Epilog (Tamat!)

2.6K 64 40
                                    

April. Aku menarik nafas dalam-dalam agar udara permulaan musim panas dapat dirasa memenuhi paru-paru. Lepas. Segan-silu hangat matahari yang aku biarkan menyimbah badanku sedikit-sebanyak mengubat rindu kepada terik matahari nun jauh di rumah.

Panas sangat merungut, kurang panas pun merungut juga. Ah, manusia! Apa tidak akan ada pernah cukup untuk kita?

Aku terasa diri mengukir senyum. Kepala aku kemudiannya toleh ke pergelangan tangan untuk melihat jam. Daripada sebalik hitam kacamata, waktu memberitahu aku bahawa masih ada satu jam yang aku boleh lengahkan sebelum aku harus bergegas ke lapangan terbang bagi menjemput Rafael.

Jadi di dataran itu, aku duduk sambil ditemani churros yang kucicah pada coklat panas. Dalam sibuk menikmati lazat makanan, aku memerhati ramai pelancong-pelancong duduk berlegar. Ada pula kanak-kanak yang berlari ke situ dan ke sini. Mereka bergelak ketawa yang diselang-selikan dengan teriak dan riuh suara.

Sedikit-sebanyak riang mereka seolah berjangkit mencerahkan lagi langit bumi Malaga yang birunya tidak ada sekelompok pun mega. Aku sangat berharap yang di dalamku juga secerah itu tetapi aku juga cukup tahu masih ada awan yang sauhnya terlalu jauh mencengkam untuk ianya terus sahaja berarak begitu.

Lama termenung, telinga aku kemudiannya menangkap bunyi gitar yang mengalunkan romantik lagu secara langsung mengejutkanku daripada rancak perasaan yang sedang melayang.

Sudah hampir lima bulan juga aku berkelana di merata Eropah dengan hanya dua buah beg dan sebuah gitar yang ke hulu ke hilir aku sandang. Aku bermula dari Jerman seterusnya ke Perancis, dan kemudiannya Sepanyol.

Namun sejak sebulan lepas, tanpa sepenuhnya tahu kenapa, aku seolah tersekat di negeri di mana lahirnya Picasso ini.

Apa yang sebenarnya menarik perhatianku, jika ditanya? Entahlah. Bangunannya? Sejarahnya, mungkin, seninya juga mungkin. Seninya. Seninya. Apa yang mahu dikejutkan? Aku masih punya seorang orang seni yang aku tidak sepenuhnya lupa.

Tutup minda laju-laju. Aku cuba untuk tidak tinggal sendiri sepanjang di sini. Sering aku menghabiskan masa bergaul dengan penduduk tempatan tanpa mengira usia mereka. Dari anak kecil, remaja hingga ke pakcik tua. Kepala akan aku sibukkan dan perhatian akan aku alihkan dengan mencuba mempelajari bahasa mereka.

Dengan sedikit tuah aku yang ada, seorang budiman baik hati yang secara tidak sengaja aku jumpa di sebuah café di sana menawarkan aku sebuah tempat tinggal untuk buat berteduh selama mana aku mahu tinggal di situ.

Duran merupakan seorang pemilik sebuah kedai perabot buatan tangan dan kebetulan ruang di atas kedainya itu sudah lama kosong. Bukan sahaja dia sudi untuk mengajar aku berbicara tutur lidahnya, dia turut mengajar untuk membentuk kayu-kayan menjadikan sesuatu yang cantik dipandang dan berguna untuk orang.

Aku punya setinggi hormat kepada tinggi hormatnya terhadap bahan-bahan yang dia guna. Kata dia, ia merupakan tanggungjawab kita untuk memastikan apa yang diambil nyawa berbaloi nyawanya diambil. Aku tahu dia bercakap tentang pokok tetapi aku tidak dapat mengelak daripada imej Mama yang sekejap-sekejap terlintas.

Untuk membalas budi, aku cuba untuk mengajarnya sesuatu juga. Tetapi Duran sudah sangat pakar bila dengan tali gitar, alih-alih aku juga yang menjadi anak muridnya. Geli hati benar orang tua itu. Aku hanya boleh merasa sedap hati bila aku diyakinkan yang hadirku sahaja sudah cukup menghiburkan hati dia. Aku mengingatkan dia kepada anak lelakinya, ceritanya.

Kadang-kadang, sesekali dalam jarang, aku akan memeriksa e-melku, dan tidak pernah gagal akan ada sesuatu dari Papa untuk aku. Setiap kali itu juga, aku akan berasa sedikit bersalah kerana berlepas aku adalah tanpa pengetahuannya.

SEJAK - sebuah novel MajidaWhere stories live. Discover now