SENYUM-SENYUM pekerja bawahan buatnya tertanya-tanya. Dari pagi begitu. Tidak faham apa yang membuat semua tersenyum penuh makna terhadapnya.
Farzan juga begitu. Tersenyum-senyum memandangnya. Tidak pula berkata apa-apa. Selalu bukan main selamba membuka mulut. Curiga betul!
"Aku nak tanya satu benda aje. Apa yang kau senyum tak habis-habis ni?" soal Ishaq selesai sahaja mesyuarat bersama semua eksekutif syarikat. Mesyuarat bulanan yang menuntut laporan perkembangan syarikat.
Kafil cukup tegas tentang hal yang satu ini. Disebabkan itu tiada yang culas. Dia hormat lelaki itu yang serius tentang kerja. Bukan saat menjadi buaya tembaga.
"No comment," balas Farzan tersengih-sengih. Harus mengamuk Ishaq kalau tahu.
"Bila aku tanya kau tak nak cakap pulak. Bila aku tak berminat nak tahu... kau sibuk nak diam."
Ketika semua ahli mesyuarat tersenyum-senyum tadi, dia terpaksa menahan rasa geram. Berlakon seolah-olah tidak terkesan.
Bila semua sudah meninggalkan mereka, Farzan yang diserang lebih dulu. Yang hairannya, Aazeen paling awal cabut lari. Curiga itu berganda.
"Kau patut tanya isteri kau. Bukan aku," balas Farzan disulam tawa. Tak mampu lagi menahan diri. Nakal betul isteri Ishaq.
Panas hati dengan gelagat sahabat. Dia keluar dari bilik mesyuarat menuju ke tandas. Diperhatikan imej sendiri di hadapan cermin.
Tangan terkepal marah saat mata mengetahui punca sebenar. Bodohnya dia. Isteri sendiri punya angkara. Pandai pula menayang reaksi bersahaja. Aazeen telah mempermainkannya.
Kenapa dia langsung tidak perasan? Bila dia mula memberi ruang pada Aazeen, begini pula yang dilakukan padanya. Memalukannya di hadapan ramai.
Laju langkahnya mencari sang isteri derhaka. Memalukan suami sendiri. Tidak tahu menjaga air muka suami. Menjadikannya bahan ketawa di hadapan ramai.
"Masuk bilik abang!" arahnya keras pada sang isteri membuatkan Hajar, Zimah dan Jijah tersenyum-senyum sendiri.
Aazeen menentang pandangan suami tanpa rasa takut. Dia sudah bersedia menerima reaksi begini. Dia tahu Ishaq akan memarahinya. Dia tidak peduli. Apa yang dilakukan demi mengembalikan cinta Ishaq padanya.
"Zeen tahu tak apa yang Zeen dah buat, hah?!" jerkah Ishaq sebaik pintu tertutup rapat.
"Apa yang Zeen buat?" soalnya lembut. Redup memandang wajah suami. Sayangnya takkan hilang biarpun kemarahan suami bakal membakarnya rentung.
"Mana Zeen letak maruah suami Zeen, hah? Malukan abang depan semua staf!" Kecil tubuh itu di matanya. Rasa mahu dibaham hidup-hidup.
"Salah ke Zeen buat macam ni?" soal Aazeen merapati suami yang tajam merenungnya.
Tali leher biru Ishaq disentuh. Terukir namanya di situ. Berhari-hari dia menyulam namanya di situ. Dan pagi tadi dia yang memakaikan tali leher itu pada Ishaq. Menanda Ishaq hak miliknya seorang.
"Zeen nak semua tahu abang milik Zeen seorang."
Dada Ishaq disentuhnya. Kepala dilentokkan manja. Dengusan marah Ishaq tidak buatnya mengalah. Dia tidak peduli. Ishaq boleh marah. Boleh menengkingnya. Biarpun pedih, tetap mahu menayangkan kasihnya.
Dia masih ingat lagi. Ishaq pernah buat perkara yang sama. Dibelikan tudung buatnya. Tudung yang bersulam nama lelaki itu. Dipakai tanpa sedar. Buat semua teman sekuliah mentertawakannya.
Dia tidak marah. Sebaliknya suka. Suka bila Ishaq mahu menunjukkan hak milik kekal. Terasa cukup disayangi. Bukan itu sahaja yang dilakukan Ishaq.
Ada sekali ketika mereka mengulang kaji sama-sama, Ishaq menulis nama di atas setiap alat tulisnya dengan liquid paper. Dia langsung tidak sedar. Pulangnya ke rumah baru perasan kenakalan kekasih hati. Hati berbunga ceria.
Ishaq yang mahu menayang cinta. Dia rindu. Rindu saat Ishaq tidak malu menyatakan cinta.
"This is so stupid!" tingkah Ishaq keras menolak sedikit tubuh isterinya agar menjauh. Tidak mahu termakan dengan pujuk rayu sang isteri. Taktik Aazeen tidak akan melemahkannya.
Masa tidak dapat diputar semula. Duri dalam hatinya takkan mampu dicabut keluar. Tali lehernya ditanggalkan lalu dicampak kasar ke dalam bakul sampah di sisi meja.
Aazeen hanya mampu melihat tanda cintanya dibuang begitu sahaja. Dia berjanji dengan diri tidak mahu terasa hati. Namun kenapa kekecewaan itu tetap bertamu?
"Get out!"
Perlahan-lahan dia melangkah keluar. Tidak mampu terus berdrama. Hati terlalu sakit bila usahanya dicampak bagaikan sampah tidak bernilai.
'Abang kejam!'
YOU ARE READING
PERTEMUAN KALI INI
RomanceSebut sahaja tentang cinta, pasti sepasang kekasih menjadi simboliknya. Couple of the year. True love. Belangkas. Semua itu gelaran untuk mereka di kampus. Nourul Aazeen, Hawa yang dijadikan untuk Adamnya, Mohd Ishaq. Sepasang kekasih yang takkan be...