"ZEEN," panggil Farzan sedikit kuat menggamit kembali si gadis yang sudah menerawang entah ke mana.
Mata sahaja di skrin komputer. Fikiran melayang tidak tahu ke mana. Dia tersenyum sumbing. Sengaja datang mengganggu pekerja baru. Mahu melihat si gadis manis menyesuaikan diri.
"Erk... sorry. I fokus sangat tadi," tipu Aazeen kalut.
Rasa mahu tumbuk wajah sendiri yang terleka dalam kisah semalam. Tadi dia sibuk membelek segala data di dalam komputer cuba memahami sendiri perjalanan cashflow syarikat. Dia dapat menganalisis dan memahami sedikit sebanyak data yang terpamer di depan mata. Tidak sedar entah bila fikiran mula melayang.
"Macam mana kerja? Semua okey?" soal Farzan.
"I tengah cuba faham cara kerja kat sini," ucap Aazeen tidak mahu membuka tembelang Ishaq.
Kalau boleh dia tidak mahu mengadu. Dia mahu menyelesaikan sendiri masalah dengan Ishaq. Walau dia cuba memahami sendiri segala data di dalam komputer, dia tetap perlukan Ishaq untuk tahu skop kerja. Tidak mahu dikatakan pandai-pandai sendiri pula.
Namun untuk melangkah ke bilik yang jelas tertutup baginya itu memerlukan keberanian yang lebih dari biasa. Dia masih mengira detik mencari waktu paling sesuai untuk berhadapan dengan Ishaq sekali lagi.
"Shaq tak tolong you ke?" soal Farzan prihatin.
"I tengah cuba faham sendiri dulu. Nanti baru dia explain kat I," balas Aazeen dengan senyuman plastik.
"Betul? Kalau macam tu okey. Tapi kalau Shaq bagi you masalah... you boleh bagitau I. Dia mungkin nampak macam tu. But he's actually a nice guy."
'I know,' desis hatinya sayu. Semua salahnya. Dia yang buat lelakiitu berubah laku. Tiada maaf buatnya yang begitu kejam.
"Jom," ajak Farzan.
"Erk... nak ke mana?" soal Aazeen pelik. Tiba-tiba sahaja mengajak.
"Lunch with me," balasnya tegas. Tiada ruang untuk menolak. "Let's go," gesanya lagi.
Teragak-agak Aazeen mencapai dompet di dalam tas tangannya lalu mengikut jejak Farzan. Dan bila langkah Farzan terhenti di hadapan bilik Ishaq, hatinya rasa mahu luruh kala itu juga.
"Erk... dengan Encik Shaq sekali ke?" soalnya lemah. Tak cukup lagi berhadapan dengan Ishaq ketika di dalam pejabat. Mahu berdepan di meja makan pula? Terasa gugup tiba-tiba.
"I memang selalu lunch dengan Shaq. Tapi hari ni I nak you join sekali. Boleh kenal-kenal," balas Farzan langsung tidak memahami apa-apa. Tidak perasan riak wajah si gadis yang berubah kelat.
Argh, sudah! Macam mana nak lari ni? Kaki sudah rasa mahu angkat langkah seribu. Tahu benar dia takkan selamat sekejap lagi. Malangnya, puas dia cuba mahu menggerakkan kaki, kaki tetap statik di lantai.
Saat pintu bilik Ishaq dibuka Farzan, nafasnya terasa terhenti bila mata itu tunak memandangnya. Terasa kerdil saat ini menjadi mangsa renungan mata berbisa itu.
"Dia buat apa kat sini?"
"Dia lunch sekali dengan kita hari ni. Aku dah lapar ni, Shaq. Jom"
Ishaq bangun tanpa kata. Terus melangkah keluar bilik. Langkah terhenti benar-benar di hadapan si gadis manis. Senyum sinis bermain di bibir. Dan dia terus melangkah laju membiarkan si gadis manis ketinggalan di belakang.
Aazeen menelan liur yang terasa berpasir. Kaki ibarat diseret membuntuti. Debaran melanda lagi. Perut terasa sebu. Dia masih belum bersedia untuk mereka duduk semeja. Masih belum punya keberanian yang cukup. Argh, matilah nak!
YOU ARE READING
PERTEMUAN KALI INI
RomanceSebut sahaja tentang cinta, pasti sepasang kekasih menjadi simboliknya. Couple of the year. True love. Belangkas. Semua itu gelaran untuk mereka di kampus. Nourul Aazeen, Hawa yang dijadikan untuk Adamnya, Mohd Ishaq. Sepasang kekasih yang takkan be...