Ketukan di pintu mengejutkan aku. Kepala terasa sakit berdenyut-denyut kerana melalui fasa hangover. Dina masih tidur dalam pelukan aku, tidak mempedulikan apa-apa yang berlaku. Hari telah pun siang.
'Sapa la pulak kat pintu tu?'
"Assalamu alaikum..." kedengaran salam diberi di pintu.
"Waalaikum salam... kejap ye," hati aku tergerak untuk melayan tetamu yang datang itu.
Dengan susah-payah aku mengalihkan tubuh Dina ke sisi untuk memudahkan aku bergerak bangun. Aku tergesa-gesa bergerak ke pintu dengan terhuyung-hayang. Kesan wiski masih tersisa dalam sistem tubuh aku. Hampir saja aku membuka pintu sebelum menyedari tubuh sedang berbogel.
"Kejap! Kejap!"
Aku masuk semula ke bilik, menyarung seluar panjang track bottom lalu segera bergegas ke pintu. Apabila daun pintu dikuak, aku melihat dua orang lelaki di luar. Hati mulai menyesal. Menyesal kerana menjawab salam tadi. Menyesal kerana membuka pintu. Terdorong oleh rasa kurang senang, jeriji besi aku biarkan terus berkunci.
Kedua-dua lelaki itu memakai pakaian yang asing bagi aku. Lelaki pertama memakai sehelai baju labuh ke lutut dan berbelah di tepi. Lelaki kedua pula memakai jubah. Kedua-duanya berkopiah di kepala dan berseluar yang hujungnya tinggi mendedahkan pergelangan kaki. Mereka juga tidak berdiri benar-benar di muka pintu, sebaliknya berdiri di kiri dan kanan pintu.
Lelaki pertama mengadapkan wajahnya ke arah muka pintu, sementara lelaki kedua membelakangi pintu membuatkan aku tidak dapat melihat wajahnya. Lelaki pertama menguntum senyuman manis kepada aku. Janggutnya tebal dibiarkan panjang.
Dengan mengekalkan senyuman di wajahnya, lelaki pertama memulakan bicara dengan pantas dan lancar, "Apa khabar, bang? Maaf la kami mengganggu pagi Ahad abang ni. Kami datang dari surau kat bawah tu. Kita sedang buat amalan ziarah dari pintu ke pintu. Alhamdulillah... hari ni dapat jumpa abang."
"Nama saya Yusof. Apa nama abang?" Yusof menghulurkan tangan kepada aku melalui batang-batang jeriji untuk bersalaman. Pada mulanya aku teragak-agak untuk menyambut salam itu. Kemudian, tangannya itu aku jabat ringkas.
"Errr... Alip."
"Boleh mintak masa abang sekejap? Kawan saya ni ada perkara penting nak bagitau."
Sebaik saja dia menghabiskan kata-katanya, lelaki kedua yang telah pun mengadapkan tubuhnya kepada aku mula mengangkat wajahnya. Apabila pandangan kami bertembung, aku melihat wajahnya berkerut kerana terkejut. Aku turut mengerutkan wajah kerana mengalami perasaan yang sama.
Lelaki itu memulakan bicara, "Eh... Alip!"
"Am!"
Aku segera ingin menerpa lelaki itu. Namun, pintu jeriji besi yang belum terbuka menghalang niat aku.
"Kejap Am."
Mangga St. Guchi yang mengunci pintu jeriji itu cepat-cepat aku buka. Sebaik sahaja ia dibuka, aku segera mendekatinya dan menghulurkan tanganku kepadanya untuk bersalaman. Tangan itu tidak diendahkannya kerana dia telah memikirkan cara yang lebih baik daripada berjabat tangan. Am terus menarik tubuh aku rapat ke tubuhnya. Kami berpelukan.
Aku berasa sungguh gembira dengan pertemuan ini. Lelaki itu bernama Irham Bin Abdul Razak atau pendeknya Am. Dia rakan sekampung aku. Kami membesar bersama-sama dan melalui alam remaja bersama. Banyak kenangan yang kami lalui bersama.
Kami berdua adalah adik-beradik berlainan ibu, berlainan ayah. Begitulah gelaran yang diberikan kepada kami. Secara kebetulan, nama ayah kami berdua juga sama. Maka, ke mana-mana kami memperkenalkan diri sebagai kembar lain mak ayah.
Personaliti kami berbeza. Kecerdasan minda juga berbeza. Tetapi hati kami satu. Irham adalah bad boy. Sementara aku pula good boy. Kalau ada saja acara bertumbuk dan bergaduh, Am akan segera ke depan. Aku pula lebih bersifat pasif selalu mengelak konfrontasi. Sekiranya ada yang cuba mengusik aku pasti akan menerima penangan penumbuk besinya.
