Hi guys, enjoying the story so far?
Do check my other works. Bukan Mahuku, Lelah Mencintaimu, My Darling Luna, Batrisyia and a lot more. You will enjoy the story for sure.💞https://www.e-sentral.com/book/info/303389/Bukan-Mahuku
.
.
"KAU memang perempuan tak guna! Mata duitan! Perempuan jahanam!!!"Tersayat hati mendengar jerkahan lelaki tinggi lampai itu. Mata terasa panas. Menahan empangan yang bila-bila masa sahaja akan pecah. Dipandang sayu pada wajah merah padam yang kini berpaling daripadanya.
"Aku menyesal kenal perempuan macam kau!"
Marah benar lelaki itu padanya. Siapa tidak marah jika dia tega mengkhianati cinta mereka. Langsung tidak memberi peluang pada lelaki itu untuk merayu. Bagaimana hendak dirayu jika dia sudah nekad menyambut huluran tangan lelaki lain?
"Maafkan Zeen. Maafkan Zeen." Hanya itu yang mampu terluah dari bibir yang bergetar hiba.
Lelaki itu gelak besar. Terlalu sinis kedengaran. Seperti mempersendakan ungkapan maafnya. Hilang tawa, kaki diangkat menjauh meninggalkannya.
Dia cuba melangkah. Cuba untuk mengejar. Kali ini dia sanggup mengejar. Mahukan lelaki itu kembali. Tidak sanggup dibiarkan pergi sekali lagi. Sayang seribu kali sayang. Kakinya tetap keras di situ. Tidak mampu mengejar. Tidak mampu menahan. Hanya bibir yang tidak sudah-sudah mengungkap maaf.
"Maafkan Zeen!"
"KAK ZEEN!" panggil Adlina kuat. Puas dipanggil kakaknya masih lagi meracau meminta maaf. Dia mengeluh berat. Bukan pertama kali. Sudah berkali-kali. Sejak kakaknya pulang usai menamatkan pengajian di UiTM Perlis.
Perlahan-lahan matanya terbuka. Melihat riak kerisauan di wajah Adlina dia bingkas bangun. Dia tersenyum nipis menutup debar di dada yang masih terasa. Nafasnya masih berombak kuat. Diseka peluh yang merenik di dahi. Dia beristighfar berkali-kali. Mimpi hanya mainan tidur.
Adlina tergeleng-geleng merenung wajah Aazeen yang jelas masih lagi dibayangi mimpi ngeri. Sampai bila mahu begini? Terasa marah menyelinap di sanubari. Namun tidak mahu mahu dilampiaskan marah yang berbuku pada siapa? Tak mungkin pada kakaknya. Pada takdir? Pada lelaki yang pergi membawa hati kakaknya? Dia tidak pernah punya jawapan.
"Nightmare lagi? Dia datang lagi?" soal Adlina sinis.
Aazeen tidak membalas. Sebaliknya mencapai gelas di atas meja sisi katil lalu dituang air dari botol yang sentiasa tersedia jika dia kehausan tika malam. Diteguk rakus air menghilangkan rasa perit di tekak.
Dia bingkas bangun dari katil. Lambat-lambat dia melangkah ke luar balkoni. Tubuh yang panas mahu disejukkan dengan dingin angina malam. Rambut panjang mengurai dibiar lepas bebas. Ditarik nafas dalam-dalam menghirup udara yang terasa begitu nyaman. Mahu menghalau mimpi yang tak pernah berhenti menghantuinya.
Mimpi yang hadir disebabkan rasa bersalah yang tak mungkin hilang seumur hidup ini. Lelaki itu tak pernah menyakitinya. Hanya dia yang tega memusnahkan segalanya. Dia yang bersalah. Dan dia wajib membayar untuk setiap kesalahannya.
Adlina menurut langkah si kakak. Mereka berkongsi bilik yang sama. Hubungan mereka adik-beradik cukup erat. Umpama sahabat baik. Berkongsi apa sahaja biarpun berbeza umur agak ketara. Jika Aazeen diganggu mimpi ngeri, dia juga akan terganggu tidur hingga ke pagi.
