Bab 20
Keesokan paginya, aku sudah terjaga sebelum sempat matahari menjengah ke langit. Jaga aku malangnya datang bersama sebuah sunyi yang amat. Sungguh, tidak pernah aku berasa sesendiri begitu. Aku sedikit berharap yang aku akan kembali tidur semula kalau dengan cukup kuat aku pejamkan mata. Pulang kepada gelap, di mana aku tidak bertanggungjawab untuk berasa apa-apa dan tidak juga aku perlu bertanggungjawab atas apa yang aku rasa.
Namun, hari itu aku mendapati yang dunia mimpi pun tidak mahu mengalu-alukan kehadiranku. Jadi dengan rela dan daya yang tiada seberapa nak ada, aku bangun daripada baring. Setelah semalaman mempelajari apa yang di masa silam sekian lama bersembunyi, hari itu aku terasa perlu untuk berjumpa Mama. Mama yang 12 tahun dahulu aku rompak hidupnya daripada dia.
Bila aku buka pintu, di atas lantai aku lihat seperti gaya janin dalam kandungan, Papa sedang berbaring dalam lena di hadapanku. Tanpa selimut yang menutupi badannya dan tanpa bantal yang mengalas kepalanya. Di hati aku terdetik kemungkinan yang dari semalam lagi Papa tidak berganjak dari situ. Bergema pula di kepala kemudiannya pujuk rayu Papa menyuruhku membuka pintu. Dan sekarang, dengan pintu yang terkangkang, Papa lama aku pandang.
Walaupun begitu, aku masih tidak berjumpa kata apa yang aku mahu utarakan kepadanya kalau dengan tiba-tiba dia buka mata. Tidak juga aku tahu bila sebenarnya aku akan jumpa kata-kata itu.
Jadi langkah aku teruskan dan Papa aku ambil keputusan untuk tinggalkan. Enjin motosikal aku hidupkan dengan di mana Mama bersemadi sebagai destinasi.
Setibanya di sana sekali lagi, aku mendapati diriku dalam keadaan yang tidak tahu dan tanpa kata. Perlukah aku meminta maaf kerana nyawanya atau perlukah aku berterima kasih kerana nyawaku? Perlukah aku meminta maaf lagi, kerana buat kali kedua aku memaksa Papa yang aku tahu semasa hayatnya Mama puja untuk sekali lagi mengutip serpihan hidupnya yang sekali lagi juga telah aku kecaikan. Yang aku juga telah membazirkan peluang kedua yang Mama beri dengan memberi sayang kepada seseorang dengan sepenuh jiwa walau di saat aku tahu segalanya sia-sia. Terlalu rendah aku letak harga kepada hidup yang mahalnya semahal hidup Mama.
Aku kemudian memberitahu diriku yang ianya hanya sopan dan perlu untuk aku sekurang-kurangnya menangis walau sedikit. Tetapi sejujurnya juga, aku sudah kering airmata.
Lalu sepertimana aku memandang Papa sebentar tadi, kubur Mama aku pandang kosong. Kuburnya yang tampak bersih memberitahu aku yang mungkin baru kelmarin Mama ada tetamu.
Apa Papa ada datang mengadu pada Mama tentang aku? Aku mendengar diriku mengeluh. Kurang pasti kenapa aku sebenarnya di sini. Kurang tahu juga bagaimana caranya untuk aku berbuat segala ini. Aku cukup tahu yang tidak mungkin Mama akan bangun memberi aku nasihat dan aku juga cukup tahu yang aku tanpa sangsi akan lintang-pukang berlari pergi kalau Mama berbuat begitu.
Ketika itu juga, ada sekelumit diri aku berharap perkenalanku dengan Mama adalah sedikit lebih lama agar aku boleh mendengar kepalaku berbicara dalam bentuk suara dia. Mungkin itu boleh membantu menenangkan sedikit porak-peranda jiwa.
Jadi, dengan sedaya-upaya lagi, aku cuba lagi untuk mengingati Mama. Akan ada sedikit cebisan imej yang bermain di kepalaku. Namun, tidak aku sepenuhnya tahu jika bait-bait itu adalah khayalan atau bukan rekaan. Sebaliknya, memori tentang Papa pula yang datang berlumba-lumba mengasakku. Makin jelas dalam ingatan tidak tentu arah Papa bila Mama mula-mula tiada.
Aku tidak sepenuhnya ingat, tapi aku sedar yang aku yang lima tahun juga sedar, saat itu merupakan titik permulaan berubahnya arah hubungan Papa dan aku. Bagaimana Papa mula memandang aku sedikit berbeza. Bagaimana mula terbentuk jurang di antara kami berdua. Aku ingat juga bagaimana dia berusaha dan gagal untuk mengembalikan keadaan kepada apa yang kami pernah miliki bersama ketika Mama masih ada.
YOU ARE READING
SEJAK - sebuah novel Majida
RomanceHud kehilangan ibunya ketika dia masih kecil dan sekarang dia berada didalam tahun akhir persekolahan, ayahnya mengambil keputusan untuk berkahwin buat sekali lagi. Hud diperkenalkan kepada Raniya - seorang pelukis berusia 26 tahun yang kini bergela...