Bab 2- Minggu Orientasi

82 1 0
                                    


Sesi taklimat asrama diadakan di dewan makan. Semua pelajar Aspura dan Aspuri berkumpul mengikut dorm masing-masing. Ketua Warden, Cikgu Suparman memberikan penerangan tentang peraturan asrama, kebajikan, apa yang boleh dan tidak boleh, jadual harian, aktiviti hujung minggu, jadual keluar pekan dan balik kampung serta lain-lain. Nora berasa agak bosan juga kerana segala penerangan itu sudah ada di dalam buku peraturan yang disisipkan dalam fail Minggu Suaikenal, mengapa membuang masa membacanya?

Nora mencemikkan muka kepada Aida di meja hadapan memberikan isyarat bosan. Aida membalas dengan mengangkat bahu. Malah selepas Asar tadi, Cikgu Rozita dan Cikgu Devi sudah memberi mukaddimah dan berleter panjang pada perhimpunan depan lobi asrama. Baru beberapa jam dengan segala leteran, sudah mula rasa tertekan juga Nora dengan suasana baru kehidupan di sini. Terasa ketat, dikawal dan mengongkong. Nora menggelengkan kepala membuatkan Kasmah di sebelahnya tersengih. Kasmah, budak Raub teman baru ditempatkan di katil bawahnya. Kurus, tinggi lampai tetapi tidak banyak cakap, hanya kuat tertawa.

Sempat juga berkenalan dengan dua tiga rakan yang sama dorm. Nadia, dari Gombak yang bertubuh gemuk tetapi peramah dan merupakan orang pertama yang menyapanya. Nadia katil nombor empat dan Susan Loh katil nombor tiga. Hanya Susan seorang sahaja pelajar cina di dorm itu setakat yang dia nampak hari ini. Susan kelihatan agak sugul, mungkin canggung dengan suasana asrama apatah lagi dia seorang sahaja berbangsa cina. Nora berasa kasihan pula dan dia mencuba bersungguh mengambil hati Susan. Ah! Lama-kelamaan pasti Susan boleh menerima keadaan di asrama ini.

Pukul enam petang kena bersiap mandi dan turun semula ke dewan makan untuk makan malam dan terus ke surau. Selepas maghrib ada sedikit kuliah dari Ustaz Azhar sehinggalah masuk waktu Isyak. Ustaz Azhar juga warden tetapi tidak tinggal di blok asrama, sebaliknya tinggal di kuarters guru di dalam kawasan sekolah yang tidak jauh dari Aspuri. Ustaz Azhar warden yang menjaga hal ehwal agama. Selepas selesai solat Isyak ke semua pelajar ke dewan makan semula untuk mendengar sambungan taklimat lagi.

Jam sepuluh setengah selepas minum malam, mereka semua naik semula ke dorm. Di lobi Aspuri, ketika semua pelajar naik tangga menuju dorm masing-masing, sudah tercegat Cikgu Rozita sambil bersuara kuat, "Cepat! Pukul sebelas mesti tutup lampu, tidur. Lambat tutup lampu siap kamu saya denda! Pukul lima tepat semua mesti bangun solat subuh dan diwajibkan turun ke bilik solat di tingkat bawah ini." Tegas arahan Cikgu Rozita.

Nora mengeluh. Setelah bersiap dengan pakaian tidur, Nora naik ke katilnya. Sambil masing-masing berbaring di katil sendiri, Nora berbual kosong dengan Nadia, Susan dan Kasmah. Bercerita tentang sekolah lama, tempat asal, dunia hiburan termasuklah kisah siang tadi.

Riiinggg!

Bunyi loceng asrama berdering tepat pukul sebelas malam dan seperti yang telah ditaklimatkan tadi ini adalah waktu padamkan lampu. Ketua dorm A1 yang baru dilantik petang tadi, Dalilah segera memadamkan lampu sambil bersuara kuat, "Selamat malam semua! Tidur! Esok siapa sedar awal pukul lima pagi harap kejutkan semua. Solat subuh di bilik bawah depan rumah warden."

"Dalilah, saya pun kena turun juga?" Tanya Susan.

"Mesti. Kau kena jadi imam." Usik Nadia. Semua tertawa dengan jenaka Nadia. Ya, sedikit sebanyak Nadia yang kelakar menceriakan dorm A1.

"Saya belum Islam lagi Nadia." Jawab Susan yang turut sama ketawa.

"Alamak! Aku pun tak tahu Susan. Aku rasa elok turun sama sebab jika tinggal seorang nanti bahaya!" Kata Dalilah.

"Bahaya kenapa?" Tanya Susan tidak faham.

