Bab 37

133 11 10
                                    

Masa yang aku ambil untuk mandi dan bersiap amat pendek. Seketika kemudian, aku pun berdiri di depannya yang sedang asyik menonton TV.

"Okey, jom," kata aku kepadanya.

Aku memakai baju-T dengan gambar band Led Zepplin berwarna hitam dipadankan dengan jeans Levi's 501 biru tua. Seperti biasa, jam tua keluaran tahun 1994 terpakai di tangan. Casio G-Shock model DW-6600 itu telah mengalami proses pembaikpulihan yang menyeluruh. Terima kasih kepada perkembangan dunia internet, barang-barang ganti jam itu dapat aku cari dengan mudah. Pada hari ini, model ini telah dikategorikan sebagai salah satu collector's item yang bernilai tinggi. Walau apa pun, ia sememangnya telah lama menjadi sesuatu yang berharga buat diri aku. Hadiah SPM dari ibu.

"I like your hair." Maya memuji.

Rambut yang baru aku potong minggu lepas, aku bentuk berceracak tegak ke langit menggunakan wax. Ia dibuat mengikut gaya rambut anak muda terkini.

Wanita itu bingkas berdiri. Ketinggiannya yang sama dengan aku membuatkan mata kami bertentangan sama paras. Dengan pandangan itu, hati aku mula bergetar. Getaran yang telah sekian lama tidak aku rasakan. Segera aku melarikan pandangan.

Kami bergerak ke pintu. Di situ, Maya menundukkan badan untuk menyarungkan kasut tumit tingginya. Sementara aku pula membuka almari kasut Ikea dan mengeluarkan sepasang Converse Chuck Taylor hitam edisi terhad diperbuat dari kulit. Kalau belasan tahun dulu kasut jenis itu hanya ada sepasang dalam simpanan aku. Kini, aku memiliki beberapa pasang yang kebanyakannya adalah limited edition. Aku memang peminat tegar Chuck Taylor.

Beberapa tahun lalu, ketika Converse jatuh bankrap, aku turut berasa sedih. Keseluruhan zaman remaja aku dilalui bersama-sama jenama kasut tersebut. Jenama itu sedikit sebanyak mempunyai nilai sentimental bagi aku. Namun, apabila Nike mengambil-alih pemilikan Converse tidak lama selepas itu, aku turut berasa lega seolah-olah Converse dan Nike adalah dua saudara-mara rapat yang mempunyai pengaruh besar dalam hidup aku.

Selepas mengunci pintu dan jeriji besi, aku berjalan di sisi Maya menuju ke lif. Sejak dulu lagi, setiap kali dia mengenakan kasut-kasut tinggi, ketinggiannya akan mengatasi aku. Terutamanya apabila kami berjalan berdampingan. Wanita itu memandang aku dari atas ke bawah.

"Kenapa pandang macam tu?" Tiba-tiba aku teringat peristiwa dulu lalu menyambung kata-kata, "Jangan memandai nak belikan I baju. I like what I'm wearing. It's vintage."

"No, I'm fine with it. I cuma nak cakap, U nampak 10 tahun lebih muda."

*****

"Kita naik kereta I, boleh?" pinta wanita itu.

"Okey."

Kami berjalan meninggalkan lif di ruang bawah flat itu yang menjadi medan letak kereta bagi penghuni-penghuni dan pelawat-pelawat. Sampah kelihatan di sana-sini. Kebanyakan penghuni di sini adalah migran dari negara-negara mundur yang rata-ratanya juga mundur dari segi sikap dan kesedaran sivik.

Aku mengekori Maya hinggalah akhirnya dia berhenti di sisi sebuah Volkswagen Polo berwarna merah. Masih dengan jenama dan model sama seperti dulu. Cuma bezanya yang ini adalah model MK6 GTI terbaru. Jantung 1.8 liter turbo di dalamnya mampu menjana kuasa mencecah 190 kuasa kuda. Sekurang-kurangnya itulah maklumat tentang kereta itu yang pernah aku baca di sebuah majalah otomotif.

"Polo lagi?" ucap aku pendek.

"Saja nak kekalkan nostalgia dengan U."

Aku kehairanan mendengar jawapannya itu. Dalam keadaan kehairanan itu kami memasuki kereta. Bau vinyl dan aksesori kulit masih kuat.

Beg Tangan GucciWhere stories live. Discover now