Menonton filem. My favourite. Sebelum itu, aku pernah juga pergi menonton wayang bersama Kasim atau nama sebenarnya Kasim Bin Mustafa. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah aktiviti rutin yang kami buat setiap hari atau setiap minggu. Selama dua tahun di sini, seingat aku, baru tiga kali kami keluar menonton wayang. Itupun kami hanya sekadar ke panggung wayang kecil di kompleks membeli-belah yang kurang pengunjungnya.
Aku hanya dapat menonton filem-filem pilihan dengan menyewa cakera-cakera padat video dari kedai video yang berdekatan dengan universiti. Pemain videonya pula ialah komputer peribadi milik Kasim. Pada ketika itu teknologi internet belum lagi diperkenalkan. Ia hanya akan menjadi umum setahun kemudian. Walau dalam keadaan teknologi yang belum serumit sekarang, aku masih juga dapat menonton filem-filem terbaik yang pernah dibuat dalam sejarah motion pictures.
Setiap kali sebuah filem ditontonkan, aku akan memberikan sepenuh perhatian terhadapnya. Setiap adegan penting buat aku. Setiap perkataan yang dilafazkan oleh watak-watak di dalamnya akan aku dengar dengan teliti. Dan pada penghujung cerita, aku akan membuat penilaian keseluruhan untuk filem tersebut.
Kasim pernah memberikan komen terhadap tabiat aku ketika menonton dengan berkata, "Hang kalau dah tengok movie, dunia kiamat pun hang tak sedaq."
Kasim sangat masak dengan minat aku itu, sehinggakan setiap kali dia ingin menonton apa-apa filem, dia akan mendapatkan pandangan aku. Sekiranya aku memberikan rekomendasi yang baik terhadap filem yang ingin ditontonnya, dia akan berkata,"Kalau Alip dah kata filem tu baguih, memang filem tu baguih punya."
Pada pandangan aku, filem bukanlah hanya sekadar hiburan. Ia adalah sebuah penceritaan. Sejak kecil lagi aku memang sangat tertarik kepada cerita-cerita. Persembahan dalam sebuah filem adalah bagaikan catatan dan pendapat tentang hidup yang dibuat oleh pembikinnya. Sememangnya bukan semua pendapat mereka selari dengan ideologi aku. Tetapi aku tetap menghargai penceritaan yang mereka sampaikan. Setiap gambar yang dipaparkan mempunyai maksud yang mempunyai terjemahan berbeza-beza mengikut mata-mata yang menonotonnya.
*****
Aku dan Maya berdiri di depan skrin yang menyenaraikan judul filem-filem yang ditayangkan pada hari itu. Perselisihan pendapat berlaku antara kami tentang filem yang mana akan menjadi pilihan.
Aku ingin menonton sebuah filem drama kehidupan lalu Maya berkata, "Too heavy. Nanti I tertidur pulak."
Dia mencadangkan sebuah filem sequel kepada sebuah filem aksi lalu aku memberikan komen ringkas, "Cliché!"
Akhirnya kami bersetuju menonton sebuah filem komedi romantik remaja. Tema ringan ini mungkin sesuai untuk aku yang tidak berhajat menonton sesuatu yang serius ketika itu.
Ketika filem ditayangkan, kedua kami bergelak ketawa menonton komedi yang dihidangkan. Kemudian, seperti biasa, aku hilang dalam tumpuan. Aku terlupa kehadiran Maya yang merupakan gadis paling cantik dan paling bergaya di fakulti. Seketika kemudian, aku tersedar tentang kehadirannya. Aku menoleh dan mencuri-curi pandang gadis itu. Dalam samar-samar cahaya, aku masih dapat melihat kecantikan wajah Maya. Aku terpesona.
*****
"Jom lepak Starbucks!" kata Maya sebaik sahaja kami keluar dari panggung wayang selepas filem selesai ditayangkan.
