Bab 22

116 8 6
                                    

Sekembalinya aku dari kafe, aku terus duduk di meja kerja. Masih belum ada sesiapa yang masuk ke pejabat. Akulah yang mula-mula sampai pagi itu. Aku menekan suis komputer. Sebaik komputer selesai membuat loading, paparan login pun muncul di tengah skrin. Aku segera menekan ID pekerja beserta kata laluannya dan semua sistem pun tersedia.

Oleh kerana waktu kerja belum lagi bermula, aku mengambil novel The Last Juror karya John Grisham dari dalam beg galas dan mula membacanya. Selembar demi selembar buku itu aku baca dengan khusyuk seolah-olah masa turut terhenti. Jalan ceritanya memukau seluruh tumpuan. Tidak rugi aku membelinya bulan lepas di sebuah kedai buku-buku second hand di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Tidak lama kemudian, Puan Adlina muncul di muka pintu masuk utama pejabat. Bersama kemunculan pegawai itu, aku lantas berhenti membaca dan meletakkan novel itu di atas meja.

"Morning Puan!" aku menegur wanita itu sambil memerhatikan dia berjalan ke biliknya.

"Assalamu alaikum Abang Alip! Dah breakfast?" wanita itu membalas teguran aku dengan sopan.

"Waalaikum salam," aku menjawab salamnya sambil tersengih. Aku sedar dia menyindir aku kerana tidak memulakan teguran dengan salam. "Saya dah breakfast kat kafe depan tu kejap tadi, puan."

Tidak ada lagi perbualan dari mulut kami. Aku kembali memberi perhatian kepada pembacaan. Setelah dua mukasurat selesai dibaca, aku memandang ke arah bilik Puan Adlina. Wanita itu telah pun duduk di tempatnya. Novel di tangan segera aku letakkan ke atas meja lantas bangkit dan berjalan ke arah biliknya. Setiba di muka pintunya, aku mengetuk pintu kaca biliknya dan memberi salam. Dia menjawab salam dan mengisyaratkan aku supaya masuk.

"Ini MC semalam, puan," aku berkata sambil meletakkan sijil cuti sakit yang aku perolehi dari doktor di atas meja, betul-betul di depannya.

"Abang Alip dah sihat ke? Pagi semalam tengok okey je. Alih-alih Iza bagitau I abang balik ambik MC," ada keikhlasan dan mengambil berat dalam nada suara Puan Adlina.

"Tak tau la, puan. Semalam, tiba-tiba je rasa nak pitam. Bawak kereta pun nyaris-nyaris tak sampai rumah je semalam."

"Bahaya tu. Abang ada darah tinggi ke?" pembantu akauntan itu terus bertanya.

"Takde. Semalam pun doktor kata saya takde apa-apa. Cuma kepenatan katanya. Dia bagi saya vitamin je."

"Abang Alip banyak sangat balik lewat lately ni. Lepas ni I akan mintak Bala jangan bagi abang kerja lebih-lebih sangat."

"Takpe, puan. I'm fine." Aku tersenyum.

Idea Puan Adlina begitu ironi pada pandangan aku. 'Macam la macha tu peduli aku sihat ke tak,'

Aku pun berjalan menuju ke petak kerja aku semula. Sebelum tiba ke meja, aku melihat jam di dinding. 8.05 pagi. 'Ada 25 minit lagi ni,' hati aku berbisik.

*****

Aku berjalan meninggalkan Bahagian Perakaunan menuju ke tempat pertemuan biasa. Setibanya di satu sudut di bahagian belakang bangunan hangar, aku melihat Dina telah pun berdiri di situ. Sebuah tong sampah stainless steel tersedia tidak jauh dari tempatnya berdiri.

Aku senyum kepada gadis yang memakai seragam syarikat itu. Skirt hitam pendek paras atas lutut dipadan dengan kemeja putih berlogo syarikat di dada sebelah kiri. Rambutnya yang panjang disanggul kemas. Mekapnya tidak terlalu menonjol tetapi jelas masih menarik.

"Hey!" sapa gadis itu sambil membalas senyuman aku.

"Hey!" jawab aku serupa.

"U bawak lighter tak? Dari tadi I tak dapat nak merokok sebab tak bawak lighter. Dalam kereta tadi pun I dah menggigil sebab tak dapat nak merokok."

Aku tidak menjawab pertanyaannya tetapi langsung merapati gadis itu sambil mengeluarkan bungkusan Marlboro merah dari poket. Dengan menggunakan tangan kiri, aku keluarkan sebatang rokok dari dalam bungkusan soft pack itu lalu aku letakkan ke bibirnya. Dia merapatkan bibir supaya rokok itu kejap kedudukannya. Tangan kanan aku pula yang kini telah memegang pemetik api bergerak menghampiri hujung rokok lalu terus menyalakan apinya. Dina menggerakkan kepalanya sedikit ke depan supaya hujung rokok di bibirnya itu dapat menyentuh api lighter yang ada di tangan aku itu.

