Part 20

6.4K 198 1
                                    

MELIHAT nombor yang tertera di telefon bimbit buat Aazeen mahu menekan butang merah. Tahu benar jika dia bercakap dengan pemanggil itu tentu isu yang sama juga diungkit. Dia penat. Penat menolak. Dalam lelah tetap dijawab panggilan itu.

"Duan," serunya. Tangannya mula mengemas meja bersedia untuk pulang. Sengaja dia menunggu orang bawahan pulang dulu. Barulah dia bersiap untuk pulang.

"I miss you," balas suara garau di hujung talian.

"You miss me?" ajuk Aazeen lembut. Bibirnya mengukir senyum. Sayangnya, rindu mereka tidak sama. Dia rindukan kehadiran lelaki itu. Rindu pada sahabat dan saudara yang cukup memahami. Sahabat yang setia mendengar. Hanya dalam soal hati mereka tidak sehaluan.

"You know I do," bisik suara garau itu penuh romantis.

Aazeen menggigit bibir menahan godaan kasih seorang lelaki. Perempuan. Jika acapkali disogok kata-kata manis begitu tidak susah untuk tewas. Malangnya, dia tidak pernah memandang lelaki itu lebih daripada sahabat dan saudara.

Sebelum hati mengenal cinta, dia sudah meletakkan sempadan di antara mereka biarpun dia tahu hati lelaki itu. Dia takkan mungkin membiarkan hati terpaut pada lelaki kacak yang tidak kurang satu apa pun untuk dijadikan suami.

Wajah yang kacak yang mampu buat gadis-gadis tertancap lama. Mulut manis yang telah melukakan banyak hati. Dan kekayaan yang menjamin masa depan. Namun itu semua tidak cukup untuk membuat hatinya bergolek ke dalam dakapan lelaki itu.

"Nak apa ni?" soal Aazeen malas. Kalau dibiarkan mahu berjela-jela ungkapan kasih yang keluar dari bibir itu.

"I want you," ucap suara garau itu selamba.

"Duan," tingkah Aazeen geram.

"Sayang," gemersik suara itu mengusik.

"Duan... jangan nak mengada," tingkah Aazeen sudah tertawa geram dengan sikap lelaki seorang ini. Kalaulah mudah untuk membalas cinta Eduan, mungkin mereka sudah berumah tangga.

"Kau tahu aku memang sayangkan kau. Kau aje tak jemu menolak. Aku rindu, Zeen," luah Eduan tanpa jemu. Dia baru pulang dari Korea setelah dua bulan di sana atas urusan kerja. Pulangnya, Aazeen sudah hilang ke ibu kota. Rindu yang sarat buatnya bertemu gadis itu.

"Duan... kalau cakap bukan-bukan lagi..."

"Jangan letak dulu," balasnya pantas. Jika Aazeen letak telefon susah benar gadis itu mahu angkat semula. Tahu benar sikap keras hati Aazeen. Kalau begitu mudah, sudah lama jadi surinya.

"Aku nak jumpa kau, Zeen."

"Nak buat apa?"

"Aku rindu kau. Kau tahu aku tak main-main. Aku rindu, Zeen."

"Aku tak nak jumpa kau," balas Aazeen lembut. Dia mahu lelaki itu belajar melupakan. Belajar mencintai gadis lain yang lebih layak. Bukan dia. Bertahun-tahun, Eduan masih sama. Masih mengejarnya.

Mungkin nasib mereka sama. Mencintai seseorang yang tak mungkin jadi milik mereka. Dan bukan mudah untuk melupakan biarpun bertahun-tahun lamanya.

"Kau tahu, kan... bila aku nak... aku akan muncul depan kau. Kau boleh tolak aku. Tapi kau tak boleh halang aku, Zeen."

"Duan... tolong jangan macam ni." Rasa bersalah tak pernah hilang setiap kali menolak lelaki itu. Lelaki yang cukup penting di dalam hidupnya.

"I love you, Zeen. See you," ucap Eduan terus mematikan talian.
Aazeen termangu sendiri keresahan. Bila Eduan sudah berkata begitu pasti akan dikotakan. Eduan. Nama itu bermain di bibir. Tidak sedar ada yang mendengar dan memerhati setiap bicara dan riak wajah cerianya ketika di talian.

Ishaq menghempas tubuh di kerusi empuk. Ada rasa yang bergolak tika ini. Hanya dia dan perempuan itu yang masih belum pulang di bahagian akaun. Dia mahu keluar bilik tadi menghalau perempuan itu pulang. Niatnya terhenti bila suara yang manja di talian itu menembusi pendengaran.

Wajah yang ceria dan bibir yang tersenyum manis melayan si pemanggil buat darahnya mendidih. Dia kenal benar nama yang lunak di bibir itu. Lelaki yang merosakkan segalanya. Lelaki yang merayu kekasihnya agar berpaling tadah. Dan kini nama itu muncul lagi.

Benarlah seperti yang diduganya. Perempuan itu mungkin melarikan diri jauh ke ibu kota kerana mahu memanjangkan langkah. Mungkin merajuk dengan suami. Atau mungkin mahu menambah koleksi. Mungkin juga sudah jemu dan mahu mencari cabaran baru.

Tidak hairan dengan sikap perempuan itu. Mampu bermuka-muka. Di sini kata sayang. Di sana kata cinta. Lakonan yang benar-benar meyakinkan. Hebat!

"Belum ada?" ucapnya sinis. Masih terngiang-ngiang pengakuan palsu perempuan itu tengah hari tadi. Tentunya kerana mahu menggoda Farzan. Sanggup menipu.

Rasa mahu sahaja dia keluar dan menarik tubuh perempuan murah itu meminta pengakuan sebenar. Mahu digoncang tubuh itu agar tidak mudah menipu begini. Bibir itu mahu diajar untuk berkata yang benar.

Disabarkan hati agar tidak bertindak melulu. Akan dirungkai kebenaran tentang perempuan murahan itu. Akan dihalau pergi jauh dari hidupnya. Pergi takkan kembali lagi. Bibir itu akan diajar secukupnya. Bibir yang hanya tahu berdusta. Perempuan tak guna!

PERTEMUAN KALI INIWhere stories live. Discover now