Bab 1-Sekolah Baru

228 3 0
                                    


Nora menghalakan pandangan ke arah bangunan pentadbiran sekolah sebaik sahaja keluar dari perut kereta. Ayahnya, selepas meletakkan kenderaan di tepi padang sekolah, tempat parkir yang telah dikhaskan pada hari itu terus sahaja membuka but kereta dan mengeluarkan beg berisi segala dokumen perihal Nora.

"Untung sekolah baru ni. Segalanya baru, bangunan, perabot, tilam dan bantal di asrama semuanya masih belum digunakan. Cuma Along juga mestilah bersemangat baru, belajar mesti rajin." Kata ibunya yang berdiri di sebelah dan turut sama menikmati pemandangan indah sekolah baru yang tersergam indah di atas bukit tepi jalan utama daerah Bentong. Di sekelilingnya masih hutan hijau dan kebun-kebun getah menjadikan suasana redup dan nyaman.

Nora mendengar nasihat ibunya, mengangguk sambil tersengih membuat mimik muka kasihan.

"Ke sana, tempat pendaftaran." Tunjuk ibunya ke arah blok bangunan bilik darjah. Kelihatan sudah ramai pelajar dengan ditemani ibu bapa termasuklah ahli keluarga memenuhi blok tersebut untuk sesi pendaftaran.

Hari ini hari pendaftaran ambilan baru Sekolah Menengah Teknik Cemerlang Jaya, sebuah sekolah berasrama penuh lepasan Penilaian Menengah Rendah. Sekolah baru dibuka dan Nora berserta pelajar yang lain adalah angkatan pertama. Rata-rata yang dipilih masuk terdiri daripada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. Nora yang memang cemerlang keputusannya terpilih untuk mengikuti jurusan Pengurusan Perniagaan.

"Aida dah sampai ke belum agaknya ya, bu?" Tanya Nora kepada ibunya. Aida, rakan sekelasnya di sekolah menengah Pandan Jaya juga terpilih ke sekolah ini dalam jurusan yang sama. Setidak-tidaknya ada jugalah kawan yang dikenali dari sekolah lama dan satu negeri sebelum berkenalan dengan kawan-kawan baru.

"Tak nampak pun? Belum sampai lagi agaknya." Jawab ibunya selepas meninjau-ninjau ringkas dari kedudukannya di situ. Ayahnya yang berjalan mendahului kedua mereka, sambil memegang beg sibuk meninjau pelan di papan kenyataan mencari di mana kelas untuk mendaftarkan Nora.

"Kelas nombor dua itu tempat daftarnya. " kata ayah Nora memuncungkan bibir menunjuk ke arah kelas yang dimaksudkan. Mereka berjalan pantas menuju ke tempat yang dimaksudkan. Sebolehnya pendaftaran mesti diselesaikan segera untuk mengelak dari bertembung dengan kesesakan. Datang awal agak bertuah kerana suasana masih terkawal.

Sampai sahaja di kelas tersebut, ayahnya mengeluarkan dokumen seperti surat tawaran, salinan keputusan Penilaian Menengah Rendah, salinan kad pengenalan dan lain-lain untuk diteliti ahli jawatankuasa pendaftaran. Selesai semua itu apabila yuran pendaftaran telah dijelaskan.

"Kita ke asrama pula. Mendaftar dorm mana Nora dapat." Kata ayahnya sambil menggamit mengajak menuju ke arah kereta. Ayahnya memang seorang yang pantas bertindak dan tidak suka berlengah-lengah. Itu Nora faham benar.

Dari blok pentadbiran hendak menuju blok asrama puteri jauh juga, maklumlah sekolah baru yang luas. Padangnya cantik tetapi pokok-pokok di tepi padang masih kecil. Jika pokok-pokok ini sudah besar pastilah pemandangan sekolah ini akan lebih cantik seperti pusat peranginan.

Kereta melintasi asrama putera dahulu, dari dalam kereta Nora dapat melihat pelajar-pelajar lelaki sedang mendaftar. Ibu bapa dan keluarga yang menghantar tidak kurang sibuk membantu menguruskan anak masing-masing mengangkat beg, baldi, penyangkut baju dan bermacam-macam lagi.

"Fuh! Cantik sekolah ni. Tengok gelanggang tenis, bola keranjang dan sepak takraw tu, lantainya cat hijau, menyerlah sungguh." Ketawa ibunya sambil memuji penuh kagum dengan sekolah baru itu. Kereta meluncur melepasi empat blok asrama putera. Di sebelah kanan pula surau sekolah. Di hadapan sedikit dewan makan dan lima puluh meter dari dewan makan, di situlah terletak dua blok asrama puteri yang dikelilingi pagar. Tanpa berlengah mereka pergi mendaftar.

"Nora Anissa binti Khairul Effendy, kamu di dorm A1 katil nombor 12. Blok ini namanya Aspuri Mawar dan warden blok kamu ada dua orang iaitu saya, Cikgu Rozita dan seorang lagi warden namanya Cikgu Devi." terang cikgu yang bertudung, bercermin mata dan sangat manis dengan tahi lalat di dagu. Nora mengagak Cikgu Rozita dalam pertengahan dua puluhan.

"Siapa Ketua Warden?" Tanya ayah Nora.