"Ada hantu loh!" Jawab Nadia sambil menyeringai menggayakan seperti hantu. Sekali lagi disambut ketawa oleh beberapa teman yang berdekatan katil mereka. Sebenarnya bukan kumpulan mereka sahaja yang berbual, ahli dorm yang lain masing-masing berbual sesama kumpulan yang katil mereka berdekatan. Takkanlah baru padamkan lampu terus sahaja lena. Ada juga yang mengambil peluang makan biskut atau mee segera bekalan dari rumah.

"Hey! Jangan sebut hantu. Seram!" Jerit Kasmah.

"Dan jangan sebut loh sebab itu nama saya, Susan Loh."

Sekali lagi kumpulan mereka ketawa kelucuan. Susan kelihatan ceria sedikit tidak seperti siang tadi. Kemesraan sudah mula terasa di kalangan mereka rakan sesama dorm.

"Aku faham cadangan Dalilah suruh turun tu. Untuk mengelakkan sebarang syak wasangka jika berlaku sesuatu perkara buruk seperti ada kecurian, contohnya." Sampuk Nora.

"Betul!" Kata Dalilah. "Boleh Susan?"

"Boleh. Jadi imam pun boleh juga." Jawab Susan berseloroh dan ternyata gurauan Susan berjaya membuat mereka berlima ketawa lagi.

"Eh! Dalilah. Aku ada masalah, patutkah aku turun juga solat subuh?" Tiba-tiba Syafiqah, katil nombor dua puluh satu datang bertanya.

"Masalah apa?" Tanya Dalilah. Berkerut wajah Dalilah, anak taukeh restoran mamak yang masyhur di pekan Bentong itu.

"Aku....aku...uzur." jawab Syafiqah.

Susan tidak faham tetapi belum sempat bertanya telah ditunjukkan oleh Nadia dengan bahasa isyarat. Susan mengangguk.

"Aku fikir untuk hari pertama kita turun semua. Kemudian baru kita ajukan kepada Cikgu Rozita apa saja kemusykilan." Cadang Dalilah.

"Patut sangat kau dilantik sebagai ketua dorm. Kau bijak Dalilah." Puji Nora sambil Nadia, Kasmah dan Susan serentak bertepuk tangan setuju. Dalilah tersengih bangga apabila dipuji.

"Hoi! Apa lagi tu? Tidur! Nak tidur tengah padang ke?" Sergahan Cikgu Devi yang masuk membuat pemeriksaan tidak disedari oleh mereka. Kelam-kabut ke semuanya meminta maaf dan berbaring senyap di katil masing-masing. Yang sedang makan pun menggelabah menyorokkan makanan di bawah katil. Setelah memeriksa ke semua ahli dorm ada dan cukup, Cikgu Devi pun keluar memeriksa dorm lain.

Penghuni dorm A1 tidak berani melakukan sebarang aktiviti lagi, masing-masing sudah di katil. Nora meniarap memandang keluar tingkap. Pemandangan hutan atau lebih tepat kebun getah tinggal yang setentang dengan dorm A1 itu hanyalah gelap dan hitam. Longkang besar dan pagar tinggi memisahkan blok asrama dengan kebun getah tinggal itu. Ada pun cahaya hanyalah dari tiang-tiang lampu jalan yang tegak terdiri dengan jarak beberapa meter tiap satunya. Nora hanya merenung kosong di hadapan tanpa fokus kerana fikirannya teringat rumah. Sayu hatinya merindui ibu, ayah dan adik-adiknya. Mereka tidak pernah berpisah. Walaupun kadang-kadang bergaduh dengan Angah tetapi sekejap sahaja. Gaduh adik-beradik katakan. Apatah lagi Alimi yang manja.

Nora merenung jauh sehinggalah tiba-tiba lamunannya terganggu apabila dia ternampak sesuatu di balik salah satu tiang lampu itu. Dalam cahaya samar lampu jalan itu Nora dapat melihat seakan sosok lembaga hitam seperti mengintai di sebalik tiang. Mengintai dengan muka menghadap blok Aspuri. Nora berdebar, segalanya sangat pantas antara percaya dengan tidak. Walaupun samar dia yakin dia nampak. Bukan khayalan. Belum sempat dia mengalihkan pandangan, dia nampak lembaga hitam bertanduk itu lari menuju hutan yang gelap. Lebih aneh, lembaga itu tidak memanjat pagar tetapi boleh telus merempuh begitu sahaja.

Nora memusingkan badan dan berbaring untuk tidak mahu melihat lagi. Dadanya berdegup kencang dalam bingung tidak percaya. Dia memejamkan mata sambil membaca ayat kursi. Nora tidak berani membuka matanya dan menyelubungi diri dengan selimut. Apakah dia seorang sahaja yang nampak? Apakah ada rakan lain yang sedang termenung juga nampak apa yang dia nampak? Dalam kelubung, dia kakukan diri sampai terlena sendiri sehingga subuh menjelang

Hostel PuakaWhere stories live. Discover now