"Kak Zeen..." Diam Aazeen buatnya geram. "Sampai bila nak macam ni?" soal Adlina agak keras. Sudah cukup Aazeen menghukum diri. Sudah terlalu lama.
"Mungkin... sampai bila-bila," jujur balasan itu.
"Dah lebih 5 tahun. Bukan baru semalam. Dah cukup untuk lupakan mamat tu. Dah patut cari pengganti. Dah patut kahwin. Patut ada anak. Patut happy," bentak Adlina tidak setuju. Sungguh dia tidak setuju melihat Aazeen menghukum diri.
"Kak Zeen tunggu Lin kahwin dulu."
Adlina mendengus marah. Dia sudah berjanji dengan diri sendiri. Selagi Aazeen tidak berkahwin, dia juga takkan melangkah ke gerbang perkahwinan. Dia sanggup membujang menemani kakaknya hingga ke akhir hayat. Lupakan tentang lelaki. Itu kasihnya sebagai adik."Selagi Kak Zeen tak kahwin... jangan harap Lin nak kahwin."
"Are you sure? Tu... yang menanti tu nak letak mana?" usik Aazeen sudah mula melupakan mimpi yang hadir. Dia tahu adiknya sedang asyik diulit cinta. Dia yakin tidak lama untuk si jejaka masuk meminang.
"Pandai kata orang. Peminat Kak Zeen yang ramai tu nak letak mana?"
Kakaknya bukan tiada peminat. Berderet. Ramai yang masuk meminang. Semua ditolak tanpa fikir panjang. Belum bersedia katanya. Mana mungkin bersedia jika di hati masih membiarkan rasa bersalah beraja hingga tidak memungkinkan kasih lelaki lain menumpang di situ.
"Pandai aje buat cerita. Ramai tang mana?" Keluar sudah loghat orang utara.
"Sendiri makan sendiri simpan. Sendiri tahulah. Pandai pulak nak berdalih," sindir Adlina geram. Mana pernah kakaknya mahu mengaku ramai peminat.
"Dah pergi tidur. Esok kan nak mula kerja," tingkah Aazeen tegas nadanya. Adlina baru sahaja mendapat tempat di syarikat di mana dia sudah bertahun-tahun mencari rezeki demi keluarga mereka. Nasib baik kebetulan ada pekerja yang baru berhenti. Bukan mudah untuk mencari rezeki di zaman serba gawat dan penuh persaingan ini.
"Pandai halau orang. Dia tak nak tidur. Dah lebih 5 tahun, Kak Zeen. Dah cukup untuk lupa," tingkah Adlina geram. Degil benar.
"Tidurlah dulu. Kak Zeen nak solat kejap."
Adlina hanya mampu mengangguk. Kalau sudah jawapannya begitu takkanlah dia mahu menghalang pula. Dia tahu sudah menjadi amalan Aazeen jika tidur terganggu akan dibalas dengan tahajjud pada Tuhan Yang Satu.
Aazeen terus ke bilik air sebaik Adlina rebah kembali di katil. Ustaz yang mengajarnya suatu ketika dahulu pernah berkata, bila Allah rindu pada hambaNya, Dia akan panggil untuk sujud padaNya. Allah mahu mendengar rintihan hambaNya.
Rindukah Allah padanya? Dia tidak tahu benar atau tidak. Yang pasti dia mahu sujud melepaskan segala rintihan hati pada Tuhan yang mampu mendamaikan hatinya. Dia bukanlah baik mana. Dia hanya seorang hamba yang hanya punya Tuhan untuk mengadu. Dan malam ini, bila tiada sesiapa pun yang mengerti, dia tahu Allah pasti mengerti. Lalu hanya pada Tuhan diadukan segalanya. Mencari ketenangan abadi.
YOU ARE READING
PERTEMUAN KALI INI
RomanceSebut sahaja tentang cinta, pasti sepasang kekasih menjadi simboliknya. Couple of the year. True love. Belangkas. Semua itu gelaran untuk mereka di kampus. Nourul Aazeen, Hawa yang dijadikan untuk Adamnya, Mohd Ishaq. Sepasang kekasih yang takkan be...