Bab 1
Laju jantung aku berdegup kedengaran jelas. Terlalu jelas walau ketika itu mengah nafas juga sedang rancak bersaing memenuhi telinga. Aku memandang kiri dan kanan. Sekali lagi, aku dikhianati memori. Sungguh, aku tidak tahu di mana aku berada, ada pun segalanya juga kelihatan seperti aku pernah lihat dan pernah jumpa. Aku masih berada dalam keadaan berlari walau aku juga seperti hampir mati dek lelah dan terasa mahu berhenti.
Imej ramai manusia berlegar-legar di mata dengan keriuhan mereka menangkap perhatianku. Aku cuba mencari wajah yang aku kenal tetapi tiada satu. Aku berasa cemas dan hilang. Aku mahu teriak tetapi mulutku beratnya teramat. Kakiku juga tidak mahu bekerjasama, tidak mendengar kata dan terus pegun. Namun tiba-tiba, ketika pada diri sendiri aku bercadang untuk berputus asa dan berserah sahaja, serta-merta, segalanya menghilang – lenguh kaki, deras jantung dan riuh orang.
Aku kini sendiri berjalan di ruang hampir gelap yang hanya punya sedikit halus cahaya. Sunyi, aku jadi makin buntu tidak tahu apa yang perlu dicari. Paru-paru aku isi dengan udara yang kemudian aku lepaskan dengan keluhan seorang yang di dalamnya huru-hara. Di saat itu, aku terlihat seorang wanita sedang duduk di atas bangku yang munculnya entah dari mana. Rambutnya melepasi bahu dan walau dia sedang duduk sahaja, ada sesuatu padanya yang seolah melambai memanggil aku untuk mendekatinya.
Aku turut. Mulut yang tadi seolah bisu, dengan ajaib pulih seperti biasa. Jadi pada dia aku bertanya, "Excuse me, miss. I am actually very lost. Do you mind telling me where we are?" Wajahnya samar, aku tidak nampak mana, tetapi saat sahaja aku habis berbicara, wajah samar itu jelas dipanah kecewa.
"Do you not know who I am?" tanyanya, sayu.
Aku telan liur. "I'm sorry. I am really confused right now. What is this place?" Sekeliling aku pandang dengan harapan aku ketemu jawapan.
"You do not remember me, do you, Hud?"
Aku memandang dia semula. "How do you know my name?" Ada sesuatu pada caranya menyebut nama aku yang cukup asing, pada masa yang sama membangkitkan ingatan lama. Dia bangun sebelum dia senyum. Dan senyuman itu, aku rasa aku kenal.
"Mama? Is that you?"
*
Mata terbuka. Aku bangun daripada baring. Badan aku terasa berpeluh. Aku masih tidak pasti samada tidur aku terhenti dek terkejut dengan hadir pelawat mimpi atau dek ketukan bertalu-talu mahu membangunkan aku.
"Hud, wake up! You're going to be late!" teriak suara Adibah, ibu saudara aku, adik ipar Papa. Dia dan Uncle Azad, suaminya, bapa saudara aku, berserta Wan dan Ki, bermalam di rumahku semalam supaya senang bersedia untuk majlis hari ini.
"I'm awake, I'm awake," laungku semula dan setelah aku disuruh cepat, bilik aku sekali lagi diselubungi sunyi. Aku memandang ke arah meja sisiku di mana atasnya terletak gambar Mama yang terbingkai kemas.
Gambar itu sentiasa ada di situ, tetapi bukan selalu aku memberi masa untuk berhenti sejenak dan mengambil lima saat untuk memandangnya.
Deras air yang menghujani aku ketika mandi gagal menenangkanku seperti selalunya. Tajam pancuran yang biasanya aku suka, pada ketika itu, hanya sakitnya yang aku rasa. Kepala aku didongak. Mata aku ditutup. Macamana sampai aku boleh lupa wajah Mama?
Selesai bersalin pakaian, aku turun ke bawah, ke bilik membaca, di mana di bilik itu terletak piano hitam milik Mama. Tidak banyak di dalam bilik yang berubah sejak Mama pergi. Piano itu masih di situ. Di tepi tingkap. Tidak pernah diusik atau dialih. Aku duduk. Untuk menyentuh piano itu aku berasa tidak layak pula. Mimpi itu mainan tidur, kata orang tua-tua. Aku pula rasa mimpi itu minda kita mencuba dengan secara tidak langsung berbicara ― menyampaikan mesej fikiran yang kita tidak sedar ia ada.
YOU ARE READING
SEJAK - sebuah novel Majida
RomanceHud kehilangan ibunya ketika dia masih kecil dan sekarang dia berada didalam tahun akhir persekolahan, ayahnya mengambil keputusan untuk berkahwin buat sekali lagi. Hud diperkenalkan kepada Raniya - seorang pelukis berusia 26 tahun yang kini bergela...