Leman & Laili P6

34 1 0
                                    

"Jauh menung, Laili?" tegur Puan Rumaizah tatkala melihatkan anaknya berteleku seorang diri di meja makan. Dia menarik kerusi di sebelah Laili untuk duduk. Lama tidak dapat duduk bersembang dengan anak daranya ini.

Laili yang tersentak kerana ditegur Puan Rumaizah mengangkat kepala dengan senyuman. "Mak..."

"Fikirkan apa? Banyak masalah ke?"

Laili menggeleng. "Tak ada apalah, mak... Laili ok je..."

"Iya? Hrm... lama mak tak nampak kamu termenung macam ni. Seingat mak, masa awal-awal kita pindah ke sini, hampir lima bulan kamu duduk termenung macam ni. Jangan macam tu, Laili. Kalau ada masalah, ceritalah dengan mak. Kamu seorang sajalah anak mak yang tinggal..." Puan Rumaizah memandang anaknya dengan penuh rasa kasih. Anaknya seorang inilah yang menjadi penyejuk mata dan hatinya selepas dugaan yang melanda mereka sekeluarga.

Laili melentokkan kepalanya ke bahu Puan Rumaizah. Bibirnya menguntum senyuman tawar. Kata-kata maknya membawa Laili ke kenangan lalu. Sewaktu di tingkatan lima, begitu banyak perkara pahit dan manis yang berlaku dalam hidupnya. Kalau ditanya apa perkara manis yang berlaku dalam hidupnya, ada dua jawapan yang Laili akan beri. Kesibukannya sebagai pelajar untuk menduduki peperiksaan SPM dan juga berkenalan dengan Sulaiman dan berkawan rapat untuk beberapa bulan.

Namun, bila mengingatkan perkara pahit yang berlaku, perkara manis itu hilang nikmatnya bila melihat wajah duka emak apabila mendengar Abang Long di tangkap kerana menyamun dan membunuh orang kaya di kampung. Ayahnya pula sudah menjadi mayat hidup kerana ketagihan dadah. Orang kampung muka bercerita dan memulaukan mereka sekeluarga. Tidak tahan di hina, emaknya mengambil keputusan untuk berpisah dengan ayahnya. Dan dia mengajak emaknya pindah untuk memulakan hidup baru. Along pula dihukum mati tiga tahun kemudian kerana membunuh dengan niat selepas dibicarakan dan membuat rayuan.

Berpisah dengan Sulaiman bukan perkara yang mudah untuk dia lakukan. Laili yakin, jika dia bercakap dengan baik, Sulaiman tidak akan mengendahkan permintaannya. Sementelah, mendengar kejian dan makian yang keluar daripada mulut ibu Sulaiman terhadap dia dan emaknya, Laili mengambil keputusan untuk meninggalkan Sulaiman terus tanpa sebarang kata. Tak sangka, sepuluh tahun berlalu, takdir mempertemukan mereka semula.

"Laili...!"

"Hah!" bulat mata Laili mendengar suara ibunya yang meninggi secara tiba-tiba. "Kenapa, mak?"

Puan Rumaizah menggeleng. Kalau dahulu Laili jadi begini kerana Sulaiman. Kali ini, kerana siapa pula?

"Tak keluar dengan Jefrey ke? Selalu rajin mengikut dia keluar?"

"Hrm... tak adalah moodlah. Malam ni nak habiskan masa je dengan mak dekat rumah." Laili senyum manis.

"Habiskan masa apanya kalau fikiran entah ke mana-mana?" sindir Puan Rumaizah.

Laili senyum hambar. Dia berkira-kira sama ada mahu menceritakan tentang pertemuannya dengan Sulaiman ataupun tidak. Kalau dia cerita, apa gunanya? Menunjukkan dia masih terikat dengan kenangan lalu, adalah!

"Laili... kenapa ni?" soal Puan Rumaizah tidak puas hati. Penat dia bercerita itu dan ini, namun Laili seringkali hilang dalam dunianya sendiri.

"Mak..."

"Hrm?"

"Laili..." Laili menghela nafas berat. "Laili jumpa Sulaiman balik, mak... dan Laili sangat terganggu dengan pertemuan kami. Kenapa ya, mak? Laili masih sukakan dia ke?" soal Laili lurus.

Puan Rumaizah terdiam. Benar, sepuluh tahun dulu, lima bulan Laili termenung kerana Sulaiman, kini anak gadisnya itu masih termenung kerana orang yang sama.

"Laili... kalau mak tak izinkan kamu berkawan, bercinta dan berkahwin dengan dia, kamu boleh ikut cakap mak?"

Dan Laili terus kematian kata-kata.

Leman & LailiWhere stories live. Discover now