Bab 1

616 23 1
                                    

Aku melihat jam di tangan. Casio G-Shock yang telah lebih dua puluh tahun berkhidmat itu menunjukkan jam 11 pagi. Masih ada dua jam sebelum aku boleh rehat makan tengahari. Pandangan tertumpu ke arah dokumen-dokumen di atas tray yang bertulis IN. Tanggungjawab untuk memproses isi kandungan tray tersebut dipikul oleh aku.

'Bila la invoice-invoice ni nak berkurang? Semalam macam dah nak habis. Pagi ni dah penuh balik.' hati aku merungut.

Dokumen-dokumen tersebut harus direkod ke dalam sistem sebelum meneruskan proses pembayaran. Helaian paling atas di tray tersebut aku ambil. Ia adalah sehelai inbois pembekal filem penggelap cermin kenderaan mewah yang telah beberapa tahun berurusniaga dengan syarikat ini. Aku meneliti setiap inci maklumat di atas dokumen tersebut dengan berhati-hati sebelum merekodkannya ke dalam sistem.

Ada sesuatu yang tidak lengkap pada kertas itu. Tangan kiri aku segera mengangkat gagang telefon milik syarikat, yang ada di atas meja, sambil mata aku meneliti senarai nombor kod sambungan bagi setiap kakitangan di Bahagian Penyelenggaraan.

Nama yang aku cari telah ditemui. Samad. Aku ingin menekan nombor sambungan bagi Abdul Samad Bin Wakiman, lelaki dari Klang yang menjawat jawatan Eksekutif Jualan Alat Ganti. Selepas memikirkan sesuatu, aku menukar fikiran dan terus meletakkan gagang ke tempatnya semula lalu bingkas bangun dari tempat duduk. Inbois itu aku capai dan terus melangkah ke arah pintu utama Bahagian Perakaunan. Aku mahu menemui Samad sendiri.

Samad belum lagi menurunkan tandatangan dan cop rasmi nama beserta jawatannya ke atas dokumen tersebut. Tanpa tiga perkara itu, Bahagian Perakaunan tidak mempunyai kebenaran untuk memproses bayaran bagi perkhidmatan yang disebutkan dalam inbois yang dikemukakan kepada syarikat.

Aku boleh sahaja meminta Samad datang ke Bahagian Perakaunan untuk menurunkan tandatangannya. Tetapi aku tahu perkara tersebut hanya akan melambatkan lagi kerja merekod kerana Samad mempunyai tabiat suka berlengah-lengah untuk datang ke Bahagian Perakaunan walaupun berkali-kali diminta berbuat demikian.

Dari Bahagian Perakaunan ke Bahagian Jualan Alat Ganti, aku harus merentasi petak-petak kerja kakitangan Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Pemasaran sehinggalah ke hujung. Selepas itu menuruni tangga ke ruang pameran. Kemudian masuk ke satu lorong di sebelah kanan, di antara pantry dan stesen fotokopi yang akhirnya membawa ke Bahagian Jualan Alat Ganti. Kini aku berdiri di depan stesen kerja Samad.

"Wak, kau memang nyanyuk la. Tiap kali hantar invoice kat aku, mesti kau lupa sign," aku menyapa Samad dengan nada kasar tetapi sebenarnya penuh kemesraan. Begitulah gaya pergaulan kami berdua sejak beberapa tahun perkhidmatan kami di syarikat itu.

"Ye ke? Ala... janganla marah boss. Aku kan dah tua," Samad berkata sambil tersengih menyeringai menampakkan giginya yang jarang.

"Okey, kau sign cepat. Aku nak gi merokok dengan Dina ni. Lambat kang merajuk awek tu," aku memberikan arahan dan alasan sekaligus.

"Eleh, nak berlagakla tu," protes Samad yang sebaya dengan aku dalam nada cemburu. Tangannya pantas melaksanakan permintaan aku ke atas inbois tadi.

Kami berdua berpandangan penuh makna, kemudian ketawa serentak.

*****

Sebaik selesai urusan dengan Samad aku pun segera meninggalkan Bahagian Jualan Alat Ganti. Sesungguhnya pergi bertemu Samad untuk mendapatkan tandatangannya itu hanyalah alasan yang aku gunakan untuk meninggalkan pejabat. Niat aku yang sebenarnya ialah untuk keluar merokok.

Aku berjalan dengan cepat menuju ke arah meja penyambut tetamu. Dalam jarak kurang 10 meter dari ruang penyambut tetamu, aku berhenti. Pandangan aku tertumpu ke arah ruang menunggu.

Seorang wanita duduk di sofa yang ada di situ. Dia sedang membaca majalah yang disediakan oleh syarikat untuk bacaan tetamu-tetamu di ruang tersebut. Wanita itu menyedari kehadiran aku dan mengangkat wajahnya. Dia juga turut terpaku melihat aku berdiri tidak jauh darinya. Aku menghampiri wanita itu.

"Maya!" aku menyebut namanya apabila yakin telah sampai dalam lingkungan jarak pendengarannya. Walaupun telah belasan tahun tidak bertemu, wajahnya masih aku kenal. Aku tidak akan lupa dengan wajah itu. Penampilannya telah jauh berubah berbanding belasan tahun dulu. Wanita itu kini bertudung dan memakai jubah moden ala-muslimah yang menjadi trend fesyen terkini di kalangan wanita di Malaysia.

"Alip!" sepatah perkataan keluar dari mulut wanita itu. Nama aku. "U kerja sini ke?"

Aku mengangguk kemudian bertanya, "Buat apa kat sini?"

"Hantar kereta servis," dia memberikan penerangan yang munasabah.

"Department?"

"Accounts."

Kemudian, kedua kami tidak lagi berkata-kata. Hanya sekadar berpandangan.

Beg Tangan GucciWhere stories live. Discover now