Prolog

4.2K 108 10
                                    


200 tahun yang lalu

"APA? Kita tidak akan bertemu lagi? Tapi..."

Taning berasa tidak percaya dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Dia memandang Mur dengan riak resah berombak di dasar hatinya, tergambar di wajahnya.

Tanpa mempedulikan keresahan Taning, Mur segera memberikan isyarat senyap dengan jarinya di atas bibirnya. Dia menolak tubuh pemuda itu agar terlindung dari suluhan cahaya bulan yang jatuh ke bumi. Lantas menoleh ke satu arah dengan riak gusar tercermin di wajahnya. Pengikut-pengikut Kieyo sekarang ini yang terdiri dari kaum Duwarung mungkin sedang berada di mana-mana. Melaksanakan pemburuan ke atas satu-satunya manusia yang berada di alam ghaib ini. Perhubungan mereka telah dihidu Kieyo. Dan daerah Tandek telah kecoh tentang mereka berdua. Telah kecoh tentang perhubungan terlarang itu.

"Perlahankan suaramu," bisik Mur menahan cemas di dadanya.

Sekaranglah, Mur berasakan perlu mengusir pemuda itu kembali ke alam nyata. Kerana di alam ghaib ini tidak lagi selamat buat Taning.

"Di sini tidak lagi selamat untuk kita berjumpa." Mur menambah.

"Tapi..." Terkebil-kebil Taning memandang wajah Mur.

"Kita tidak sepatutnya berakhir begini." Selajur dia berbisik. Dia melihat riak gusar di wajah perempuan itu. Dia juga dapat merasakan yang mereka sedang diselubungi bahaya. Namun berpisah seperti ini benar-benar di luar jangkaan Taning.

"Berpisah... bagaimana kelak kita kan berjumpa lagi, Mur?" Taning menambah.

Mur tersenyum halus. Riak sayu membayang pada manis senyumnya. "Kita akan bertemu lagi, Taning. Pasti kita akan bertemu lagi." Mur memujuk.

Bulan perak sedang mengambang di langit. Suasana hutan tiba-tiba didatangi kabus biru. Kabus biru yang menyukarkan pandangan. Menambahkan lagi kegusaran di hati Mur. Dia tidak mahu pemuda pujaannya ini diapa-apakan oleh kaumnya.

"Taning, ambillah ini."

Mur menyerahkan sesuatu kepadanya. Sesuatu yang dirasakannya padu dan keras di dalam tangannya. Taning terus menggenggamnya.

"Simpan ini baik-baik. Simpan seperti mana kau menyayangi nyawa kau sendiri."

Mur menoleh lagi ke arah yang dilihatnya tadi. Mur semakin kesuntukan masa.

"Apa bendanya ini?"

Taning terus menggenggamnya, tanpa melihat benda yang berada di dalam tangannya itu. Wajah Mur sedang memucat disuluh cahaya bulan yang terbelah-belah, di antara bayang-bayang daun di atas pohon.

"Ingat pesanku..." bisik Mur sambil menoleh kiri dan kanan mereka pula. Rasanya dia telah menangkap bayangan tentera-tentera Duwarung pada satu arah, tidak jauh dari situ.

"Wusak koh tanawaw, Sarou koh totuwong, walado kuh ontok kosilaan, minamot korotuon ilo tadau, lo'owo kuh ngaran nuh intolu, ongojon oku noh dika," tambah Mur dengan membaca satu mantera.

"Tapi..." Suara yang terbit dari bibir Taning bertambah berat. Nadanya bertambah hiba. Pesanan itu seolah-olah mengakhiri segala-galanya di antara mereka.

"Kemudian, panggil namaku tiga kali. Ingat. Panggil tiga kali."

Mata Mur tunak ke mata Taning. Seolah-olah dia hendak memaku setiap bait pesanannya itu di dalam ingatan Taning.

"Mur,"

"Kita pasti akan bertemu lagi."

Ketika ini Mur menggenggam tangan Taning, erat.

"Percayalah. Aku akan menghubungi kau melalui Tinipi."

"Tapi Mur,"

Tiba-tiba sesuatu yang aneh berlaku di belakang Taning. Suasana di belakang berubah wajah. Seolah-olah di sebalik rimba tebal itu, tersembunyi satu dunia yang lain. Taning menoleh ke belakangnya. Dari riak di wajahnya, dia kenal tempat itu. Taning menoleh semula kepada Mur. Riak di wajahnya merona layu. Riak di hatinya berasa sayu.

"Pergi!"

Mur mendesak Taning dalam nada berat. Bibirnya bergetar. Hatinya bergetar.

"Pergi sekarang." Lantas ditolaknya Taning ke belakang.

Taning terpaksa berundur setapak ke belakang. Teragak-agak. Tetapi sebaik saja dia memijak ke alam yang sebelah sana, dalam sekelip mata pemuda berbangsa manusia itu pun hilang di telan suasana hutan yang kembali ke asal. Meninggalkan Mur di sana sendirian dan terpaku beberapa ketika. Sungguh, Mur berasa sayu tetapi juga berasa lega dalam masa yang sama.


BUNIANWhere stories live. Discover now