DIA membawa diri ke bilik air untuk menenangkan diri. Membawa segala rasa yang berkecamuk. Tidak mampu berdepan dengan sesiapa buat masa ini. Terlalu banyak yang bermain di fikiran. Tangan menekup kuat mulut yang terasa ingin menjerit melepaskan segala yang terpendam. Terlalu mendera perasaan. Bibir terketar-ketar menahan hiba. Air mata tolong jangan tumpah!
Takdir seperti mempermainkannya sekali lagi. Saat dia mencari keberanian melangkah demi kerjaya kenapa perlu ada pertemuan semula seperti ini? Pertemuan yang langsung tidak disangka-sangka. Pertemuan yang terlalu melukakan. Terngiang-ngiang di telinga tempikan lelaki itu. Lelaki yang dulunya berbisik lembut di telinganya. Berbisik yang manis-manis sahaja. Sayangnya, hanya tinggal memori.
Dia yang bodoh. Tidak mendengar naluri yang berbisik jangan pergi. Naluri yang memberi amaran akan bahaya yang mendatang. Berhari-hari dia diulit rasa itu. Namun disebabkan sogokan keluarga yang tidak mahu dia melepaskan peluang yang hadir buatnya melangkah juga. Dan inilah hasilnya. Pertemuan yang merabakkan hatinya!
Dipandang lama wajah di cermin yang tampak tidak bermaya. Dia mengusap pipi mengembalikan seri di wajah. Dia perlu berlakon seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dia perlu nampak kuat. Dia perlu kuat. Akal meniupkan semangat agar hati yang koyak kembali tercantum walaupun itu terasa cukup mustahil.
Kuatkah dia untuk melangkah? Dia tahu apa yang bakal terhidang di depan mata. Jalan yang cukup berliku. Kuatkah hati untuk berhadapan dengan lelaki itu? Semuanya kerana dosa semalam. Dosanya pada lelaki itu. Memang salahnya. Dia tidak menafikan. Namun terlalu perit untuk menerima hukuman. Hukuman yang selayaknya untuk pengkhianat cinta.
Mengharapkan kemaafan yang tentu tak kunjung tiba satu perkara yang sia-sia. Menunduk takut juga bukan caranya. Mengalah sebelum berjuang pantang baginya. Cukuplah sekali dia mengalah dengan takdir. Dia takkan mengalah lagi.
Fail yang diletakkan di tepi sinki dicapai. Wajah di cermin dikerling sekilas. Dia masih perlu berkenalan dengan staf bawahannya. Lalu langkah dihayun kemas keluar dari bilik air yang kosong. Tekad ditanam kukuh. Datanglah ribut dan taufan, dia takkan sesekali berganjak!
YOU ARE READING
PERTEMUAN KALI INI
RomanceSebut sahaja tentang cinta, pasti sepasang kekasih menjadi simboliknya. Couple of the year. True love. Belangkas. Semua itu gelaran untuk mereka di kampus. Nourul Aazeen, Hawa yang dijadikan untuk Adamnya, Mohd Ishaq. Sepasang kekasih yang takkan be...