Leman & Laili P4

30 1 0
                                    

Laili menutup pintu rumah dengan berhati-hati. Tak mahu Puan Rumaizah yang sedang tidur terjaga kerana bunyi pintu yang kuat. Selesai majlis makan malam, Jefrey menghantarnya pulang seperti mana Jefrey mengambilnya awal malam tadi. Laili menyusun kasutnya di rak kasut sebelum melangkah untuk ke bilik. Baru tiga langkah dia ambil, terdengar suapa Puan Rumaizah menegur dari pintu bilik.

"Baru sampai Laili?"

Laili mengurut dadanya kerana terkejut. "Ya, mak. Mak belum tidur?"

"Mak tersedar bunyi kereta. Pukul berapa sekarang ni?"

"Dua belas, mak. Majlis habis lewat sikit tadi..."

Puan Rumaizah mengangguk. "Mak nak ke bilik air sekejap. Jangan lupa solat isyak kalau belum tunaikan lagi..." pesannya.

"Ya, mak..."

Laili masuk ke bilik. Selepas menyalin pakaian, dia keluar untuk ke bilik air untuk mengambil wudhuk dan menunaikan solat Isyak. Selesai solat, Laili terus merebahkan tubuh ke atas katil. Badannya sudah letih. Otaknya juga sudah kepenatan. Penat kerana banyak bermain dengan emosi sepanjang majlis tadi. Laili mengiring ke kiri. Cuba untuk tidur. Namun entah kenapa, fikirannya melayang mengingatkan satu demi satu peristiwa sepanjang dia berkenalan dengan Sulaiman.

Dia berkenalan dengan Sulaiman sewaktu sibuk berlatih squash untuk menjadi wakil daerah. Sulaiman yang pada waktu itu sedang bermain bola dengan rakan-rakannya mula menegurnya dan berbual setiap kali selepas bermain. Jujur, dia sangat senang dengan sikap Sulaiman. Pertemuan yang sebelum ini hanya berlaku di padang beralih ke perpustakaan. Selesai bermain untuk daerah, Laili berhenti bermain squash untuk fokus untuk SPM yang bakal tiba. Sulaiman yang bakal mengambil STPM turut menghabiskan masa dengan Laili, mengulangkaji pelajaran.

Hubungan yang bermula sebagai kawan biasa bertukar menjadi rakan istimewa bila Sulaiman meluahkan isi hati. Tak sangka sebenarnya Sulaiman sudah lama perhatikan dia sejak dia di tingkatan tiga. Laili menerima Sulaiman tanpa berfikir panjang. Perhatian yang Sulaiman tunjukkan sejak awal sudah memikat hati Laili. Tetapi tak lama... baru tiga bulan berkawan, Laili sudah dilemparkan kata-kata penghinaan oleh... ibu Sulaiman.

'Lelaki boleh dicari... tetapi kasih ibu tak boleh diganti...'

Berbekalkan kata-kata itu Laili membuat keputusan untuk menamatkan segala-galanya. Bukan untuk ibu Sulaiman, tetapi untuk maknya, Puan Rumaizah yang sering makan hati apabila dicaci maki oleh orang sekeliling. Walaupun hanya tiga bulan mereka berkawan, sepuluh tahun berlalu tetap tidak mampu membuatkan Sulaiman hilang daripada ingatannya.

Leman & LailiWhere stories live. Discover now