AZRIL memandang ke satu arah. Seorang lelaki berjubah putih dengan wajah bercahaya menghulur sehelai kain berwarna putih padanya. Azril memandang wajah itu. Huluran kain putih disambut.
"Ayah...." mata Azril berkaca digenangi air mata. Sungguh, rindu pada ayahnya kian terubat.
"Azril, anakku... Bukalah kain itu. Tertulis nama isterimu." Azril mengelap air matanya.
Dahinya dikerutkan. Hairan. Isteri? Berkahwin pun belum. Matanya ditalakan pada wajah si ayah tanda tidak percaya. Ayahnya mengangguk meyakinkan. Azril mula membuka lipatan kain.
"Nurassyifa' binti Hamzah" Azril menyebut nama yang tercatat di kain putih itu.
Datang seorang wanita berpakaian putih. Kainnya indah dari sutera yang tak pernah dilihat. Wajahnya indah berseri. Sungguh jelita di pandangan mata. Namun, agak kabur di pandangan Azril. Sepertinya ada sesuatu yang menghalangnya dari melihat dengan jelas wajah bakal permaisurinya.
"Wahai ayah, mengapa aku tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas?" Tanya Azril.
"Kerana dia belum menjadi yang halal bagimu." Jawab ayahnya.
"Tapi, ayah... bukankah Syifa' bakal bernikah dengan Haikal?" Azril melontar persoalan. Ya, dia yakin wanita yang dituliskan itu Syifa'.
"Pulanglah ke rumah dan jumpalah dengan mak. Kau akan megetahui segalanya." Jawab ayahnya. Perlahan-lahan, ayahnya hilang dari pandangan mata. Semakin lama semakin jauh.
"Ayah! Ayah! Ayah!" Azril terduduk. Tangisannya berlagu syahdu. Kerinduannya pada seorang ayah masih belum terlunas. Tidak cukup sesaat cuma. Dia mahukan lebih lagi.
"Ayah!!" Azril terjaga dari lenanya. Air matanya masih belum terhenti. Tangisannya bersambung di dunia realiti.
Azril teringat pesanan ayahnya untuk pulang ke rumah berjumpa emak. Azril melihat jam di dinding. 9 malam. Azril terus mencapai kunci keretanya. Setelah memastikan rumah dalam keadaan selamat, dia terus memandu laju ke rumah emak.
"Assalamu'alaikum...." ucapnya apabila tiba di hadapan rumah.
"Wa'alaikumussalam..." terdengar beberapa suara menjawab. Pasti ada tetamu.
Azril masuk ke dalam rumah. Dia menyalami ibunya. Hairan dilihatnya Rayyan dan Haikal berada di situ. Tidak mahu berfikir lebih panjang, Azril duduk di sisi ibunya. Dicapai tangan ibunya dibawa ke pipinya.
"Mak... Tadi Aril mimpi ayah..." ujar Azril. Lirih suaranya. Si ibu hanya mendengar luahan seorang anak.
"Mak... Ayah datang bagi kain putih. Ayah kata, ada nama isteri Aril... Namanya Syifa'..." sambung Azril.
"Mak... Tapikan, Syifa' dah nak nikah. Kenapa boleh jadi macam ni, mak? Ayah suruh tanya mak. Jelaskanlah mak kalau ada yang mak tahu..." pinta Azril.
Puan Azizah memandang Haikal dan Rayyan. Menanti reaksi keduanya. Haikal mengangguk membenarkan. Puan Azizah melepaskan tangannya dari pegangan Azril. Diusap perlahan kepala anak lelaki kesayangannya.
"Syifa' memang akan jadi isteri Aril. Aril akan bernikah dengan Syifa' jumaat ni." Ujar Puan Azizah tenang.
Azril terkejut bukan kepalang. Dipandang Puan Azizah, Rayyan dan Haikal silih berganti. Antara percaya dengan tidak. Antara benar dengan palsu. Andai benar, mengapa? Mengapa dia, bukan Haikal?
"Aril tak faham." Nada suaranya mendatar. Azril bangkit berdiri.
Perasaannya bercampur baur. Yang ada di kepalanya hanyalah, kenapa? Tak mungkin Haikal mempermainkan hati seorang perempuan. Mustahil juga Haikal membatalkan hasratnya kerana dia. Walaupun Haikal banyak berkorban buatnya, tak mungkin hingga sebegini sekali.