Sayup-sayup kedengaran bunyi azan dari corong masjid yang berdekatan menyedarkan aku dari lena. Mataku meliar memandang syiling dan sekitar bilik yang masih terasa asing buatku. Aku meraup muka.
Ya, Suri. Kau tak bermimpi.
Rasanya masih tidak percaya yang aku tinggal di bilik sebesar ini berbanding dengan bilik di rumah arwah nenek dulu.
Namun, rumah kecil itulah yang mencipta pelbagai kenangan yang tak mungkin dapat aku lupakan.
Rasa sebak muncul di hati. Dengan pantas aku bangun lalu mengatur langkah menuju ke bilik air. Selesai rakaat terakhir, aku membaca beberapa potongan doa dan surah Al- Fatihah untuk aku kirimkan kepada arwah ibu dan ayah serta arwah nenek. Tiba-tiba aku teringat potongan surah Ali Imran ayat 185 ;
" Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."
Semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, amin.
◆◆◆
AKU bercadang ingin menyusun barang-barang yang aku bawa dari kampung. Barang-barang itu tidaklah banyak mana sebab kebanyakannya hanyalah baju-baju dan buku-buku bacaan aku sahaja. Selesai kemas aku merebahkan badan seketika untuk menghilangkan penat. Tak sampai beberapa minit kedengaran ketukan pintu. Aku bangun memulas tombol dan tersembul wajah Makcik Sofia.
"Dah solat?" Aku mengangguk, mengiyakan.
"Mari Suri, temankan makcik buat sarapan sambil-sambil tu boleh kita borak-borak." Aku memandang jam di muka dinding. Hampir pukul 6.30 pagi. Dengan pantas aku mencapai tudung yang aku sangkutkan di luar almari.
"Eh, kenapa nak pakai tudung pulak, kan ke semua dalam rumah ni mahram dengan Suri? Ish-ish budak ni, mesti kamu lupa kan.." Aku tersengih. Aku dah terbiasa pakai tudung bila nak keluar mana- mana.
"Dah-dah jom, nanti tak sempat kita siapkan sarapan pulak." Pantas aku membontoti Makcik Sofia dari belakang.
Tak banyak yang kami borakkan sebab aku masih terasa segan dengan emak saudara Hanis ni. Walaupun dia ibu saudara sahabat baikku, namun aku tak pernah bersembang atau berbual dengan Makcik Sofia secara dekat sebab dia jarang pulang ke kampung. Kalau dia balik pun, kami tak pernah berbual mesra. Kali terakhir aku bertemu dengan Makcik Sofia pada hari raya Aidilfitri tahun lepas. Itu pun sewaktu beraya di rumah Hanis. Mungkin jugak sebab aku ni jenis pendiam. Hehehe.
"Oh ya makcik... Suri lupa nak sampaikan salam dari Nek Jah dan Hanis." Aku tersengih kecil. Sedar akan khilafku lupa menyampaikan amanah.
"Waalaikummusalam. Hanis dengan Nek Jah baik-baik ja kan kat sana?" Aku hanya mengangguk. Ketika itu aku sedang memotong bawang untuk dibuat sandwich sardin sebagai menu sarapan pada pagi itu.
"Sebenarnya makcik terkilan, sebab tak sempat nak tengok arwah buat kali terakhir. Kamu pun tahu kan sebabnya?" Aku mengangguk perlahan. Aku tau pada hari nenek meninggal kebetulan Abang Nash cedera sewaktu di tapak projek. Abang Im yang ceritakan semuanya kepada aku sewaktu di kampung dulu. Jadi Makcik Sofia hanya mampu mengucapkan takziah melalui telefon memandangkan Abang Im ketika itu outstation di luar negara. Ada sesuatu yang ingin aku tanyakan kepada Makcik Sofia namun pantas aku membatalkan hasrat. Mungkin lain kali.
Aroma lazat menusuk hidung apabila makcik memasukkan bawang yang telah siap aku potong tadi dan beberapa bahan yang lain. Kemudian Makcik Sofia memasukkan garam dan mengacau perlahan lalu menutup api. Siap!
◆◆◆
"Nashrin mana?" soal Makcik Sofia sambil keningnya dikerutkan apabila Abang Nash tidak kelihatan di meja makan untuk sarapan bagi.
Abang Im menggaru kepala perlahan.
"Em.. dia cakap dia sarapan dekat luar kot harini." Bertambah kerutan di dahi Makcik Sofia. Aku yang sedang menuang teh panas ke dalam cawan hanya diam tak terkutik. Semakin kuat perasaanku mengatakan bahawa Abang Nashrin memang tidak menyenangi aku.

ANDA SEDANG MEMBACA
Akhir Sebuah Pengorbanan
Fiksi RemajaLembaran kehidupan telah membawa Suri Athirah ke liku yang paling tajam. Dalam mencari identiti diri, dia terpaksa berhadapan dengan manusia sekeliling yang mencabar jiwanya. Namun ujian Tuhan itu hebat. -Dan akhirnya Suri Athirah yakin, ada sesua...