Dia menarik nafas dalam agar tembakau yang menyentuh api tersebut dapat terbakar dengan sempurna. Kemudian, gadis itu menghembuskan asap dari mulutnya. Wajahnya kelihatan puas. Aku pun mengeluarkan sebatang lagi rokok untuk diri aku dan menyalakannya.

"Siapa perempuan semalam tu?" Dina melemparkan soalan yang membuatkan aku terpinga.

"Perempuan mana pulak?" soalannya aku jawab dengan soalan sambil menghembuskan asap.

"Perempuan kat waiting area semalam tu. Bila I nampak U datang kat tempat I, I ingatkan U nak ajak I gi merokok. I pun siap-siap la nak mintak Azi ganti tempat I kejap. Alih-alih I tengok U sembang dengan perempuan tu. Pastu U pegi macam tu je. U buat I macam tak wujud je. Pastu I cari U tengahari tu nak ajak lunch, Iza kata U MC. I rasa mesti U MC sebab perempuan tu. So, siapa perempuan semalam tu?" Dina berbicara panjang menyiasat.

"Ooo... Perempuan tu ke? Dia classmate I masa kat universiti dulu."

"Wow! I tak tau pun U ada kawan kaya macam tu."

"Ala... takkan kawan pun nak kena pilih miskin ke, kaya ke. Kawan je la semua. She's an old friend."

Sebenarnya, kata-kata Dina itu ada kebenarannya. Aku sememangnya sihat sepenuhnya semalam. Tiada apa yang mengganggu kesihatan aku.

*****

Apa yang terjadi sebenarnya ialah, sebaik sahaja ternampak Maya di bilik pameran semalam, aku menjadi sangat teruja pada mulanya. Banyak perkara ingin aku bualkan dengannya. Tetapi perkataan-perkataan itu tidak ada yang dapat aku keluarkan. Lantaran itulah aku hanya mampu diam selepas bertegur sapa dengannya.

Pandangan kami bertembung untuk suatu masa yang agak lama dalam suasana yang penuh kebisuan. Walaupun, mulut aku membisu, tetapi hati aku penuh dengan kata-kata. Dari riak wajahnya, aku tahu, Maya juga dalam keadaan yang sama. Jantung aku berdegup kencang. Pernafasan aku menjadi sesak. Kemarahan pula telah mula mengambil alih.

"Maya, I banyak kerja la. Mintak diri dulu ye." Aku berpaling dan terus berjalan meninggalkannya. Aku langsung lupa tentang niat ingin merokok bersama Dina sebentar tadi. Bahkan kehadiran Dina yang sedang memandang kami berdua sejak mula pun tidak aku sedari.

"Nanti kejap, Alip," aku terdengar panggilan Maya dari belakang. Namun, aku tidak berhenti atau berpaling. Malah, aku percepatkan lagi langkah untuk segera sampai ke pejabat Bahagian Perakaunan.

Sebaik saja aku melabuhkan punggung di kerusi, fikiran aku menjadi kacau bilau. Sudah lama aku merindukan wanita itu. Tetapi perasaan marah aku terhadapnya mengatasi perasaan rindu yang terbuku. Aku tidak mahu menimbulkan apa-apa drama yang akan menarik perhatian orang-orang di tempat kerja lalu terus bangun semula dari kerusi sambil mencapai beg galas buruk aku dan terus berjalan ke arah pintu utama.

Aku berhenti di meja Iza untuk menyampaikan pesan, "Iza, nanti bagitau Puan Adlina, I MC. Tak sihat la hari ni. Rasa macam nak pitam." Aku membuat cerita rekaan.

"Ye ke, Abang Alip? Okey, nanti Iza bagitau Puan Adlina," Iza berkata-kata dengan wajah serius penuh kerisauan yang ikhlas. Aku menahan diri dari tersenyum, takut-takut penipuan aku terbongkar.

Aku meninggalkan bangunan hangar dan terus memandu ke sebuah klinik yang merupakan salah sebuah panel klinik syarikat di Subang Jaya. Selepas berlakon di depan doktor dan berjaya mendapatkan sijil cuti sakit barulah aku pulang ke Ampang.

Sebaik sampai di rumah, aku terus duduk di sofa. Suis kawalan jauh TV LED aku tekan. Semua rancangan yang ke udara dari stesen Astro tidak satu pun dapat menarik perhatian aku.

Mulut aku menggumam perkataan carut Bahasa Inggeris empat huruf tanpa sengaja kerana terlalu marah, "Eff!"

Kemudian sekali lagi, "Eff!"

Dan sekali lagi sambil menumbuk sofa, "Eff!"

Kemunculan semula Maya benar-benar mengganggu emosi aku.

Beg Tangan GucciWhere stories live. Discover now