Sebagai seorang lelaki yang mempunyai ego, aku berasa bersalah kerana belum lagi mengeluarkan satu sen pun wang bagi membayar apa-apa. Maka aku pun menjawab,"Dengan syarat, kau kena bagi aku bayar."
"I belanja la. U jangan risau. Enjoy je 'cause you deserved it. Don't worry about money, okay?" Gadis itu memberikan renungan yang membuatkan aku tidak lagi dapat menolak.
"Okey," kata aku sambil meluruskan tangan ke depan dengan tapak tangan terbuka ke atas sebagai isyarat, 'Sila tunjukkan jalan.'
Dengan bersahaja Maya mencapai tangan aku dan menggenggamnya. Dia menarik aku mengikutinya ke kedai kopi popular itu. Tangannya lembut dan hangat sedangkan tangan aku sejuk seperti ais. Aku pun tidak pasti sama ada tangan aku itu sejuk akibat suhu sejuk dalam bangunan itu atau kerana darah gemuruh. Ya, aku tidak lagi dapat memastikannya.
*****
Kami sampai di Starbucks dan terus beratur di kaunter untuk memesan minuman. Aku melihat jam di tangan. Pukul 3.45 petang. Selepas mendapatkan minuman masing-masing, kami pun segera duduk di sebuah meja.
"Khusyuk betul U bila tengok movie, kan," kata gadis itu memulakan perbualan.
"Ye ke?"
Maya hanya mengangguk sambil menyedut minuman ice blended melalui straw plastik.
"Sorry. Kasim pun cakap macam tu jugak bila aku tengok movie. Khusyuk tak sedar apa-apa dah, katanya"
"It's okay. Anyway, movie tadi best, kan? I suka tengok main actor tu, handsome sangat."
Maya mula memberikan komennya terhadap filem yang kami tonton itu dari pelbagai sudut menurut kefahamannya. Aku hanya berdiam diri dan mendengar dengan penuh minat. Daripada komennya itu, aku berpeluang mengenali diri gadis itu, bagaimana cara dia berfikir dan memberikan persepsi terhadap sesuatu isu.
"U kata U minat movie. Bagila komen sikit."
Apabila diminta begitu, aku pun mula memberikan komen. Aku bercakap tentang tema filem, plot, aspek realistik dan beberapa perkara lain termasuk kesilapan-kesilapan pengarah yang dapat aku kesan dari pengamatan pertama tersebut.
"Impressive! I tak pernah dengar teman movie-goer I bagi komen pasal movie macam yang U bagi ni," Maya memberikan pujian sebaik sahaja aku berhenti bercakap. "Lepas ni kalau I nak pegi tengok movie, I kena pegi dengan U aje."
Aku hanya ketawa tersipu dipuji begitu dan terus berkata, menukar topik, "Malam ni masih jadi ke?"
"Mestila..."
"Takde cara nak tukar fikiran kau lagi?"
"Nope!"
"Titah perintah tuanku, patik junjung atas batu jemala patik," kata aku sambil melakonkan gaya P. Ramlee dalam filem Hang Tuah. Maya ketawa sambil menutup mulutnya apabila melihatkan gelagat aku.
Kami meneruskan perbualan sehingga hampir jam 5 petang. Kemudian, gadis itu mengajak kami beredar. Aku pun berdiri, bersedia untuk mengikutinya.
Sebaik meninggalkan restoran makanan segera tersebut, Maya memandang aku sambil berkata, "I have another surprise for you."
'Aduh! Apa pulak lepas ni?' Hati aku mengeluh. Gadis itu sememangnya mempunyai banyak kejutan.
YOU ARE READING
Beg Tangan Gucci
Ficción GeneralKesusahan dan kesenangan adalah lumrah. Kesusahan dirunguti. Kesenangan melalaikan. Sesungguhnya manusia tidak faham apa yang terjadi. Kedua-duanya berlaku penuh hikmah. Namun, ia hanya disedari oleh mereka yang berfikir... Beg Tangan Gucci adalah c...