Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
SEBAHAGIAN perkara dari masa yang lalu, mungkin saja masih dapat dibawa ke masa hadapan. Dan ia dipanggil sebagai kenangan. Banyak orang yang ingin menjadikan kenangan itu abadi dalam ingatan. Banyak juga yang tidak mahu mengingatinya langsung. Sebahagian kenangan mungkin memerlukan sesuatu yang kasar, atau sesuatu yang dapat dilihat dan dapat disentuh, untuk membuktikan ia dari masa yang lalu. Namun sebahagiannya tidak mempunyai apa-apa langsung. Dan Mur, mempunyai banyak kenangan dengan pemuda manusia yang bernama Taning itu. Kenangan ini tetap tersimpan kemas di dalam lipatan fikirannya. Sementara Kunsi itu pulalah yang menjadi bukti perhubungan mereka.
Setelah Taning kembali ke alam nyata, setelah alam ghaib tidak lagi selamat untuk dijadikan tempat mereka bertemu, Mur memilih untuk mengunjungi Taning melalui tinipi. Iya, sekarang Mur telah teringat semula tentang kuasa tinipi itu. Sejak pertemuan terakhir mereka di alam ghaib, dia selalu mendatangi dan menghubungi Taning melalui tinipi. Dia meninggalkan pesanan demi pesanan kepada pemuda itu melalui kuasa yang sama. Sekarang, Ashkii memintanya meninggalkan satu petunjuk kepada empat bersaudara itu melalui tinipi juga. Ia kedengaran sangat mustahil, memanggil empat rawan pada satu tempat yang sama. Mur tidak pernah melakukannya.
"Tetapi kita tidak akan tahu, sehingga kita mencubanya."
Mur teringat kata-kata terakhir dari Ashkii, sebelum beredar pergi bersama Hebe dan Gunar.
TENGAH MALAM, di pinggir subuh yang pertama. Ketika seluruh kaum manusia masih menikmati buaian tidur yang paling lena, pada minit-minit terakhir sebelum waktu azan subuh berkumandang, kelihatan dua susuk lembaga timbul tenggelam di antara lindungan gelap yang melatah di bumi dan di bawah suluhan cahaya bulan yang menyebar dari langit.
"Itulah rumahnya." Kamas memberitahu Hania. "Disinilah petanda Kunsi itu pernah muncul."
Rumah dua tingkat itu, dikelilingi oleh pokok buah-buahan yang banyak. Daun-daunnya rimbun dan subur. Kamas melihat bagaimana mata Hania, mengawasi persekitaran rumah itu. Hania tahu Kamas berkata benar.
"Selama kau berjaga di sini, adakah sesiapa dari alam ghaib yang datang?" tanya Hania kepada Kamas, begitu tenang. Matanya masih mengawasi persekitaran.
"Tidak pernah, taki," jawab Kamas, yakin.
Hania diam seketika sambil matanya memandang ke arah Kamas.
"Pernahkah sesiapa dari tentera-tentera itu yang melihat Ashkii lagi?"
Hania tahu Ashkii tidak akan semudah itu melupakan Kunsi tersebut, seperti Kieyo juga. Setiap kali Kunsi itu muncul, Ashkii pun pasti akan muncul pula. Walaupun tanah Tandek telah diharamkan buat Ashkii. Tetapi Hania yakin, Ashkii tetap saja mempunyai cara lain untuk kembali ke daerah kekuasaan Kieyo ini, tanpa disedari oleh tentera-tentera peronda yang setia kepada Kieyo. Hania kenal Ashkii. Hania tahu kemampuan Ashkii.