hari ini.

6:46 - Thursday, May 13

Aku tidak betah untuk menanti sebarang pesanan yang tidak kunjung tiba, mana tahu memang benar Abang Jol sudah memberitahu perihal bas rosak atau dia tidak sihat, lebih baik aku menanyakan hal itu sendiri kepada Kodi. Nombor Kodi didail dan tidak ada nada yang kedengaran. Tiga saat kemudian, "Nombor yang anda dail sedang sibuk. Sila cuba sebentar lagi."

"Sibuk pulak Kodi ni, pagi-pagi dah gayut dengan awek ke? Cis."

Aku cari nombor Alif pula dan juga tidak ada nada yang kedengaran. 5..6..7..8 saat berlalu tanpa ada apa-apa nada, jadi aku matikan talian. Redial. Juga sama. Aku pandang skrin, line telefon ada, apesal tak dapat pulak ni? Aku cari nombor Wani dan talian bersambung selepas aku dail untuk kali kedua.

"Hello Wani."

"He...beezzsiittsitziiittt."

"Wani, kau kat mana tu? Hello?"

"Werghwerghwergh" bunyi line rosak.

"Hello Wani, Wani kau kat mana?"

"Werghwerghwergh"

Aku matikan talian. Cipet. Aku jadi geram, time-time macam nilah line nak rosak. Aku kerling pada skrin, jam sudah menunjukkan pukul 6:54 pagi.

"Aish, kalau tahu macam ni, baik aku naik dengan abah ke mama ke tadi," keluh aku sendiri.

Kriuk! Kriuk! Perut aku berbunyi. Menyesal aku tak makan di rumah tadi. Sebab kebiasaannya, aku akan singgah kantin sekolah. Breakfast yang disediakan Pak Wan, pakcik kantin memang menyelerakan. Aku bersandar pada palang besi tempat menunggu bas itu. Hening pagi hanya dengan bunyi burung berkicauan saja yang menghiasi suasana. Kawasan ini jika sudah pukul 7 pagi, memang jarang akan ada kereta, kerana hampir kesemuanya sudah meredah jem di jalan besar.

Tidak jauh daripada tempat aku bersandar, kelihatan seorang budak berbaju T rona kuning yang sedikit lusuh, berseluar pendek biru gelap yang juga sudah lusuh dan berselipar jepun sedang berjalan ke arah aku. Dia menatang bekas plastik tidak berapa telus cahaya yang aku fikir konten-nya ialah kuih muih. Baik juga ada kuih waktu-waktu ini, aku pun sudah kelaparan. Lagi elok kalau dapat nasi lemak ke mee goreng ke. Uish.

Budak lelaki yang aku fikir berusia 8 atau 9 tahun itu menghampiriku dengan senyuman yang manis namun daripada pengamatanku, matanya jelas kepenatan. Penat berkerja mungkin.

"Selamat pagi bang. Nak beli kuih, bang?"

Aku senyum. Bagai disorongkan bantal. Aku angguk. "Kuih apa ada dik?"

"Macam-macam ada. Karipap ada, donat ada, tepung pelita, apam dengan kuih kaswi."

"Hm, bagi donat dua ringgit, dik." Aku keluarkan wallet daripada poket belakang seluar dan dua keping not seringgit diserahkan. "Memang selalu meniaga waktu-waktu ni ke dik?"

"Ha'ah bang. Tapi ni kira dah dua kali jugak lalu sini, memang biasa macam tu."

Aku angguk. Budak lelaki itu melebarkan senyumannya. "Terima kasih, bang."

Langkah budak lelaki itu terhenti apabila aku gamit perhatiannya sekali lagi. "Adik nampak tak ada bas sekolah lalu sini tadi?"

Budak itu menoleh dengan senyuman yang masih tidak lekang. "Bas? Ada."

"Eh, ada ke? Pukul berapa dia lalu?"

"Baru je lalu tadi bang, hehe."

Aku pelik dengan budak ni, aku serius dia main-main pulak. "Bebetul-lah dik, abang dah lambat nak pergi sekolah ni."

"Betul, bang. Baru je lalu tadi. Masa abang beli donat tu tadi."

Aku pandang paket donat di tangan. Dan aku pandang budak lelaki itu semula. "Apa kau merepek ni, dik?"

"Mungkin rezeki abang nak jumpa saya kot. Tu tak nampak bas, hehehe," balas budak lelaki dengan sengihan yang makin melebar. Tiba-tiba aku berasa dingin yang entah daripada mana menerjah.

Budak lelaki itu berpaling dan memulakan langkah meninggalkan aku.

Telefon aku bergetar-getar. Ada 6 missed calls daripada Wani. Dan satu mesej, "kau tak datang sekolah ke bro?" Aku angkat kepala memandang ke arah budak itu semula.

Oh shit!

Daripada belakang badannya jelas kelihatan satu lubang sebesar sebiji bola sepak. Lubang itu berdarah-darah, berulat dan bercacing. Kelihatan lendir membuak-buak keluar daripada lubang besar persis sundal bolong.

Aku jadi kaget. Aku pandang sekali lagi paket donat di tangan. Bukan donat yang ada di dalam paket plastik itu melainkan beberapa telinga yang sudah terputus berdarah-darah dan berlendir.

"Ahh!" dan tercampaklah ia ke tanah. Tanpa lengah lagi aku melarikan diri meninggalkan tempat menunggu bas itu.


SeramWhere stories live. Discover now