Dari segi pelajaran pula, Am langsung tidak dapat bersaing dengan aku. Malah, seluruh sekolah-sekolah di daerah itu tidak dapat bersaing dengan aku. Di sekolah rendah, kami sekelas. Banyak kerja-kerja rumahnya yang disiapkan oleh aku. Mana-mana kerja yang tidak sempat aku buat, akan menjadi penyebab Am didenda oleh cikgu. Namun, dia tidak pernah kesal atau bersedih menerima hukuman.
Am mula merokok seawal umur sepuluh tahun. Setiap kali dia menyorok untuk merokok, aku akan berkawal bagi memastikan dia tidak tertangkap. Pernah sekali rokoknya tertinggal dalam beg sekolah aku dan ditemui oleh ayah. Teruk aku dibelasah kerananya. Tetapi rahsia bahawa rokok itu kepunyaan Am tidak sekali-kali aku bocorkan.
Ketika memasuki sekolah menengah, kami tidak lagi dapat berada di kelas yang sama. Di tingkatan satu, pembahagian kelas dibuat berdasarkan pencapaian dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, UPSR. Hasilnya, aku berada di kelas pertama, manakala Am berada di kelas ketiga terbelakang. Namun, itu tidak menghalang kembar ini dari terus bersama.
Am lebih kacak dan lebih romeo. Dia mula mempunyai teman wanita sejak di tingkatan satu lagi. Pernah dia cuba menjodohkan seorang gadis dengan aku supaya aku tidak tersisih setiap kali aku mengikutinya berdating dengan teman wanitanya. Tetapi perempuan dan dunia percintaan belum lagi menarik minat aku ketika itu.
Tetapi, antara perempuan dan aku, Am lebih rela memilih aku. Satu peristiwa, ketika kami di tingkatan empat, dia berjaya memikat seorang gadis yang popular di sekolah. Ramai lelaki yang meminati gadis itu kerana kecantikannya. Telah banyak hati lelaki yang dikecewakannya. Akhirnya, gadis itu tewas dengan kepakaran Am bermain kata-kata. Suatu hari, gadis itu tersalah memberikan komen kurang baik terhadap aku. Maka, ketika itu juga wajahnya yang putih melepak menjadi merah padam dilempang Am.
Kami berdua sama-sama meminati muzik dan mula belajar bermain gitar bersama-sama. Kami pernah menubuhkan band muzik bersama-sama. Aku di posisi gitar utama, manakala Am bermain gitar bass. Band kami banyak memainkan lagu-lagu genre grunge. Revolusi grunge sangat menjadi-jadi ketika kami remaja sehinggakan kematian Kurt Cobain, ikon penting dalam muzik jenis itu, turut kami tangisi.
Pernah juga kami sama-sama berangan-angan untuk membina karier dalam industri muzik. Ternyata, itu hanyalah angan-angan anak remaja yang mudah tertarik dengan dunia glamor dalam industri hiburan.
Otomotif juga menjadi minat kami bersama. Di usia muda, kami menyimpan gambar-gambar kereta berkuasa. Kami menghafal spesifikasi setiap model kereta. Apabila melepak, kami membanding-bandingkan pengetahuan kami tentang kereta, enjin dan macam-macam aspek lagi. Pernah kami berangan-angan untuk membeli dua kereta yang sama jenis apabila dewasa dan sama-sama membuat modifikasi terhadap kereta-kereta tersebut.
Selepas keputusan SPM diumumkan, kami sama-sama faham bahawa kami akan terpisah jauh. Pada hari aku akan berangkat ke universiti, Am turut datang ke rumah untuk mengucapkan selamat tinggal.
Matanya merah menahan air mata dari melimpah ketika berkata kepada aku, "Kau belajar betul-betul. Jangan lupakan aku."
Sepeninggalan aku melanjutkan pelajaran, Am terus tinggal di kampung tidak menyambung pelajaran ke mana-mana. Dia terus gigih melakukan kerja-kerja kampung untuk menampung kehidupan dewasanya.
Pada awal pengajian, setiap kali balik bercuti semester, kami pasti bertemu dan menghabiskan masa bersama. Bermula pada tahun aku diberhentikan dari universiti, aku tidak lagi pulang ke kampung kerana sibuk bekerja. Sejak itu hubungan kami terputus.
Pada hari ini, lelaki itu berdiri di depan rumah aku.
YOU ARE READING
Beg Tangan Gucci
General FictionKesusahan dan kesenangan adalah lumrah. Kesusahan dirunguti. Kesenangan melalaikan. Sesungguhnya manusia tidak faham apa yang terjadi. Kedua-duanya berlaku penuh hikmah. Namun, ia hanya disedari oleh mereka yang berfikir... Beg Tangan Gucci adalah c...