Walaupun suasana di luar bising, rumah ini tetap aku rasakan sepi. Gitar akustik jenama Yamaha berwarna hitam menjadi teman. Sejak Dina meninggalkan rumah pagi tadi, aku terus menerus memainkan alat itu. Jari-jari mula terasa sakit dan pedih.
"Tuan-tuan, setakat inilah persembahan saya pada hari ini. Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih!" aku menuturkan kata-kata sambil menunduk hormat ke kiri dan ke kanan seperti lagak seorang pemain muzik yang baru selesai memberikan persembahan di pentas dengan disaksikan oleh ribuan penonton.
Gitar berwarna hitam yang aku beli ketika mula bekerja di firma audit itu aku letakkan di stand. Kemas tersandar. Alat itu terjaga rapi. Permukaannya sentiasa dilap bersih. Tali-talinya juga sentiasa aku lap dengan kain khas supaya tidak berkarat. Kenapa jenama Yamaha dan warna hitam yang menjadi pilihan aku? Entahlah... Mungkin sejak awal-awal lagi kenangan bersama Maya memang tidak dapat aku buang dari hati ini. Tak kira bagaimana aku cuba menafikannya, ia tetap tak berganjak.
Tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi riff petikan gitar dengan aliran elektrik bersambung dengan distortion yang sangat aku kenal. Ia adalah permulaan lagu Alive persembahan Pearl Jam. Lagu itu telah lama menjadi nada dering rasmi telefon aku selama bertahun-tahun.
"Sapa pulak yang call ni? Tak boleh la aku nak senang-senang time weekend macam ni."
Walaupun kuat memprotes, aku tetap bergerak mencapai telefon yang terletak di atas meja TV. Nombor yang muncul di paparan skrin tidak bernama. Tetapi aku telah beberapa kali melihat susunan nombor itu sehinggakan aku kenal siapa pemanggilnya.
Selepas menekan ikon Answer, aku menyapa, "Hello, Maya!"
"Alip, Mana U pegi? I call U banyak-banyak kali tau."
"I tau. Sorry la... lupa nak return call. I sibuk."
"Okey. U buat apa sekarang?"
"Tak buat apa. Baru lepas main gitar."
"Eee... bestnya! Lama tak dengar U main gitar."
"Ala... apa yang bestnya? Biasa-biasa je."
"Jom pegi tengok wayang."
"Malasla, Maya. I tak mandi lagi. Malas nak buat apa-apa hari ni. I plan tak nak mandi sampai esok."
"Eww... Gross! Ala... siap la cepat. I tunggu."
"Tak mau."
"I kat depan pintu rumah U ni. Kalau U tak nak siap, I buat drama. Nanti neighbour U semua keluar tengok."
Aku tak dapat meneruskan kata-kata. Maya ada di luar pintu rumah aku? Apa yang patut aku buat? Patutkah aku persilakan dia masuk? Atau biarkan sahaja dia berdrama di situ. Apa yang aku nak bimbangkan? Hidup di flat ini memang langsung tidak berjiran. Pandangan serong dari jiran-jiran bukanlah menjadi masalah bagi aku.
Aku menekan ikon End untuk menamatkan perbualan telefon. Pergerakan dalam flat yang kecil itu sangat menjimatkan masa. Beberapa langkah sahaja aku telah pun berdiri di depan pintu utama. Semua kunci aku buka. Daun pintu dikuak. Bau harumannya yang terlebih dulu menyerbu masuk. Kemudian, aku melihat orangnya di situ, berdiri di depan aku.
Dengan wajah serius, aku berkata, "You're so bloody-damn persistent."
Wanita itu tertawa kecil sambil melangkah masuk tanpa menunggu aku mempersilakannya. Penampilannya ternyata berbeza berbanding belasan tahun dulu. Lebih matang. Namun masih anggun dan menawan. Pakaiannya ringkas dengan hanya mengenakan seluar jeans dan blouse. Pemilihan tudungnya sesuai dengan keseluruhan gayanya pada hari itu. Walau bagaimanapun, stiletto setinggi empat inci masih menjadi pilihannya.
YOU ARE READING
Beg Tangan Gucci
General FictionKesusahan dan kesenangan adalah lumrah. Kesusahan dirunguti. Kesenangan melalaikan. Sesungguhnya manusia tidak faham apa yang terjadi. Kedua-duanya berlaku penuh hikmah. Namun, ia hanya disedari oleh mereka yang berfikir... Beg Tangan Gucci adalah c...