"Cikgu Suparman. Dia bertanggungjawab perihal pelajar-pelajar asrama baik lelaki mahupun perempuan. Tetapi urusan hal ehwal pelajar perempuan diketuai oleh Ustazah Nurul Huda di blok sebelah, Aspuri Melur. Tetapi apa-apa hal boleh melalui kami sahaja." Jawab Cikgu Rozita mesra dan menyenangkan.

"Sila ikut arah anak panah untuk ke dorm, ya? Cikgu Devi ada di atas sana memantau. Terima kasih." Beritahu Cikgu Rozita dengan senyuman manis sebelum mengalihkan perhatian kepada pelajar lain yang turut mendaftar.

"Terima kasih cikgu. Eh, abang tak boleh naik. Kawasan larangan." Kata ibunya.

"Oh! Hari ini boleh, puan." Kata Cikgu Rozita dari meja pendaftaran sambil ketawa.

Mereka tertawa melihat keletah ayah Nora yang beraksi lucu seperti malu-malu.

Nora naik ke dorm dengan menjinjing barang keperluannya. Ibu dan ayah Nora turut membantu. Ibunya memasangkan cadar dan sarung bantal putih seperti yang dinyatakan awal di dalam surat tawaran. Bapanya memasangkan engsel di almari. Begitu juga dengan pelajar-pelajar lain bersama ibu bapa mereka. Ada anak kecil yang mengikut ibu bapa mereka menghantar kakaknya seronok berlari, memanjat dan bermain di dorm yang mempunyai dua belas buah katil dua tingkat, dua puluh empat almari yang bermaksud memuatkan dua puluh empat orang penghuni.

Nampaknya kelibat Aida masih tidak kelihatan. Belum sampaikah atau dapat dorm yang lain? Tidak mungkin Aida tidak mendaftar kerana semalam sudah dimaklumi dia pun turut mahu bersekolah di sini. Nora menarik nafas. Tidak sabar untuk berkenalan dengan yang lainnya nanti.

"Ibu balik dulu, Along. Nak kena cepat sampai KL sebelum tamat waktu pejabat. Nanti jalan jem. Along jaga diri baik-baik. Berkawan baik-baik. Ikut kata cikgu dan warden. Ada apa-apa masalah bagitahu mereka. Ibu sayang Along." Ibunya berpesan panjang lebar lagi selepas itu, dengan penuh sebak. Nora mencium tangan dan memeluk ibunya. Sayu juga selepas ini berjauhan dengan keluarga, dengan adiknya Arissa atau Angah yang muda setahun darinya. Lebih-lebih lagi dengan Alimi adik bongsu yang baru berumur empat tahun. Nabil tidak ikut kerana demam dan tinggal di rumah dijaga oleh Bibik. Air mata Nora mengalir sayu. Kedua ibu dan anak itu menangis bersama mengumpul rindu buat bekalan sementara sebelum berjumpa semula nanti. Sangat berat perasaan mereka untuk berpisah.

Ayahnya menghulurkan not seratus ringgit, memeluk dan mencium dahi anak sulungnya. Nora menyapu air mata, bersalam dan mencium sungguh tangan ayahnya.

"Hendak berjaya memang kena banyak berkorban. Jaga diri. Ayah percayakan Along. " Kata-kata ringkas tetapi menyuntik semangat dari ayahnya menyegarkan Nora. Nora mengikut kedua orang tuanya sehingga ke kereta dan melambaikan tangan, perpisahan buat sementara. Ah! Daerah Bentong bukanlah jauh dengan Kuala Lumpur, fikirnya.

Nora yang sedang sayu melihat kereta bapanya semakin menjauh terkejut apabila bahu kirinya ditepuk.

"Aida!" Jeritnya dan mereka berpelukan. "Bila kau sampai?"

"Pukul sembilan pagi aku dah terpacak. Mak aku hantar naik kereta Kak Ngah. Ayah aku kursus kat Johor." Jelas Aida. "Kau dorm mana?" Sambung Aida lagi. "Aku sampai tadi orang masih tak ramai. Kak Ngah aku minta dorm A2 katil 1 sebab dorm A2 menghadap jalan. Berjaya dapat kau tahu? Boleh nampak sekolah dan nampaklah sikit Aspura. Hahaha!" Aida ketawa sambil mengenyit mata.

"Hiii teruk dia ni tau?" Ejek Nora sambil mencubit lengan Aida. Aida mengaduh.

"Aku dorm A1. Betullah kata kau. Dorm aku menghadap hutan. Ah! Tak kisahlah, aku kan pencinta alam? Tak nampak Aspura nampak kera pun jadilah." Nora mencebik tak mahu mengalah. Mereka ketawa kelucuan.

"Kau rasa sekolah ni seronok tak?" Tanya Aida. Dia mengeluarkan sepotong kuih seri muka bekalan dari ibunya dan menghulurkan kepada Nora.

"Sekolah baru mestilah seronok. Kita pelajar pertama. Tak ada 'senior' nak buli kita. Yahoo!" Jawab Nora sambil menyambut kuih pemberian Aida.

"Betul, betul, betul!" Sorak Aida.

Mereka jalan beriringan masuk ke dalam blok Mawar dengan penuh semangat dan tidak sabar mengikuti program minggu suaikenal bermula jam lima petang nanti.

Hostel PuakaWhere stories live. Discover now