Aku bekerja dengan syarikat milik penuh sebuah syarikat awam, yang menjadi pengimport, penjual, pembekal alat-alat ganti dan wakil penyelenggara rasmi kepada sebuah jenama kenderaan mewah dari Jerman. Bangunan pejabat syarikat itu ialah sebuah bangunan yang moden dan besar binaannya. Bumbungnya melengkung seperti sebuah hangar tempat penyelenggaraan kapal terbang. Kesemua dindingnya pula adalah kaca dengan keluli sebagai rangkanya.
Sebagai menjelaskan gambaran tempat kerja aku, sekarang aku akan bawa kalian untuk sesi orientasi. Ini untuk menerangkan susunatur bangunan pejabat dan juga watak-watak manusia di dalamnya.
Memasuki pintu depannya, kalian akan mendapati ruang penyambut tetamu sebaik sahaja melepasi satu ruang yang digunakan sebagai ruang menunggu. Sofa-sofa moden dibalut dengan kulit lengkap dengan meja kopi menghiasi ruang menunggu tersebut. Penyambut tetamu yang ditugaskan menjaga ruang itu adalah seorang gadis muda yang cantik, berpenampilan menarik, seksi dan peramah bernama Nurdina Binti Salleh dan berasal dari Kelantan. Dia selesa memperkenalkan dirinya sebagai Dina.
Gadis itu aku sifatkan sebagai seorang yang baik kerana dia melayan baik semua orang tidak kira peringkat jawatan sama ada tinggi atau rendah. Dia juga pernah aku lihat berbicara dengan sopan dengan wanita-wanita tukang bersih berbangsa Indonesia yang juga bekerja di kompleks tersebut.
Dina ialah seorang perokok dan merupakan teman merokok aku ketika aku mencuri tulang melakukan aktiviti tersebut. Kami menggelarkan diri kami smokin' buddy. Ramai lagi perokok lain di bangunan itu tetapi Dina memilih hanya untuk merokok bersama aku.
Selepas melalui ruang penyambut tetamu kalian akan sampai ke bahagian pameran. Di situ dipamerkan setiap model kereta jenama buatan Jerman yang aku maksudkan tadi. Bermula dari model kelas yang paling rendah sehinggalah kepada kelas yang paling tinggi.
Dekorasi di bahagian pameran sangat eksklusif, mewah dan teratur. Maklumlah, bahagian itu sering dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan atau prospek-prospek pelanggan yang kebanyakannya adalah jenis orang yang berduit atau sekurang-kurangnya bergaya dan berlagak seperti orang berduit.
Di bahagian pameran itulah Bahagian Jualan atau Sales Department menjalankan fungsi dan operasinya. Pegawai-pegawai jualan, yang semuanya berpenampilan menarik dan kemas lengkap dengan aksesori mahal di tubuh masing-masing, ada sepuluh orang semuanya. Enam orang berbangsa Melayu dan empat orang berbangsa Cina. Enam lelaki dan empat perempuan. Majid, Zul, Aziz, Anuar, Khairudin, Danny, Azi, Cindy, Deanna dan Sally.
Kesemua pegawai-pegawai jualan atau lebih popular dengan panggilan salesman dan salesgirl itu masih bujang kecuali Majid dan Zul yang selesa aku panggil sebagai Encik Majid dan Encik Zul. Mereka berdua itu adalah senior dalam Bahagian Jualan dari segi pengalaman dan juga dari segi umur. Keduanya berumur dalam lingkungan awal 50-an. Perwatakan mereka berdua hampir sama. Tenang, bersahaja dan peramah. Bahkan mereka berdua amat akrab hinggakan ramai yang menggelar mereka sebagai adik-beradik walaupun sebenarnya mereka tidak mempunyai kaitan darah sama sekali antara satu sama lain.
Semua salesman yang masih bujang sering melepak bersama dan kelihatan seolah-olah sehati sejiwa. Tetapi hakikatnya mereka sebenarnya bersaing antara satu sama lain. Maklumlah, pendapatan pegawai-pegawai jualan adalah bergantung kepada komisen jualan mereka. Oleh itu, mereka sangat bersaing dalam mendapatkan jualan tertinggi setiap bulan.
Danny, pemuda berbangsa Cina berasal dari Gombak, ialah yang paling agresif dalam membuat jualan. Jualan beliau juga sering mencapai hasil tertinggi berbanding rakan-rakan salesman yang lain. Walau bagaimanapun, ada satu persamaan di kalangan anak-anak muda itu. Mereka sangat aktif berseronok-seronok dan berfoya-foya. Kumpulan pemuda-pemuda itu adalah pengunjung tetap pusat-pusat hiburan terkemuka di ibukota. Sebut sahaja party dan event terkini, mereka pasti hadir.
YOU ARE READING
Beg Tangan Gucci
Aktuelle LiteraturKesusahan dan kesenangan adalah lumrah. Kesusahan dirunguti. Kesenangan melalaikan. Sesungguhnya manusia tidak faham apa yang terjadi. Kedua-duanya berlaku penuh hikmah. Namun, ia hanya disedari oleh mereka yang berfikir... Beg Tangan Gucci adalah c...