Leman & Laili 12
Sulaiman memberhentikan keretanya di hadapan rumah teres dua tingkat berwarna kuning lembut. Selepas menekan alat kawalan jauh, pintu pagar rumah itu terbuka perlahan-lahan. Kereta dipandu masuk ke garaj. Bulat mata Laili memerhatikan persekitaran rumah yang asing padanya. Dadanya berdebar-debar bagai ada tidak kena.
"Rumah siapa ni?"
"Rumah saya..."
Laili menelan air liur. Biar benar? Kenapa Sulaiman membawanya ke sini?
"Ada orang nak sangat berjumpa dengan awak, Laili. Baru hari ini saya dapat tunaikan permintaan dia."
Laili mula tidak sedap hati. Entah kenapa, dia bagai dapat mengagak siapa yang Sulaiman maksudkan.
"Jom masuk," ajak Sulaiman selamba. Dia membuka pintu kereta dan keluar menuju ke pintu utama rumahnya. Sengaja dia biarkan Laili di belakang. Memberi masa buat gadis itu.
"Assalamualaikum! Ibu... oh ibu!" panggil Sulaiman sebaik saja membuka pintu. Tidak sampai beberapa saat, wajah Puan Jamilah muncul di sebalik dinding. Perlahan-lahan Puan Jamilah menolak tayar kerusi rodanya menghala ke pintu.
"Awal balik hari ni, Leman. Cuti ke?"
"Leman ambil cuti hari ni, ibu..." balas Sulaiman sebelum menyalami tangan Puan Jamilah.
Puan Jamilah tersenyum nipis. Anak lelakinya inilah tulang belakangnya. Selepas kematian suaminya lima tahun lepas, Sulaiman menggalas tanggungjawab suaminya sebagai ketua keluarga. Segala-galanya dia sedaya upaya sediakan untuk kemudahan dirinya. Suhana sejak berkahwin dan mengikut suami.
"Leman ada bawa tetamu..." ujar Sulaiman pendek. Dia menolak kerusi roda ibunya menuju ke pintu utama.
Laili sudah gelisah semasa berdiri di luar rumah Sulaiman. Hatinya merungut-rungut dengan tindakan Sulaiman membawanya ke sini tanpa meminta pandangannya walau sedikit pun. Mendengarkan suara Puan Jamilah dari dalam rumah menambahkan resahnya. Laili meramas-ramas tangannya. Patutkah dia lari dari sini sebelum bertentangan mata dengan Puan Jamilah?
"Laili!"
Mendengarkan suara Puan Jamilah yang terkejut menyedarkan Laili yang dia sudah tidak sempat hendak lari ke mana-mana lagi. Laili menelan air liur. Wajahnya diangkat dan matanya bertentangan mata dengan Puan Jamilah yang duduk di atas kerusi roda.
"Maafkan mak cik, Laili. Maafkan mak cik!" ujar Puan Jamilah dalam tangisan.
Laili terkedu.
***
Laili memandang drama yang ditayangkan di siaran televisyen tanah air dengan pandangan kosong. Fikirannya melayang mengingatkan peristiwa siang tadi. Pertemuan pertama dia dengan ayahnya juga dengan ibu Sulaiman setelah sepuuh tahun tidak bertemu muka. Sewaktu berjumpa dengan ayahnya, hatinya dia cukup keras untuk memaafkan kesilapan ayahnya. Bertemu dengan Puan Jamilah, hatinya menjadi sayu. Rasa simpati melihatkan Puan Jamilah yang mengharapkan kerusi roda untuk bergerak membuatkan jiwanya meruntun sedih. Spontan dia memeluk wanita yang pernah mengeji mereka dahulu. Membuatkan Sulaiman memandang dia dengan riak yang tidak percaya.
Laili menghela nafas berat. Terngiang-ngiang kata-kata maaf yang diucapkan Puan Jamilah sepanjang tiga puluh minit dia berada di rumah Sulaiman. Kata-kata maaf disulami dengan rasa menyesal dan berulang kali dia menyatakan nikmat kaki yang ditarik kembali kerana kemalangan merupakan kafarah dosa-dosanya terhadap keluarga Laili. Laili yang masih kekok hanya mampu menggangguk dan menyatakan dia sudah melupakan segala-galanya. Tiga puluh minit berlalu, Sulaiman memberi isyarat untuk mereka keluar. Pemergian mereka diiringi senyuman lebar Puan Jamilah.
YOU ARE READING
Leman & Laili
Chick-Lit"It is hard to forget someone from the past, when that person has been the one you ever wanted in your future." *Kisah pendek yang ditulis sekadar untuk mengisi masa dan polish skill. Tamat di sini/blog/fbgroup. :)